Previu Perlawanan

Misi 3 mata penuh: Sabah layani kunjungan UiTM FC esok

Sabah akan melayani kunjungan pasukan UiTM FC di Likas esok bersamaan 13 April dalam perlawanan ke-9 Liga Premier 2019 yang berlangsung pada pukul 8.15 malam.

UiTM FC

Mungkin ramai yang sudah mengenali pasukan UiTM FC ini memandangkan mereka sudah bersaing dalam Liga Premier dengan durasi yang cukup lama.

UiTM FC kini menduduki tangga ke-3 liga dengan 13 mata yang dikutip hasil 4 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan. Mereka berada 1 mata di belakang Sabah namun kekurangan 1 perlawanan.

Kedudukan Liga Premier 2019 selepas 8 perlawanan.

Jumlah 15 gol yang dihasilkan oleh UiTM FC adalah sama dengan jumlah jaringan yang dibuat oleh pasukan Sabah. Ini bermakna, pertembungan ini akan menjadi sangat menarik untuk disaksikan.

Penjaring terbanyak pasukan The Lions ini ialah Zarko Korac dengan 5 gol, diikuti oleh Robert Mendy (4 gol) dan Azridin Rosli (3 gol).

Zarko Korac (tengah) dan Robert Mendy (kiri) merupakan mesin gol buat UiTM FC musim ini.

Dari segi prestasi semasa, pasukan UiTM FC tewas 0-1 kepada pasukan Terengganu FC II dalam perlawanan terakhir mereka. Oleh itu, pasukan pelawat akan turun malam ini dengan semangat untuk menang.

Rekod pertemuan Sabah & UiTM FC

Jika melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Sabah dilihat mempunyai kelebihan. 2 perlawanan terakhir sesama mereka menyaksikan Sabah menang semua perlawanan tersebut.

Sabah menang ke atas UiTM FC 3-1 di Likas dan menang 3-0 di Shah Alam dalam saingan Liga Premier musim lepas.

Aksi Rawilson Batuil ketika menewaskan UiTM FC 3-1 di Likas pada perlawanan Liga Premier musim 2018.

Pasukan Sabah

Pasukan Sabah tewas dalam 2 perlawanan terakhir mereka. 2 perlawanan tersebut semuanya berlangsung di tempat lawan yang mana menyaksikan Sabah tewas 1-0 kepada Kelantan United FC dan tewas 2-1 di tangan Selangor United FC.

Sabah kini berada di tangga ke-2 liga dengan 14 mata. Walaubagaimanapun, Sabah mempunyai kelebihan 1 perlawanan jika dibandingkan dengan UiTM FC.

Sabah menghasilkan 15 gol setakat ini dengan Luiz Junior sebagai penjaring terbanyak yang sudah menghasilkan 4 gol diikuti oleh Luka Milunovic (3 gol), Rodoljub Paunovic dan Maxsius Musa masing-masing 2 gol.

Luiz Junior kini penjaring terbanyak Sabah dengan 4 gol.

Menjelang pertemuan dengan UiTM FC nanti, Sabah bakal bermain tanpa Sabri Sahar yang menjalani ‘cuti panjang’ selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Selain itu, dikatakan terdapat juga beberapa pemain utama yang dilihat bakal terlepas aksi menentang UiTM FC nanti sama ada akibat kecederaan mahupun penggantungan perlawanan.

Walaupun bakal kehilangan beberapa pemain utama, Sabah tetap mempunyai khidmat 4 orang pemain import yang boleh menggalas tugas menghasilkan kemenangan buat Sabah esok.

Jangan risau sebab 4 orang pemain import Sabah main malam esok.

Peluang untuk maksimumkan pungutan mata

Sabah akan bermain di Stadium Likas untuk 2 perlawanan berturut-turut iaitu menentang UiTM FC esok dan UKM FC Sabtu depan.

Setakat ini, rekod persembahan pasukan Sabah di Likas adalah baik iaitu hanya tewas sekali dan menang 3 kali dengan defisit jaringan 2 gol iaitu menang 2-0 kepada Pulau Pinang, menang 3-1 ke atas PDRM FA dan Terengganu FC II.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *