Aguinaldo Veiga muncul wira Sabah ketika tewaskan UKM FC 1-0

Aguinaldo Veiga muncul wira Sabah dalam kemenangan 1-0 mereka ke atas UKM FC dalam perlawanan ke-12 Liga Premier 2019 yang berlangsung di Stadium Bolasepak KLFA, Cheras Jumaat lalu.

Jaringan tunggal Sabah menerusi Aguinaldo ini juga telah membolehkan Sabah terus berada dalam kondisi terbaik untuk mendapatkan kejuaraan Liga Premier 2019 walaupun UiTM FC baru sahaja merampas takhta liga daripada JDT II yang tewas 0-2 kepada Pulau Pinang semalam.

Kedudukan Liga Premier 2019 selepas 12 perlawanan yang dilalui Sabah. Gambar: Malaysian Football League (MFL)

Seperti yang anda semua sedia maklum, Aguinaldo menyertai Sabah berikutan ruang yang telah ditinggalkan oleh Luiz Junior selepas ditamatkan kontrak bersama Sabah.

Dalam perlawanan menentang UKM FC, Aguinaldo kelihatan agak tenggelam memandangkan seringkali mendapat terjahan keras apabila mendapat bola. Ini menyebabkan beliau mengalami kecederaan.

Pemain dari Angola ini menghasilkan beberapa sepakan percuma jarak dekat buat pasukan Sabah di penghujung separuh masa pertama apabila beliau dikasari beberapa kali di hadapan kotak penalti UKM FC namun disia-siakan oleh sama ada Roki ataupun Park Taesu.

Aguinaldo (kiri) dan Atayev (kanan) masing-masing mengerah kudrat untuk membolehkan Sabah membawa 3 mata penuh dari Stadium Bolasepak KLFA di Cheras pada jumaat lalu.

Perlawanan di separuh masa pertama berakhir agak lewat berikutan ia tertangguh lebih sejam selepas terdapat gangguan bekalan elektrik di sekitar Bandar Tun Razak yang turut mengganggu prestasi lampu limpah di Stadium Bolasepak KL.

Bersambung di babak ke-2, pasukan Sabah kendalian JA bermula garang dengan asakan-asakan merbahaya ke arah gawang gol UKM FC dan hampir-hampir menghasilkan gol menerusi Park Taesu melalui situasi set-piece.

Gandingan Park Taesu dengan ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil amat baik sehinggakan menggaggalkan gerakan serangan pasukan UKM FC. Park juga memiliki beberapa peluang menerusi situasi set piece namun berjaya ditidakkan oleh penjaga gol dan pertahanan UKM FC.

4 minit di separuh masa ke-2 menyaksikan Sabah berada di hadapan menerusi jaringan Aguinado Veiga yang melakukan sepakan half volley dari dalam kotak penalti UKM FC selepas hantaran Azzizan Nordin tidak berjaya dikeluarkan dengan baik oleh pemain pertahanan pasukan tuan rumah.

Sabah berjaya mendapatkan beberapa peluang selepas gol Aguinaldo itu namun tidak berjaya diterjemahkan kepada gol. Pemain-pemain seperti Rodoljub Paunovic, Azwan Fattah dan Park Taesu merupakan antara pemain yang seharusnya menghasilkan gol tambahan buat Sabah namun menyaksikan percubaan mereka diselamatkan mahupun off target.

Azzizan (belakang) dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sementara Rawilson Batuil pula berjaya menjalankan tugas dengan baik sebagai pemain pertahanan tengah dan Ketua Pasukan Sabah.

Fakta menarik berkenaan Aguinaldo dalam perlawanan menentang UKM FC

Berikut merupakan 4 fakta menarik yang boleh dirumuskan mengenai Aguinaldo ketika perlawanan menentang UKM FC jumaat lepas:

  1. Menjadi sasaran kekasaran pemain pertahanan UKM FC
  2. Menjaringkan gol pertama bersama Sabah
  3. Digantikan oleh Mazlan Yahya di 10 minit terakhir perlawanan
  4. Masih tercari-cari rentak dan persefahaman bersama rakan sepasukan
  5. Kurang mendapat killer passes dalam perlawanan tersebut

Sabah akan menghadapi pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dalam perlawanan ke-13 Liga Premier 2019. Pulau Pinang ketika ini berada dalam keadaan yang sangat baik dengan kehadiran pemain import baru mereka iaitu Sergio Aguero dan Anselmo Arruda Da Silva (Casagrande).

Kemenangan dalam perlawanan tersebut bakal menyaksikan Sabah bakal mengukuhkan kedudukan mereka untuk terus bersaingan untuk merebut tempat ke Liga Super 2020.