Sabah bakal menanti kunjungan pasukan Terengganu FC II dalam perlawanan ke-3 Liga Premier Malaysia 2019 di Stadium Likas pada Sabtu bersamaan 16 Feb ini.
Serba sedikit mengenai pasukan Terengganu FC II (TFC II) musim ini
Pasukan TFC II tidak membuat banyak rombakan ke atas pemain mereka musim ini. Kebanyakan pemain mereka dikekalkan daripada barisan pemain musim lepas kecuali sebilangan pemain import.
Pemain import daripada Haiti, Jean Baptiste dan Sebastian Thuriere kini tidak lagi bersama pasukan TFC II. Pemain yang menggantikan dua pemain ini bagaimanapun mempunyai kehebatan mereka yang tersendiri. Mereka ialah pemain pertahanan dari Ukraine, Serhii Andrieiev dan pemain tengah dari Ivory Coast, Dechi Marcel.


Pasukan TFC II kini berada di tangga ke-2 dan telah berjaya mengumpul 6 mata hasil 2 kemenangan berturut-turut mereka dalam 2 perlawanan.
TFC II menewaskan pasukan Pulau Pinang 3-2 dalam perlawanan pertama dan menewaskan pasukan Selangor United 1-0 dalam perlawnan ke-2.
TFC II kini telah menghasilkan 4 gol. Penjaring gol mereka setakat ini ialah penyerang dari Nigeria yang masih kekal sejak musim lepas, Akani Sunday Wasiu, Bruno Suzuki (Jepun), Serhii Andrieiev (Ukraine) dan Ramzi Sufian.

Pasukan Sabah
Pasukan Sabah tewas 1-2 kepada JDT II yang kini berada di tangga teratas Liga Premier Malaysia 2019 dalam perlawanan pertama mereka.
Walaupun berjaya mendahului seawal minit ke-12 menerusi jaringan Luka Milunovic dalam perlawanan tersebut, pasukan Sabah terpaksa akur dengan 2 jaringan lewat pasukan JDT II hasil gol Mohammed Ghaddar dan Rozaimi Abdul Rahman.

Sabah bagaimanapun hanya menggunakan 3 pemain import pada ketika itu dan mengalami sedikit kesukaran menentang pasukan JDT II yang mempunyai barisan pemain import dan tempatan yang berkualiti.
Pada perlawanan ke-dua, Sabah hanya sekadar seri 3-3 dengan pasukan Kelantan di Kota Bharu walaupun pada suatu ketika pasukan kendalian Jelius Ating itu sudahpun berada di hadapan. Gol minit akhir Kelantan bagaimanapun meranapkan harapan Sabah untuk mengutip 3 mata penuh dari Kota Bharu.

Sabah kini lengkap dengan 4 orang pemain import dan dilihat mampu memberikan tentangan kepada mana-mana pasukan di dalam liga. Luiz Carlos Junior merupakan pemain asing terbaru yang telah mereka miliki.
Selepas 2 perlawanan, Sabah hanya mampu menghasilkan 1 mata hasil 1 kekalahan dan 1 seri. Dengan pungutan mata ini Sabah kini berada di kedudukan ke-9 liga walaupun perjalanan masih terlalu panjang dan terlalu awal untuk dinilai.
Rekod pertemuan Sabah vs TFC II
TFC II merupakan pasukan yang baru dibentuk musim lepas dan berstatus Feeder Club kepada pasukan Terengganu FC yang kini bersaing di dalam Liga Super.
Oleh sebab itu, pasukan Sabah dan TFC II kini baru 2 kali bertemu. Hasil 2 pertemuan kedua-dua pasukan ini menyaksikan pasukan Sabah menang kesemua perlawanan.
Pada perlawnan di Stadium Likas pada 2 Feb 2018, pasukan Sabah menewaskan TFC II dengan jaringan 4-0 dan pada perlawanan di Kuala Terengganu, Sabah sekali lagi menewaskan TFC II dengan jaringan 2-1.


Berdasarkan rekod pertemuan ini, pasukan Sabah dilihat mempunyai kelebihan. Namun harus diberikan perhatian bahawa gaya permainan TFC II kini berbeza dengan kehadiran 2 pemain import yang disebutkan tadi.
Walaubagaimanapun jika melihat kepada semangat di kalangan pemain Sabah ketika ini, mereka boleh mencapai kemenangan pertama musim ini ketika menentang TFC II kelak. JA juga menyifatkan bahawa para pemain kian mendapat rentak.
Soal formasi yang bakal digunakan JA dalam perlawanan ini, JA mungkin akan mengekalkan formasi yang digunakan ketika menentang Kelantan minggu lepas iaitu formasi 4-4-2.

JA sebenarnya harus mevariasikan lagi formasi mereka kerana terdapat formasi 3-4-3 dan 3-5-2 yang masih merupakan antara formasi yang berpotensi berikan kelebihan buat Sabah berdasarkan kekuatan barisan pemain yang mereka miliki kini.
Pemain Tumpuan
Pasukan TFC II memiliki penyerang berbisa tinggi lampai dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu dan seorang lagi penyerang lipas kudung dari Jepun, Bruno Suzuki.

Kedua-dua penyerang ini beraksi bersama-sama sejak musim lepas dan sudah pasti dengan keserasian yang mereka miliki akan dapat mengganggu gugat pertahanan pasukan Sabah jika tidak diawasi dengan cermat.
Bagi pasukan Sabah pula, mereka kini memiliki pemain import baru dari Brazil, Luiz Carlos Junior yang sangat baik di posisi SS dan LWF. Kehadiran bekas penyerang Serbia pula, Luka Milunovic juga telah menambah sengat serangan pasukan Sabah.

Dari segi key player, Sabah akan mempertaruhkan Luka Milunovic dan Azzizan Nordin sementara pasukan TFC II pula memiliki Dechi Marcel dan Ramzi Sufian.