Kedudukan terkini Liga Premier 2019 selepas semua pasukan menghabiskan sejumlah 10 perlawanan menyaksikan pasukan Sabah berada di kedudukan ke-3 dengan 18 mata hasil 5 kemenangan, 3 seri dan 2 kekalahan.

UiTM FC merampas kedudukan Sabah di tangga ke-2 apabila membelasah UKM FC 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MPS semalam.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan Zarko Korac menghasilkan hatrik namun menerima kad merah pada minit ke-65.

Pasukan JDT II menduduki tangga teratas liga ketika ini dengan 24 mata hasil 7 kemenangan, 3 seri dan kekal dengan rekod tanpa kalah.
JDT II menewaskan Selangor United FC dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan ke-10 mereka.
Terengganu FC II yang menewaskan pasukan Negeri Sembilan 1-0 di laman sendiri telah membolehkan mereka menduduki tangga ke-4 liga dengan mengumpul sebanyak 16 mata menerusi 4 kemenangan, 4 seri dan 2 kekalahan.

Situasi ketika ini menampakkan betapa Sabah sedang berada di landasan yang betul untuk layak ke Liga Super musim hadapan. Ini kerana, meskipun JDT II menjuarai liga, Sabah dan UiTM FC tetap akan ke Liga Super memandangkan JDT II dan TFC II hanyalah merupakan pasukan Feeder Club yang akan sentiasa bermain di dalam Liga Premier.
Sabah akan memulakan pusingan ke-2 Liga Premier 2019 pada 4 Mei ini bersamaan Sabtu depan apabila melayani kunjungan pasukan Selangor United FC yang kini berada di tempat ke-5.

Perlawanan menentang pasukan Selangor United FC ini juga boleh digunakan sebagai medan untuk membalas dendam atas kekalahan 2-1 mereka di Stadium MBPJ pada perlawanan pusingan pertama yang lepas.
Sabah mempunyai rekod yang baik di Stadium Likas apabila telah menang 4 kali, seri dan kalah sekali dalam 6 perlawanan yang berlangsung di stadium tersebut.

Sudah pasti Sabah akan terus memburu 3 mata untuk memastikan perjalanan mereka untuk layak ke Liga Super musim depan menjadi lebih mudah.