Previu Perlawanan

Sabah uji kekuatan Penang FA Sabtu ini, Misi ke Liga Super 2020 diteruskan

Sabah bakal berhadapan ujian getir dalam misi layak ke Liga Super musim depan apabila mengunjungi pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan ke-13 Liga Premier 2019 di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini bersamaan 25 Mei.

Pulau Pinang berada dalam prestasi baik

Setelah jendela pertukaran pemain dibuka semua pada 2 Mei lepas, pasukan Pulau Pinang telah mengambil langkah drastik dengan memasukkan bekas pemain import Selangor United, Sergio Aguero dan bekas penyerang Melaka United, Anselmo Arruda Da Silva (Casagrande).

Casagrande (tengah) bakal perkuatkan serangan Pulau Pinang menjelang pertemuan dengan Sabah di Stadium Bandaraya Sabtu ini. Foto: Melaka United Soccer Association (MUSA)

Dalam proses itu, pasukan PP terpaksa mengeluarkan penyerang dari Liberia, Ndumba Makece dan pemain tengah dari Haiti, Sebastien Thuriere.

Rombakan pasukan PP ini ternyata berhasil apabila prestasi pasukan Harimau Kumbang ini kelihatan positif dalam 2 perlawanan terakhir mereka.

Dalam 2 perlawanan terakhir PP, mereka menang kedua-dua perlawanan iaitu menang 4-1 ke atas Kelantan di Stadium Bandaraya pada 11 May dan menewaskan JDT II 2-0 di Pasir Gudang.

Walaubagaimanapun, pasukan PP ini berada di kedudukan ke-7 liga hasil 4 kemenangan, 3 seri dan 6 kekalahan selepas mengharungi 13 perlawanan.

Pasukan PP kini telah menjaringkan 16 gol namun dibolosi 18 gol. Ini sudah pasti memberi gambaran bahawa mereka sedikit mempunyai masalah di bahagian pertahanan.

Prestasi pasukan Sabah

Jika dilihat dari segi prestasi terkini pasukan Sabah, mereka berada dalam landasan yang baik untuk layak secara automatik ke Liga Super 2020. Ini kerana mereka hanya dibezakan dengan 2 mata dengan pendahulu liga, UiTM FC yang mempunyai kelebihan 1 perlawanan.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019 selepas Sabah lalui 12 perlawanan. Foto: Malaysian Football League (MFL)

Terbaru, pasukan Sabah berjaya menewaskan pasukan UKM FC di Stadium Bolasepak KLFA, Cheras dengan jaringan 1-0 yang disumbangkan oleh penyerang baru Sabah, Aguialdo Mendes Veiga.

Sabah di pusingan ke-2 ini telahpun menandatangani seorang lagi pemain import iaitu Ahmet Atayev dari Turkmenistan yang banyak beraksi di Indonesia bersama kelab Arema FC dan Persela Lamongan.

Sabah kini masih lagi dengan ketiadaan khidmat Maxsius Musa dan Sabri Sahar berikutan kecederaan yang dialami oleh kedua-dua pemain utama Sabah ini.

Apapun, dengan kecederaan Maxsius Musa yang kian pulih, khidmat beliau mungkin akan diterima semula dalam tempoh terdekat ini. Diharapkan juga beliau akan dapat beraksi menentang PP Sabtu ini.

Para penyokong Sabah sudah pasti amat merindukan kelibat Maxsius Musa dalam kesebelasan utama Sabah. Foto: The Rhinos Troops Media Official

Setelah mengharungi 12 perlawanan, pasukan Sabah kini menduduki tangga ke-3 liga hasil 7 kemenangan, 3 seri dan 2 kalah. Anak-anak buat JA juga turut merekodkan 21 gol dan hanya bolos 12 kali.

Taesu & Rawilson vs Aguero & Casagrande

Prestasi baik Casagrande dan Aguero bakal diuji Sabtu ini kerana mereka akan berhadapan dengan 2 gandingan pertahanan terbaik Liga Premier 2019 iaitu Taesu dan Rawilson.

Park Taesu banyak membantu benteng pertahanan Sabah setakat ini ditambah lagi dengan kombinasi mantap bersama Rawilson. Foto: The Rhinos Troops Media Official

Kehadiran 2 pemain pertahanan Sabah ini memastikan Sabah dibolosi dengan hanya 12 gol daripada 12 perlawanan dengan rekod sebanyak 3 clean sheets.

Perlawanan menentang PP ini sudah pasti amat dinantikan oleh Taesu memandangkan beliau tidak bermain ketika menentang pasukan ini di Likas pada pusing pertama liga berikutan penggantungan perlawanan.

Gandingan Aguero dan Casagrande pula kelihatan sangat garang ketika ini kerana telah berupaya menghasilkan 4 gol dalam 2 perlawanan terakhir mereka.

Apakah keputusan yang bakal terhasil dalam perlawanan ini? Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *