Laporan, Ulasan & Analisis

Gol tunggal Alto Linus lonjakkan Sabah di tangga ke-2 Liga Premier 2019

Sabah melonjak di tangga ke-2 Liga Premier 2019 selepas menewaskan pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan tipis 1-0.

Kemenangan tersebut meletakkan Sabah 1 mata di belakang pendahulu liga, JDT II dan 1 mata di hadapan pasukan UiTM FC yang kini berada di tangga ke-3 walaupun bermain kurang 1 perlawanan.

Kronologi Perlawanan

Sabah turun dalam perlawanan ini dengan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Park Taesu, Dendy Lowa, Evan Wensley, Azzizan Nordin, Jenius Karib, Alto Linus, Ahmet Atayev, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes Veiga.

Kesebelasan utama pasukan Sabah ketika menentang Negeri Sembilan malam tadi.

Kedua-dua pasukan memulakan separuh masa pertama dengan rentak perlahan tatkala bola kelihatan lebih banyak dimainkan di kawasan tengah padang.

Pasukan Sabah sesekali mengancam kubu pasukan Negeri Sembilan dengan peluang menerusi Alto Linus dan Rodoljub Paunovic namun para pemain pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai Norhafiz Zamani Misbah berjaya menidakkan mereka.

Perlawanan separuh masa pertama berkesudahan dengan Negeri Sembilan mengikat Sabah tanpa sebarang jaringan.

Masuk di babak ke-2, kedua-dua pasukan telah meningkatkan tempo dan intensiti permainan dengan asakan pasukan Negeri Sembilan tertumpu di bahagian tengah yang dikemudikan oleh pemain import dari Brazil, Igor Luiz dan perancang tengah dari Jepun, Shunsuke Nakatake.

Sabah bertindak balas dengan turut meningkatkan asakan ke arah kubu pasukan Negeri Sembilan dan hasilnya pada minit ke-65, Alto Linus berjaya memecahkan kebuntuan jaringan dengan sepakan kaki kiri jarak dekat selepas satu kekelamkabutan di dalam kotak penalti pasukan Hobin Jang Hobin.

Alto Linus meraikan jaringan bersama Ahmet Atayev yang menggayakan aksi joget selepas berjaya membolosi gawang Negeri Sembilan.

Gol tersebut dikatakan kontroversi namun pengadil membenarkannya atas sebab tiada kekasaran ataupun offside di kalangan pemain Sabah yang terlibat dalam penghasilan gol tersebut.

Saksikan bagaimana gol tersebut terhasil di sini:

Gerak perlahan gol kemenangan Sabah oleh Alto Linus pada minit ke-65 permainan. Sila Subscribe ke Channel The Rhinos Troops TV.

Akibat rasa tidak puas hati di kalangan barisan kejurulatihan Negeri Sembilan, pengadil terpaksa mengambil tindakan drastik dengan mengarahkan salah seorang daripada mereka untuk keluar padang,

Sabah mendapat 2 peluang keemasan di saat-saat akhir permainan menerusi Roki dan Atayev namun mereka tidak berjaya menyempurnakannya untuk sekurang-kurangnya Sabah menambah jaringan.

Roki memiliki sekurang-kurangnya 2 peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun mungkin nasib tidak menyebelahi beliau semalam.

Sabah akan meneruskan misi ke Liga Super 2020 mereka pada 19 Jun ini apabila bakal berhadapan dengan pasukan PDRM FA dalam perlawanan ke-15 mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *