Sabah kutip 1 mata di Likas, kekal di tangga ke-2 Liga Premier 2019

Walaupun memiliki peluang yang cukup banyak untuk menang perlawanan menentang pasukan UiTM FC semalam, Sabah tetap berpuas hati untuk sekadar mengutip 1 mata setelah diikat pasukan The Lions itu, 1-1 di Likas semalam.

Maka benarlah falsafah bekas pemain Harimau Malaya, Ahmad Fakri Saarani yang mengatakan, “Kalau bola tu dah tak nak masuk, buat macam mana pun tetap tak akan masuk”.

Pasukan Sabah turun tanpa 5 tonggak utama iaitu Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Maxsius Musa dan Ricco Nigel milus akibat penggantungan perlawanan mahupun mengalami kecederaan.

Kesebelasan utama Sabah.

Walaubagaimanapun, Sabah tetap memiliki 4 pemain import iaitu Roki, Luiz, Park dan Luka.

Pasukan UiTM FC pula beraksi tanpa penyerang berbisa mereka, Zarco Korac yang turut digantung 1 perlawanan namun tetap memiliki Robert Lopez Mendy, Adi Said dan Bernerd Coulibaly Agele sebagai pemain import.

Kronologi Perlawanan

Perlawanan di separuh masa pertama bermula dengan agak perlahan. Walaubagaimanapun, Sabah hampir sekali menghasilkan jaringan menerusi Park Taesu sekitar 25 minit permainan setelah mendapat peluang terhidang di hadapan gawang UiTM FC namun sepakan kencang seakan-akan melepaskan geram beliau tersasar melepasi gawang pelawat.

Park Taesu (tengah) ditenangkan oleh Luiz dan Roki selepas terlepas peluang wajib gol semalam.

Sabah selepas itu mendapat 2 lagi peluang 1 lawan 1 menerusi Luiz Carlos Junior namun penjaga gol pasukan UiTM FC, Haziq berjaya menidakkan Luiz.

Luiz Carlos terlepas 2 peluang 1 vs 1 semalam.

Pasukan UiTM FC hanya memiliki 1 percubaan ke arah gawang Sabah semalam iaitu menerusi percubaan leret Syed Ariff yang mudah dikawal oleh Rozaimie Rohim.

Bersambung di babak ke-2, Sabah bermula garang dengan melancarkan serangan bertubi-tubi sehinggalah tandukan Rodoljub Paunovic pada minit ke-48 menerjah jaring selepas menerima lintangan baik dari Randy Baruh.

Roki meraikan jaringan beliau pada minit ke-48

Sejurus selepas itu, banyak percubaan Sabah yang hampir menambah jaringan termasuklah percubaan Luka Milunovic yang terkena palang gol UiTM FC dan beberpa percubaan menerusi Luiz Carlos dan Rodoljub Paunovic.

Pasukan UiTM FC patut berterima kasih kepada pengadil perlawanan, kerana kerap memberikan sepakan percuma jarak dekat kepada mereka sehingga Robert Lopez Mendy menjaringkan gol menerusi sepakan percuma jarak 25m pada minit ke-83.

Robert Lopez Mendy (kanan) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-83.

Pasukan Sabah bingkas melakukan serangan selepas itu namun peluang demi peluang menerusi Luiz Carlos dan pemain gantian, Ummareng Bacok di minit-minit akhir permainan tidak berjaya menggegar jaring UiTM FC untuk kali yang ke-2.

Keputusan akhir dari Stadium Likas menyaksikan Sabah terikat seri 1-1 dengan UiTM FC.

Ikuti 5 fakta menarik perlawanan

  1. Sabah kekal di kedudukan ke-2 Liga Premier 2019 selepas 9 perlawananSabah kekal miliki rekod jaringan terbanyak dalam Liga Premier 2019 dengan 16 gol
  2. Sabah turun tanpa kelibat 5 tonggak utama namun tetap memperagakan corak permainan baik
  3. Peluang memburu kemenangan ke-5 berdepan UKM FC Sabtu depan dengan kembalinya pemain utama dalam pasukan
  4. Banyak keputusan pengadil perlawanan semalam yang boleh dipertikaikan termasuklah menidakkan sepakan penalti buat Sabah selepas pemain UiTM FC tertampan bola dengan tangan sebanyak 2 kali dalam kotak penalti mereka.
  5. Prestasi 4 pemain import Sabah cukup baik
Kedudukan terkini Sabah selepas 9 perlawanan Liga Premier 2019.