Sabah benam Sarawak 4-1, kekal di tangga teratas Liga Premier 2019

Sabah kekal menerajui tangga teratas Liga Premier 2019 selepas menang bergaya 4-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan ke-16 mereka di Likas semalam.

Kedudukann terkini Liga Premier 2019.

Kemenangan tersebut kembali meletakkan pasukan JDT II di tangga ke-2 walaupun pasukan Harimau Selatan itu menang 2-0 ke atas UiTM FC sehari sebelum perlawanan Sabah dan Sarawak.

Ikuti Kronologi Perlawanan

Sabah mengasak kubu pertahanan pasukan Sarawak yang diketuai oleh Pedro Henrique sejak awal wisel permainan ditiupkan pengadil dengan deretan peluang untuk menghasilkan gol.

Sabah berada di hadapan 1-0 selepas 9 minit usia permainan menerusi jaringan Rodoljub Paunovic yang menerima hantaran cantik daripada Alto Linus.

Roki meraikan jaringan bersama rakan seperjuangan.

Tersentak dengan gol pertama Sabah itu, pasukan Sarawak cuba untuk memperkemaskan permainan namun seringkali kehilangan bola.

Tatkala Sarawak teruja untuk menyerang, Sabah sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-38 menerusi penyudah akrobatik Aguinaldo Mendes selepas menyambut hantaran Ricco Nigel.

Aguinaldo meraikan jaringan dengan berlari keliling padang selepas menjaringkan gol akrobatik pada minit ke-38.

Walaupun memiliki peluang untuk melebarkan jaringan, perlawanan di separuh masa pertama tetap berakhir dengan kedudukan Sabah mendahului Sarawak 2-0.

Bersambung di babak ke-2, pasukan Sarawak mempertingkatkan asakan dan berhasil membolosi gawang Rozaimie Rohim pada minit ke-58 menerusi ketua pasukan mereka yang juga berasal dari Sabah, Bobby Gonzales.

Lima minit selepas gol pertama pasukan Sarawak itu terhasil, Sabah menambah gol ke-3 menerusi Rodoljub Paunovic yang juga merupakan gol ke-2 peribadi beliau ketika itu.

Rodoljub Paunovic akhirnya berjaya melengkapkan hatrik pertama beliau bersama Sabah musim ini selepas berjaya menewaskan penjaga gol pasukan Sarawak dalam situasi 1 lawan 1 pada minit ke-84.

Roki melengkapkan hatrik pertama beliau musim ini bersama Sabah.

Deretan peluang Sabah selepas itu bagaimanapun tidak berjaya disudahkan kepada jaringan dan perlawanan berakhir dengan keputusan muktamad, Sabah menang 4-1 ke atas Sarawak.

5 Fakta Menarik Perlawanan Sabah vs Sarawak

1. Rodoljub Paunovic mencatat hatrik pertama beliau bersama Sabah musim ini dan menjadikan jumlah gol beliau setakat ini kepada 8 gol secara keseluruhan.

2. Aguinaldo Mendes menghasilkan gol pertama beliau di Likas yang juga merupakan gol ke-2 beliau bersama Sabah selepas masuk di pertenghan musim.

3. Sabah kekal mendahului Liga Premier 2019 dengan baki 4 perlawanan.

4. Sabah beraksi dalam perlawanan ini tanpa 2 tonggak utama iaitu Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin.

Dua pemain Sabah ini, Azzizan (belakang) dan Rawilson (depan) tidak beraksi dalam perlawanan menentang Sarawak semalam.

5. Maxsius Musa beraksi buat kali pertama selepas berehat panjang berikutan kecederaan yang dialami.