Previu Perlawanan

Jipun, Ricco & Azzizan kembali perkuatkan Sabah untuk misi menang ke atas UKM FC

Sabah akan melayani kunjungan pasukan UKM FC dalam perlawanan ke-10 Liga Premier 2019 di Likas esok bersamaan 20 April, pada pukul 8.15 malam.

Ini merupakan perlawanan terakhir buat Sabah dalam pusingan pertama liga memandangkan pasukan Perlis yang sepatutnya dihadapi dalam perlawanan ke-11 telahpun ditunjukkan jalan keluar oleh MFL.

Sejurus selepas perlawanan ini, jendela perpindahan pemain untuk Liga Malaysia 2019 akan kembali dibuka iaitu bermula pada 2-29 Mei.

Prestasi pasukan UKM FC

Pasukan berstatus kelab ini sedang berada di kedudukan ke-7 Liga Premier 2019 dengan 9 mata hasil 2 kemenangan, 3 seri dan 3 kalah daripada 8 perlawanan yang mereka lalui.

Pasukan dengan gelaran The Varsity Boys ini telahpun menghasilkan sebanyak 9 gol dan dibolosi sebanyak 7 gol. Penjaring terbanyak mereka kini ialah bekas penyerang pasukan Sarawak musim lepas, Mateo Roskam dari Croatia.

Mateo Roskam (kiri) merupakan penjaring terbanyak buat UKM FC ketika ini dengan 3 gol.

Selain itu, Micheal Ijezie dari Nigeria dan T. Reuben juga turut menjaringkan 2 gol buat UKM FC. Harus dikenal pasti pemain yang disebutkan ini.

Micheal Ijezie (depan) merupakan penjaring terbanyak UKM FC musim lepas dengan 17 gol daripada 19 perlawanan. Kini beliau hanya menjaringkan 2 gol selepas 8 perlawanan.

Dengan dibolosi sebanyak 7 gol dalam 8 perlawanan, pasukan ini dikatakan mempunyai pertahanan yang baik. Apatah lagi baru-baru ini mereka hanya tewas tipis 1-0 kepada pasukan Liga Super, Pahang dalam saingan Shopee Piala FA.

Head-To-Head Sabah vs UKM FC

Kedua-dua pasukan ini hanya bertemu sebanyak 3 kali sahaja iaitu dalam saingan Liga Premier 2018 dan Piala FA 2017.

Aksi Lee Gil Hoon ketika tewas 3-2 kepada UKM FC dalam perlawanan Liga Premier 2018 yang lepas.

Pasukan Sabah menewaskan UKM FC 2-0 dalam perlawanan pusingan ke-2 Piala FA 2017 namun tewas dua kali dalam saingan Liga Premier 2018 (tewas 3-2 di tempat lawan dan tewas 1-3 di Likas)

Dari rekod pertemuan ini, pasukan UKM FC dilihat mempunyai kelebihan. Namun situasi bisa berbeda-beda karena pemain yang ada juga tidak sama seperti yang dimiliki sebelum ini. Sama-sama kita saksikan.

Prestasi pasukan Sabah

Sabah kini masih kekal di tangga ke-2 Liga Premier 2019 setelah mengumpul 15 mata hasil daripada 4 kemenangan, 3 seri dan 2 kekalahan selepas mengharungi 9 perlawanan.

Kedudukan Liga Premier 2019 selepas 9 perlawanan.

Kemenangan ke atas pasukan UKM FC dalam perlawanan ini nanti bakal menyaksikan mereka terus kekal di kedudukan yang sama jika JDT II menang dalam perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini.

Namun, jika JDT II tewas kepada Pulau Pinang malam ini dan Sabah menang ke atas UKM FC esok, Sabah bakal berada di tangga teratas liga.

Dua pemain Sabah ini, Azzizan (belakang) dan Rawilson (depan) bakal kembali perkuatkan Sabah esok!

Berita gembira buat anda kerana Sabah bakal menerima semula khidmat Azzizan Nordin, Ricco Nigel Milus dan Rawilson Batuil dalam perlawanan menentang UKM FC ini esok.

Maxsius Musa bagaimanapun masih direhatkan untuk 4 minggu lagi ekoran mengalami kecederaan hamstring. Ini adalah peluang untuk Alto Linus beraksi di posisi RMF.

Tindakan drastik kepada pemain yang tidak tunjukkan prestasi baik: Pemangku Presiden SAFA

Dalam akhbar tempatan baru-baru ini, pemangku presiden SAFA, Datuk Peter Anthony telah menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan drastik ke atas pemain yang tidak menunjukkan prestasi baik.

Jadi, perlawanan menentang UKM FC esok ini bakal menjadi penentu nasib sebilangan pemain yang berada dalam pasukan Sabah.

Dalam kenyataan yang berlainan, JA telah menyatakan rasa sedih dan kecewa beliau terhadap pemain import (tanpa menyebutkan nama) Sabah yang banyak mensia-siakan peluang dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Work rate Roki menurut JA dikatakan berada pada tahap yang boleh dibanggakan.

Beliau apapun memuji Rodoljub Paunovic dan para pemain tempatan yang lain atas usaha keras yang mereka lakukan selama ini. Apakah maksud daripada kenyataan ini?

Pemain & Jurulatih tagih sokongan Original Sabahan

Jika bukan kita, siapa lagi? Itu merupakan slogan yang sering kali kedengaran namun dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, kedatangan pemain ke-12 ke Stadium Likas tidaklah begitu baik.

Barisan pemain dan jurulatih Sabah harapkan sokongan padu kita sebagain pemain ke-12.

Oleh itu, para pemain dan jurulatih menyeru kita semua untuk menyemarakkan lagi semangat para pemain dalam usaha mereka mengatasi UKM FC dalam perlawanan yang penting ini esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *