Sabah mudah mengenepikan cabaran UKM FC apabila menang bergaya 3-1 ke atas pasukan The Varsity Boys itu dalam perlawanan ke-10 Liga Premier 2019 yang berlangsung di Likas semalam.
Kemenangan ini membantu Sabah untuk kekal di tangga ke-2 LP2019 dengan hanya ketinggalan 3 mata di belakang pendahulu liga, JDT II.

Ikuti highlight perlawanan
Sabah telah menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Rawilson Batuil (KP), Rozaimie Rohim (PG), Park Taesu, Dendy Lowa, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Alto Linus, Jenius Karib, Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.

Dalam perlawanan ini, kelibat Luka Milunovic, Maxsius Musa dan Sabri Sahar tidak kelihatan berikutan penggantungan 1 perlawanan (Luka) dan mengalami kecederaan.
Sabah melakukan percubaan tepat ke arah kubu UKM FC seawal 30 saat perlawanan apabila lintangan Alto Linus menemui Rodoljub Paunovic namun percubaan penyerang dari Serbia itu tepat ke dakapan penjaga gawang pelawat.
8 minit kemudian, pasukan UKM FC sempat mencemaskan gawang Sabah apabila rembatan Milad Mansour hanya tersasar beberapa inci di tepi sebelah kiri tiang gol Sabah.

Serangan demi serangan pasukan Sabah akhirnya membuahkan hasil apabila Alto Linus menanduk masuk hantaran lintang Rodoljub Paunovic yang mudah menewaskan penjaga gol UKM FC.
Ia dihasilkan melalui satu gerakan break attack pasukan Sabah dari sebelah kiri kawasan pelawat yang dilakukan sendiri oleh kombinasi Alto-Roki.
Pasukan pelawat sempat mengejutkan pasukan Sabah pada minit ke-43 selepas menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Hafizi Amirudin yang berjaya merembat masuk loose ball di dalam kotak penalti yang berpunca daripada gerakan Mateo Roskam yang terlepas kawalan bola.

Sabah kembali berada 2 gol di hadapan pada minit ke-45 apabila sepakan jarak jauh Dendy Lowa berjaya menewaskan penjaga gol UKM FC dengan cara yang cukup melucukan.
Tamat separuh masa pertama, Sabah memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 2-1 ke atas UKM FC.
Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah cuba melipat gandakan asakan ke atas kubu pelawat dan berjaya menghasilkan gol ke-3 menerusi Rodoljub Paunovic selepas melakukan rembatan leret dari luar kotak penalti UKM FC pada minit ke-60.

Deretan percubaan yang dimiliki Sabah selepas itu bagaimanapun tidak berjaya membuahkan hasil sementara pasukan UKM FC pula buntu untuk menewaskan pertahanan Sabah yang diketuai oleh Rawilson Batuil.
Tamat permainan sepenuh masa, Sabah menang 3-1.
Sabah akan hadapi Selangor United di Likas minggu hadapan
Sabah sekali lagi akan bermain di Likas, Sabtu depan apabila melayani kunjungan Selangor United FC yang menewaskan mereka 2-1 dalam perlawanan ke-8 Liga Premier 2019 yang lepas.
Diharapkan agar momentum kemenangan ini akan dapat diteruskan bagi mengukuhkan lagi kedudukan Sabah di kelompok teratas liga.