Perjuangan Sabah dalam Liga Premier 2019 diteruskan lagi Sabtu ini (09 Mac – esok) apabila berdepan dengan pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan ke-6 di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi pada pukul 9 malam.
Prestasi pasukan Negeri Sembilan
Skuad Hobin Jang Hobin ini sedang berada di tangga ke-6 liga selepas mengharungi 5 perlawanan hasil 1 kemenangan, 3 seri dan 1 kekalahan.
Pasukan ini boleh digelar sebagai pasukan ‘pakar seri’ memandangkan mereka telah mencatatkan 3 kali seri yang juga merupakan jumlah seri tertinggi jika dibandingkan dengan 10 lagi pasukan lain.

Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super 2018 di tangga tercorot sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada saingan itu musim ini.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai pasukan N9 ini memandangkan kebanyakan pemain mereka adalah berwajah baru dan menampilkan pemain-pemain muda.
Terdapat bekas pemain Sabah yang menyarung jersi skuad N9 ini iaitu Izuan Salehudin dan penjaga gol, Fadzley Rahim.
Pemain Tumpuan
Pasukan Negeri Sembilan mempunyai pemain tengah yang cukup dikenali iaitu Shunsuke Nakatake dari Jepun. Beliau sebelum ini beraksi untuk PDRM FA dan pernah mengecewakan pasukan Sabah musim lepas ketika membantu pasukan PDRM FA menang 3-2 dalam perlawanan terakhir 100Plus Liga Premier 2018.

Selain itu, pasukan N9 ini juga memiliki penyerang berbisa dari Brazil iaitu Jose Almir Neto yang walaupun kini hanya menghasilkan sebanyak 1 gol.
Antara pemain lain yang berkeupayaan untuk menghasilkan gol buat pasukan ini ialah Ferris Danial dan Matheus Vila.
Pasukan Sabah
Pasukan Sabah kini berada di tangga ke-2 Liga Premier 2019 dengan mengumpul sebanyak 10 mata hasil 3 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan dalam 5 perlawanan awal mereka.
Sabah juga kini merupakan pasukan yang paling banyak menghasilkan gol iaitu sebanyak 12 gol. Namun begitu, mereka sudahpun dibolosi sebanyak 8 gol, yang juga merupakan pasukan ke-3 memiliki rekod bolos terbanyak setakat ini.

Kesemua pemain import pasukan Sabah sudahpun berjaya menyumbang gol buat Sabah. Luka Milunovic ketika ini telah pun menghasilkan 3 gol, Luiz Junior dan Rodoljub Paunovic pula masing-masing menjaringkan 2 gol dan Park Taesu pula dengan 1 gol.
Rekod pertemuan Sabah dan Negeri Sembilan
Sabah dan Negeri Sembilan tidak bertemu sesama sendiri musim lepas memandangkan mereka bermain dalam liga yang berbeza. Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu ialah dalam saingan Suku Akhir ke-2 Piala FA 2017 yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0.
Pasukan Sabah menang 2 kali, seri 2 kali dan kalah dua kali dalam 6 pertemuan terakhir mereka. Ini memberi gambaran bahawa tugas pasukan Negeri Sembilan untuk menewaskan pasukan Sabah bukanlah semudah yang disangkakan.
Pengajaran daripada perlawanan lepas
Sabah kini sudah dibolosi sebanyak 7 gol. Malangnya, 5 daripada 7 gol tersebut terhasil melalui situasi bola mati.
Situasi bola mati yang dimaksudkan adalah situasi sepakan percuma, sepakan sudut mahupun sepakan penalti.

Kenyataan JA dalam akhbar tempatan baru-baru ini menyatakan bahawa beliau akan menumpukan lebih perhatian untuk bertahan dalam situasi bola mati.
