B-21 Sabah - Piala Presiden 2019

Skuad B-21 Sabah temui rentak kemenangan dengan tewaskan PJ CityFC 2-0

Pasukan B-21 Sabah kembali ke landasan baik untuk memburu tempat 4 pasukan teratas Piala Presiden 2019 apabila menewaskan pasukan B-21 Petaling Jaya City FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas petang kelmarin.

Kronologi Perlawanan

Pasukan B-21 Sabah menurunkan Joslan Aping (PG), Aidil Safee (KP), Gerald Gadit, Faqhrurazi Ahmad, Hanafie Tokyo Abdul Hasim, Izzat Aziz, Hasrul Nizam Roslan, Zulkifly Harun, Erick Odo, Eddy Ladius dan Arius Dius Jais.

Barisan kesebelasan utama pasukan B-21 Sabah yang turun menentang skuad B-21 PJ City FC di Likas, petang kelmarin.

Pasukan B-21 Sabah menguasai perlawanan sejak wisel separuh masa pertama ditiupkan dan berjaya mendahului PJ City FC seawal minit ke-12 menerusi jaringan ketua pasukan dari Sandakan, Aidil Safee yang juga merupakan pemain yang telah didaftarkan dalam pasukan Liga Perdana Sabah kendalian Jelius Ating.

Aidil Safee (depan) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama Sabah pada minit ke-12. Gerald Gadit (kiri) dan Izzat Aziz (kanan) turut bersama beliau melakukan selebrasi.

Deretan peluang dimiliki pasukan B-21 Sabah selepas itu menerusi Arius, Eddey, Eric dan Faqhrurazi namun tidak berjaya menemui jaring sehinggalah tamat separuh masa pertama dengan Sabah mendahului pasukan pelawat, 1-0.

Bersambung babak ke-2, pasukan B-21 Sabah menaikkan tempo dan peragakan corak permainan kemas namun terpaksa menunggu hingga minit ke-70 untuk menghasilkan gol ke-2 menerusi sepakan penalti pemain tengah, Zulkifly Harun yang mudah menewakan penjaga gol PJ City FC dengan rembatan kaki kiri.

Zulkifly Harun meraikan jaringan ke-2 Sabah pada minit ke-70 dengan gayanya yang tersendiri. Beliau menjaringkan 2 gol berturut-turut dalam 2 perlawanan terakhir skuad B-21 Sabah.

Sehingga tamat permainan sepenuh masa, pasukan B-21 Sabah kekal dengan kelebihan 2 gol untuk membolot 3 mata penuh di laman sendiri.

Pasukan B-21 Sabah baiki kedudukan dalam Kumpulan A  

Dengan maksimum 3 mata yang diperolehi ini, pasukan kendalian Justin Ganai dan Jhonny Dominicus kini naik 1 anak tangga iaitu dari kedudukan ke-8 ke tangga ke-7 dengan jumlah 11 mata yang dikutip.

Yang amat menarik ialah di mana pasukan junior Sabah ini telah menewaskan pasukan PJ City FC yang sebelum ini menghuni tangga ke-2 dalam Kumpulan A.

Perlawanan ini juga turut menyaksikan Aidil Safee dan Zulkifly Harun menjaringkan gol buat pasukan B-21 Sabah. Dalam perlawanan menentang JDT III sebelum ini, kedua-dua pemain ini turut mencatatkan nama sebagai penjaring meskipun tewas 4-2 kepada pasukan muda Harimau Selatan itu.

Eddey Ladius yang mengalami kecederaan di penghujung musim lepas turut membantu bahagian tengah dan serangan pasukan muda Sabah dengan melakukan gerakan-gerakan merbahaya di bahagian by-line pasukan pelawat.

Diharapkan pasukan B-21 Sabah ini dapat meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *