Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah rampas kedudukan teratas Liga Premier 2019 selepas tewaskan PDRM FA 2-1 semalam

Sabah merampas takhta Liga Premier 2019 daripada JDT II selepas menewaskan PDRM FA 2-1 dalam perlawanan yang penuh dramatik di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Kedudukan Liga Premier 2019 selepas 15 perlawanan yang dilalui Sabah.

Bermain tanpa kehadiran Ketua Pasukan, Rawilson Batuil yang mengalami penggantungan 2 perlawanan dan Azzizan Nordin yang sedikit mengalami kecederaan tidak begitu membimbangkan Jelius Ating malah memberi ruang buat Ricco Nigel Milus dan Mafry Balang untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

Sorotan Perlawanan

Pasukan Sabah yang masih segar dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Negeri Sembilan minggu lepas turun dengan penuh harapan dan semangat walaupun bermain di luar Kota Kinabalu.

Sabah bagaimanapun tersentak pada minit ke-32 permainan selepas pasukan PDRM FA berjaya menjaringkan gol menerusi Lee Chang Hoon yang hasil sepakan percuma yang menewaskan Rozaimie Rohim.

Sabah berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat namun digagalkan oleh benteng pertahanan pasukan PDRM FA untuk separuh masa pertama berakhir dengan PDRM FA mendahului Sabah 1-0.

Roki menyamakan kedudukan buat Sabah pada minit ke-76.

Masuk di babak ke-2, pasukan Sabah meningkatkan asakan ke arah kubu pasukan PDRM FA dan berhasil menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-76 menerusi ayam tambatan dari Serbia, Rodoljub Paunovic.

Pasukan Sabah yang diberikan sokongan lebih 100 penyokong di Stadium Hang Jebat akhirnya berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-82 selepas Alto Linus berjaya menggegarkan jaring pasukan PDRM FA.

Alto Linus sekali lagi muncul wira buat pasukan Sabah dalam perlawanan menentang PDRM FA semalam selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-82.

Tersentak dengan gol ke-2 Sabah itu, pasukan PDRM FA cuba bangkit melakukan asakan namun sudah terlewat untuk sekurang-kurangnya berkongsi 1 mata dengan Sabah.

Dengan kemenangan tersebut, Sabah kini menempatkan diri di tangga teratas Liga Premier 2019 walaupun bermain kurang 1 perlawanan. Dengan kedudukan ini, maka cerahlah peluang untuk pasukan Sabah bersaing di Liga Super 2020.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *