Laporan, Ulasan & Analisis

Menang ke atas JDT II & UiTM FC akan jadikan Sabah juara LP2019, 1 mata cukup untuk layak ke LS2020

Berdasarkan perkiraan matematik, Sabah hanya perlu 1 mata sahaja lagi untuk layak secara automatik ke saingan Liga Super musim hadapan dengan baki 4 perlawanan.

Ini kerana status JDT II dan Terengganu FC II sebagai feeder club membuatkan mereka tidak akan layak bermain di Liga Super walaupun menjuarai liga atau mengisi tempat ke-2 liga.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019

4 perlawanan terakhir Sabah bakal menyaksikan mereka bertemu JDT II (5 Julai) dan UiTM FC (9 Julai) di tempat lawan sebelum bertemu Kelantan di Likas pada 13 Julai. Sabah akan melengkapkan jadual liga mereka sekitar 19-21 Julai nanti dan akan bertemu Terengganu FC II di SSINS, Kuala Terengganu.

Berdasarkan kedudukan liga setakat ini, pasukan Sabah berada di tangga teratas, dipisahkan hanya 1 mata dengan pasukan JDT II yang berada di tangga ke-2 dan berada 6 mata di atas UiTM FC. Walaubagaimanapun, Sabah bermain kurang 1 perlawanan (16) berbanding JDT II dan UiTM FC yang sudah bermain sebanyak 17 perlawanan.

Kemenangan ke atas JDT II dan UiTM FC kelak bakal menyaksikan Sabah menjuarai Liga Premier 2019 kerana dengan dua kemenangan ini nanti akan menjadikan pungutan mata Sabah kepada angka 40, yang mana sudah tiada pasukan lain yang boleh mencapai atau memintas pungutan mata tersebut.

Cabaran & Dugaan Sabah untuk hadapi 4 perlawanan terakhir

1. Risiko penggantungan perlawanan pemain

Kebimbangan utama ketika ini adalah beberapa pemain utama Sabah telahpun mengutip jumlah kad kuning yang bakal menyaksikan mereka mengalami penggantungan perlawanan jika mengutip 1 lagi kad kuning dalam perlawanan mereka nanti.

Park Taesu (kiri) dan Roki (tengah) kini harus mengelak untuk menerima Kad Kuning tambahan kerana jika ia berlaku maka mereka bakal menghadapi penggantungan perlawanan secara automatik.

Ketika ini, Park Taesu dan Mafry Balang telahpun mengutip 5 Kad Kuning dan jika mereka mengutip 1 lagi Kad Kuning maka mereka bakal digantung 2 perlawanan secara automatik.

Bagi Rodoljub Paunovic yang kini mengumpul 2 Kad Kuning, beliah bakal digantung 1 perlawanan secara automatik jika mengutip 1 lagi Kad Kuning tambahan.

Perkara ini haruslah diambil perhatian sepenuhnya oleh para pemain. Oleh itu, bermain dengan lebih kemas dan berhati-hati merupakan langkah terbaik untuk memastikan mereka tidak mengalami penggantungan perlawanan.

2. JDT II, UiTM FC, TFC II & Kelantan bukannya laluan mudah

Sudah pasti 4 perlawanan terakhir Sabah ini bukanlah perlawanan yang mudah kerana mereka bakal berhadapan dengan 3 pasukan yang berada di kelompok 4 teratas liga.

JDT II di tangga ke-2, UiTM FC di tangga ke-3 sementara pasukan Terengganu FC II pula berada di tangga ke-4. Pasukan Kelantan yang dilanda sedikit masalah dalaman ketika ini sedang berada di tangga ke-10 liga namun mereka sedang menunjukkan kebangkitan dalam beberapa perlawanan terakhir mereka.

Dengan prestasi konsisten pasukan Sabah, kemenangan pasti akan terhasil dalam perlawanan-perlawanan mereka yang seterusnya.

Apapun jika Sabah meneruskan rentak permainan dan semangat kebersamaan seperti yang ditunjukkan mereka dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, pastinya keputusan positif akan terus dapat diperolehi.

Ayuh penuhkan Stadium Likas pada 13 Julai ini ketika Sabah bertemu Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *