Previu Perlawanan

3 Sebab mengapa Sabah perlu kutip 3 mata penuh menentang N9 Sabtu ini

Sabah akan turun melayani kunjungan pasukan Negeri Sembilan pada Sabtu ini bersamaan 15 Jun dalam perlawanan ke-14 Liga Premier 2019 di Stadium Likas, pukul 8.15 malam.

Sebelum berbicara lebih lanjut berkenaan topik yang tertera di atas, mari kita saksikan carta terkini Liga Premier 2019 selepas Sabah mengharungi sebanyak 13 perlawanan.

Carta Liga Premier 2019 selepas 13 perlawanan yang dilalui Sabah.

Sabah kini berada di kedudukan ke-3 liga walaupun mereka sebenarnya berpeluang untuk menjadi pendahulu liga pada perlawanan terakhir mereka.

Dalam perlawanan tersebut, Sabah hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Mari kita lihat 3 perkara ini yang jelaskan mengapa menang dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu ini amat penting buat Sabah.

1. Sabah hanya ada 2 perlawanan di tempat sendiri selepas perlawanan ini dan akan bermain di tempat lawan sebanyak 4 kali

Bermain di tempat sendiri selalunya mudah untuk dimenangi Sabah. Ini dibuktikan dengan rekod 5 kemenangan dalam 7 perlawanan yang diharungi Sabah di Likas.

Catatan 16 mata yang berjaya dipungut oleh pasukan Sabah kini menjadikan pasukan kendalian Jelius Ating ini sebagai pasukan tuan rumah terbaik dalam Liga Premier 2019 selepas jumlah 13 perlawanan.

Jika dibandingkan dengan 6 perlawanan di tempat lawan yang diharungi Sabah, mereka muncul pasukan ke-3 terbaik dengan menang 2 perlawanan, seri 3 kali dan tewas sekali, sekali gus mengutip 9 mata di luar Negeri Di Bawah Bayu.

Antara detik-detik kejayaan dan kecemerlangan Sabah di Likas.

Berdasarkan statistik ini, Sabah dilihat perlu menang perlawanan menentang Negeri Sembilan dan baki 2 lagi perlawanan di tempat sendiri selepas ini iaitu menentang Sarawak dan Kelantan bagi memaksimakan jumlah mata di gelanggang sendiri.

Sejurus selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu ini, Sabah bakal menghadapi 4 perlawanan getir di tempat lawan iaitu menentang PDRM FA, Terengganu FC II, JDT II dan UiTM FC.

2. Peluang untuk dahului Liga Premier 2019 selepas 14 perlawanan

Sehari sebelum perlawanan Sabah menentang Negeri Sembilan, JDT II terlebih dahulu akan menentang Terengganu FC II dan UiTM FC akan bertandang ke Kelantan.

Berdasarkan perlawanan ini, keputusan boleh sahaja tidak menyebelahi JDT II dan UiTM FC. Oleh itu, kemenangan Sabah ke atas Negeri Sembilan bakal boleh menempatkan mereka di persada liga.

Agaknya mengapa JDT II dan UiTM FC dikatakan sedikit terbeban dalam perlawanan mereka pada 14 Jun ini ya? Terdapat beberapa sebab.

Tanpa mengira keputusan di lain-lain perlawanan, barisan pemain ini harus terus fokus untuk buru kemenangan demi kemenangan.

Antaranya ialah kerana Terengganu FC II juga kini berada dalam landasan yang baik untuk mengintai peluang menjuarai liga. Sudah pasti kunjungan mereka ke atas JDT II akan menyukarkan pasukan kendalian Ervin Boban itu.

Kelantan yang bakal menerima kunjungan pasukan UiTM FC pada 14 Jun ini sudah pasti akan meneruskan rentak cemerlang mereka dan boleh mempamerkan aksi bertenaga seperti yang diperagakan ketika mengikat Terengganu FC II 2-2 di SSINS pada 25 Mei lepas.

3. Suntikan moral buat para pemain untuk teruskan misi ke Liga Super 2020

Kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada Sabtu nanti bukan sahaja akan dapat meningkatkan pungutan mata dan kedudukan Sabah namun juga akan memberikan suntikan moral buat anak-anak buah JA untuk terus fokus melaksanakan misi Liga Super 2020 mereka.

Suntikan semangat yang dimaksudkan ini amat penting untuk mengilhamkan keputusan positif buat Sabah dalam perlawanan mereka yang berikutnya.

Diharapkan Maxsius Musa boleh kembali beraksi dan memberi JA banyak pilihan pemain untuk diketengahkan dalam perlawanan mereka yang berikutnya.

Diharapkan pemain yang lama mengalami kecederaan seperti Maxsius Musa akan dapat pulih sepenuhnya agar JA mendapat lebih banyak pilihan pemain untuk diturunkan dalam baki 7 perlawanan liga mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *