Berita Terkini

Sabah tumpaskan Selangor United FC 1-0, kembali duduki tempat ke-2 Liga Premier 2019

Sabah melonjak ke tangga ke-2 Liga Premier 2019 walaupun sekadar menewaskan pasukan Selangor United FC dengan defisit kecil 1-0 di Likas malam tadi.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019 selepas perlawanan ke-11

Kronologi Perlawanan

Dalam perlawanan ini, Jelius Ating telah menurunkan pemain kesebelasan utama seperti Rozaimie Rohim (PG), Rawilson Batuil (KP), Park Taesu, Randy Baruh, Evan Wensley, Azzizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Alto Linus, Luiz Carlos dan Rodoljub Paunovic.

Kesebelasan utama pasukan Sabah menyaksikan Evan Wensley membuat penampilan sulung.

Sabah memulakan perlawanan dengan cara menyerang dari arah sayap kiri dan kanan yang masing-masing dipertanggungjawabkan kepada Alto Linus dan Jenius Karib.

Hasilnya, Sabah menjaringkan gol menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-6 apabila membuat tap in selepas mendapat cut back daripada Alto Linus yang sebelumnya mendapat hantaran silang daripada Ricco.

Roki meraikan jaringan beliau pada minit ke-6 menerusi tolakan mudah ke gawang Selangor United FC.

Sabah terus mengasak kubu SUFC dan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-9 namun tandukan Park Taesu daripada sepakan sudut Azzizan Nordin hanya singgah di tiang gol kanan pasukan pelawat.

3 minit kemudian, Luiz Carlos mendapat peluang keemasan melalui rembatan jarak dekat namun sepakan padu beliau sempat ditepis oleh penjaga gol pasukan SUFC.

SUFC cuba untuk bangkit dan hampir manyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Franklin Anzite namun tandukan jarak dekat beliau menerusi situasi set piece berjaya diselamatkan oleh Rozaimie.

Alto Linus (kanan) beraksi cukup baik di Sayap Kanan semalam

6 minit kemudian, pasukan pelawat sekali lagi nyaris menjaringkan gol namun kali ini sepakan daripada Nikita Pavlenko hanya sekadar terkena tiang gol kiri pasukan Sabah.

Perlawanan di separuh masa pertama tamat dengan Sabah kekal mendahului pasukan SUFC 1-0.

Bersambung di babak ke-2, pasukan SUFC seakan-akan mendapat suntikan semangat apabila mengasak gawang Sabah bertubi-tubi sejak wisel permulaan separuh masa ke-2 ditiupkan.

Pengadil pula banyak memberikan sepakan-sepakan percuma mudah kepada pasukan SUFC namun kecekapan benteng pertahanan Sabah dan Rozaimie Rohim sendiri telah banyak menidakkan gerakan mereka.

Luiz turut mendapat beberapa peluang keemasan namun tidak berjaya disudahkan kepada jaringan.

Sabah mendapat dereten peluang menerusi Luiz, Roki dan Azzizan di penghujung babak ke-2 namun mereka tidak berjaya menterjemahkannya kepada gol.

Selepas 4 minit masa tambahan dilanjutkan hingga ke 8 minit, keputusan 1-0 kekal untuk membolehkan Sabah menggenggam 3 mata penuh.

Sabah meneruskan perlawanan dalam Liga Premier 2019 ini pada 17 Mei apabila akan bertandang ke Stadium Bolasepak KL di Cheras untuk bertemu dengan pasukan UKM FC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *