Sabah hadapi Selangor United FC di Likas esok, misi ke Liga Super 2020 diteruskan

Sabah akan menghadapi Selangor United FC (SUFC) di Likas pada pukul 8.15 malam esok dalam perlawanan ke-11 Liga Premier 2019 yang baru memasuki pusingan ke-2.

Sabah telah menamatkan pusingan pertama Liga Premier 2019 dengan baik iaitu berjaya menempatkan diri mereka dalam kalangan 3 pasukan teratas bersama-sama dengan JDT II dan UiTM FC.

Kedudukan Liga Premier 2019 selepas pusingan pertama tamat.

Selepas menamatkan pusingan pertama juga menyaksikan Sabah muncul pasukan ke-2 yang yang menjaringkan jumlah jaringan yang besar iaitu sebanyak 19 gol.

Selangor United FC

Pasukan SUFC ini menamatkan pusingan pertama liga di tangga ke-5 dengan 14 mata hasil 4 kemenangan, 2 seri dan 4 kekalahan.

Jika melihat rekod pertemuan kedua-dua pasukan ini, ternyata SUFC mempunyai kelebihan kerana mereka berjaya menewaskan Sabah dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan pusingan pertama di tempat sendiri.

Pasukan Selangor United FC layak diberikan perhatian menjelang pertemuan di Likas malam esok.

Pasukan baru dalam Liga Premier ini sudah pasti akan mempertaruhkan kekuatan pemain asing mereka iaitu bekas penyerang Melaka United musim lepas, Sergio Aguero yang turut menjaringkan gol ketika mereka menundukkan Sabah 2-1 di Selayang.

Selain Sergio Aguero, pemain lain yang perlu diberikan perhatian oleh para pemain Sabah adalah bekas penyerang kebangsaan, Abdul Hadi Yahya dan bekas pemain kebangsaan lain iaitu Rizal Fahmi Rosid dan Fauzan Dzulkifli.

Rizal Fahmi Rosid (kiri) merupakan tonggak pertahanan SUFC yang cukup berpengalaman.

Pasukan SUFC turut dibintangi oleh pemain pertahanan dari Afrika Tengah, Franklin Clovis Anzite, pemain tengah dari Mesir, Eslam Muhamed Zaki dan playmaker dari Uzbekistan, Nikita Pavlenko.

Prestasi pasukan Sabah

Sabah telah menamatkan pusingan pertama Liga Premier 2019 di tempat ke-3 dengan mengutip 18 mata yang diperolehi daripada 5 kemenangan, 3 seri dan 2 kalah.

Perlawanan terakhir mereka menyaksikan Sabah menumpaskan UKM FC 3-1 di Likas hasil sumbangan gol Rodoljub Paunovic, Alto Linus dan Dendy Lowa.

Ketajaman Luiz Carlos dan Roki amat diharapkan dalam perlawanan malam esok.

Jika melihat kepada 4 daripada 5 kemenangan yang diperolehi Sabah adalah ketika mereka bermain di Likas. Ini telah menjadikan Sabah sebagai pasukan terkuat ketika bermain di tempat sendiri.

Mampukah Sabah mengekalkan status Likas sebagai ‘lubuk mata’ buat mereka? Sabah telah menewaskan PDRM 3-1, Pulau Pinang 2-0, UKM FC 3-1 dan TFC II 3-1 di Likas dalam perlawanan sebelum ini.

Hanya UiTM FC dan JDT II yang berjaya menidakkan kemenangan Sabah di Likas.

Hanya pasukan UiTM FC setakat ini yang berjaya menggagalkan Sabah mengutip 3 mata penuh di Likas selepas mengikat Sabah 1-1 di minit-minit terakhir permainan.

Sabah beraksi tanpa Luka Milunovic

Seperti yang semua sudah ketahui, pasukan Luka Milunovic sudah meninggalkan Sabah kerana khidmatnya diperlukan oleh pasukan Melaka United setelah Liridon Krasniqi ‘buat perangai’.

Aksi Luka Milunovic meraikan jaringan selepas menjaringkan gol ketika menewaskan TFC II 3-1.

Ketiadaan Luka sudah pasti amat dirasai oleh para penyokong Sabah. Apa tidaknya, pemain tengah dari Serbia ini mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh membantu sesebuah pasukan bermain dengan lebih baik dan tersusun.

Luka kini telah menjaringkan 3 gol buat Sabah termasuklah gol penting ketika menewaskan pasukan Terengganu FC II 3-1 di Likas dan ketika seri 3-3 dengan Kelantan di Kota Bharu.

Sabah bakal cari pengganti Luka Milunovic

Berdasarkan sidang media baru-baru ini, Sabah akan membawa sekurang-kurangnya 1 pemain import baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Luka.

Hanya 3 pemain import ini yang bakal bermain untuk Sabah malam esok.

Namun begitu perlawanan menentang SUFC malam esok Sabah hampir pasti hanya akan menggunakan 3 pemain import dan posisi Luka akan diisi oleh pemain tempatan yang diberikan kepercayaan oleh Jelius Ating.