Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah tumpaskan Pulau Pinang di Likas, 5 Fakta menarik perlawanan

Pasukan Sabah melonjak ke tangga teratas Liga Premier 2019 selepas mudah menewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 2-0 di Likas, semalam.

Sinopsis & Kronologi Perlawanan

Sabah membariskan Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Mafry Balang, Dendy Lowa, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Maxsius Musa, Luka Milunovic, Rodoljub Paunovic dan Luiz Carlos Junior dalam perlawanan ini.

Kesebelasan utama pasukan Sabah yang turun menentang Pulau Pinang.

Sabah memulakan separuh masa pertama dengan garang apabila meledak gol pertama seawal minit ke-3 perlawanan selepas Luiz Junior menanduk masuk sepakan sudut Sabri Sahar.

Tersentak dengan gol awal Sabah itu, pasukan Pulau Pinang melipatgandakan asakan dan perlu berterima kasih atas kecemerlangan Rozaimie Rohim yang menidakkan peluang 1 lawan 1 Pulau Pinang menerusi Nurfais dan penyerang import dari Zambia, Ndumba Makeche.

Makeche Ndumba (kanan) mendapat beberapa peluang keemasan namun ditidakkan oleh Rozaimie Rohim.

Sejurus selepas itu, Roy sekali lagi menyelamatkan gawang Sabah apabila menepis keluar sepakan jarak 35 meter dari pemain Bek Kiri Harimau Kumbang, Aziz Ismail.

Sabah terpaksa kehilangan Sabri Sahar pada minit ke-25 selepas pemain tengah itu mengalami kecederaan dan mengakibatkan Jelius Ating memasukkan Ricco Nigel Milus.

Sabri Sahar (duduk) mengalami kecederaan yang mengakibatkan beliau digantikan oleh Ricco Nigel Milus pada sekitar 25 minit masa permainan.

Ricco melakukan beberapa percubaan jarak jauh namun tersasar melepasi gawang gol pasukan pelawat.

Tamat separuh masa pertama dengan pasukan Sabah mendahului 1 gol kosong.

Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah tampil dengan permainan yang lebih kemas. Build up play dari kawasan defensive third ke kawasan kotak penalti pasukan pelawat jelas kelihatan.

Hasil kombinasi dan transisi serangan demi serangan Sabah akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran Rodoljub Paunovic pada minit ke-52 berjaya disudahkan dengan mudah oleh Luiz Junior.

Rodoljub Paunovic memberikan assist buat Luiz Junior untuk gol ke-2 Sabah dihasilkan.

Ketika menyedari defisit jaringan yang berpihak kepada pasukan Sabah, Pulau Pinang cuba untuk mencari gol saguhati namun bola jarang sekali sampai ke kotak penalti Sabah.

Tamat perlawanan sepenuh masa, Sabah unggul mengatasi Pulau Pinang dengan jaringan 2-0.

Terdapat 5 fakta menarik perlawanan yang wajib anda ketahui

1. Sabah bermain dengan hanya 3 pemain import

Park Tae Su telah mengalami 1 penggantungan perlawanan setelah mengutip sebanyak 3 Kad Kuning dalam 6 perlawanan terakhir Sabah.

Park Tae Su terlepas aksi menentang Pulau Pinang semalam kerana telah mengutip 3 Kad Kuning.

Pasukan Pulau Pinang pula bagaimanapun telah menyenaraikan kesemua 4 pemain import mereka yang terdiri daripada Kang Seung Jo, Julian Botarro, Sebastien Thuriere dan Makeche Ndumba.

2. Jaringan ke-4 peribadi Luiz Junior untuk Sabah

Sebelum perlawanan ini, Luiz Junior sudahpun mengumpul 2 gol iaitu gol-gol yang beliau hasilkan ketika menewaskan PDRMFA 3-1 di Likas pada perlawanan ke-5.

Luiz Junior kini telah menjaringkan 4 gol buat pasukan Sabah selepas 7 perlawanan.

Dalam perlawanan ini beliau sekali lagi menghasilkan 2 gol dan hampir-hampir berjaya mencatat hatrik pertama beliau musim ini.

3. Luka Milunovic tanpa sebarang jaringan untuk 4 perlawanan berturut-turut

Kali terakhir Luka Milunovic menghasilkan gol buat Sabah adalah ketika perlawanan menentang Terengganu FC II. Selepas itu, beliau masih tidak menghasilkan gol tambahan.

Luka Milunovic menerima anugerah pemain terbaik Liga Premier 2019 edisi Februari daripada PFAM-asiana.my

Ini mungkin disebabkan oleh arahan yang diberikan oleh JA untuk beliau turun sedikit bagi membantu Azzizan Nordin dan Sabri Sahar untuk menjana serangan mahupun memampatkan kawasan DMF Sabah.

4. Sabah melonjak ke tangga teratas Liga Premier 2019

Jaringan penyerang Sarawak, Hudson Dias pada minit ke-72 telah memastikan JDT II gagal mengutip mata penuh dan menyebabkan mereka turun ke tangga ke-2 liga.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019 selepas perlawanan ke-7. Sabah kini menduduki tangga teratas liga.

Ini kerana, Sabah mempunyai jumlah jaringan yang lebih baik jika dibandingkan dengan pasukan JDT II.

5. Mafry Balang tersenarai dalam kesebelasan utama untuk pertama kali musim ini

Ketiadaan Park Tae Su yang digantung perlawanan nampak tidak begitu merisaukan Jelius Ating kerana terdapat Mafry Balang yang berpengalaman dan bermain baik di posisi CB.

Mafry Balang (tengah) telah memastikan kesemua penyerang Pulau Pinang berada dalam poket beliau. Beliau mengalami kecederaan di kepala selepas berlaga dengan penyerang Harimau Kumbang.

Mafry membuktikan kebolehan beliau bermain di posisi tersebut apabila membantu Sabah mendapatkan clean sheet pertama Sabah di Stadium Likas selepas 7 perlawanan.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *