Previu Perlawanan

Separuh Akhir 1 Piala Malaysia 2018: Ketahui 4 taktikal utama yang boleh membantu Sabah untuk kejutkan Perak esok.

Sabah akan menentang pasukan Perak di Stadium Perak, Ipoh pada esok bersamaan 07 Oktober 2018 untuk perlawanan Separuh Akhir Pertama UNIFI Piala Malaysia 2018. Perlawanan ini akan berlangsung pada pukul 9 malam dan dijangka berlaku cukup sengit memandangkan kedua-dua pasukan sudah lama tidak menempatkan diri di pentas akhir.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan untuk kedua-dua pasukan ini  selain rekod pertemuan mereka dalam 3 perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia yang mana menyaksikan Sabah menang 2 kali dan tewas sekali. Sabah menewaskan Perak dalam perlawanan Separuh Akhir 2002 dan 2003 namun tewas kepada Perak di peringkat yang sama pada tahun 2007.

Sabah yang merupakan satu-satunya pasukan dari Liga Perdana 2018 yang layak sejauh ini telahpun mengejutkan gergasi Liga Super seperti Selangor, PKNP dan Kelantan. Sabah yang juga turut dilabelkan sebagai pasukan underdog dalam edisi Piala Malaysia kali telah membuktikan yang mereka mampu membuat kejutan dengan menjadi pasukan pertama layak ke perlawanan Suku Akhir walaupun pada ketika perlawanan di peringkat kumpulan belum habis.

Menentang pasukan Naib Juara Liga Super 2018, Perak merupakan suatu tugas getir buat pasukan Sabah namun jikalau mereka mengetahui kelemahan pasukan Perak, peluang mereka untuk mara ke perlawanan akhir boleh menjadi kenyataan.

Oleh itu mari kita lihat 4 perkara yang boleh dilakukan Sabah agar mereka boleh mengenepikan cabaran pasukan Perak malam esok.

 

1. Ikat Gilmar dan Luiz seketat yang mungkin

Jika melihat gol-gol yang dihasilkan pasukan Perak, ia kebanyakannya terhasil apabila pasukan lawan tidak mengawal dua pemain import pasukan Perak dari Brazil ini dengan rapi. Jika melihat dari segi posisi, Gilmar ini bertindak sebagai target man buat pasukan Perak sementara Wander Luiz bertindak sebagai Second Striker yang sering mengintai ruang yang akan diberikan oleh Gilmar dan pemain Sayap Kiri dan Kanan iaitu Norhakim Hassan dan Firdaus Saiyadi.

Para pemain Perak selalunya akan memberikan bola kepada Gilmar terlebih dahulu sebelum beliau memberi ruang buat sama ada Luiz, Norhakim/Nazrin Nawi dan Firdaus Saiyadi untuk membuat serangan susulan. Ia adalah sama seperti tactical play Sabah yang mana akan mengarahkan bola kepada Pito sebelum Pito membuka ruang untuk serangan melalui sayap mahupun tengah. Perak sudah pasti telah mengenalpasti perkara ini.

Mengapa perlu mengikat Gilmar dan Luiz? Ini kerana, jika pemain ini diberikan ruang untuk mengawal bola dengan baik, mereka boleh merencanakan gerakan menyerang yang strategik untuk rakan sepasukan kerana ke-kreatifan mereka dan ia amat membahayakan. Selain itu, kedua-dua pemain ini mempunyai kelebihan untuk melakukan sepakan dari jarak jauh.

Oleh itu, mengikat Gilmar dan Luiz adalah jalan yang efektif untuk mengurangkan atau meniadakan serangan bahaya pasukan Perak.

 

2. Matikan bola hantaran lintang

Dengan kelajuan dan teknik pemain Sayap Kiri dan Kanan Perak iaitu Norhakim Hassan dan Nazirul Naim serta Firdaus Saiyadi yang sering melakukan hantaran lintang, Sabah perlu untuk mematikan atau menghalang sebarang bentuk hantaran lintang daripada pemain-pemain ini.

Selain kualiti hantaran lintang yang dimiliki oleh pemain sayap dan wing back pasukan Perak ini, kualiti tandukan yang dimiliki oleh Gilmar dan Luiz juga amat berbahaya. Oleh itu, matikan hantaran lintang terlebih dahulu dan jika tidak dapat matikan, berbalik kepada cara nombor 1 iaitu kawal ketat Gilmar dan Luiz. Jika ini dapat dilakukan, nescaya pasukan Perak mempunyai kesukaran untuk menghasilkan gol.

 

3. Hantaran tinggi dan high cross ke arah target man Sabah perlu lebih kerap dan tepat

Mengapa ini penting kerana Sabah perlu mengambil kesempatan terhadap kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Roki dan Pito. Jika melihat kepada fizikal pemain pertahanan pasukan Perak, mereka jauh lebih kecil berbanding dengan target man Sabah iaitu Pito dan Roki.

Dengan menggunakan hantaran tinggi, Pito dan Roki dijangka akan lebih mudah melakukan kawalan. Keadaan ini pasti akan memaksa Brendan Gan dan Leandro untuk turun lebih ke dalam untuk membantu pertahanan Perak dan ini akan memberikan banyak ruang buat Sabah melakukan serangan.

Pemain pertahanan paling tinggi yang dimiliki Perak ketika ini ialah Shahrul Saad namun ini bergantung sama ada Jad Noureddine tidak diturunkan. Pertahanan lain seperti Nazirul Naim, Idris dan Amirul Azhan tidaklah mempunyai ketinggian yang baik namun mereka baik dari segi kelajuan dan kemahiran. Pasukan Sabah harus memikirkan bahawa ini merupakan peluang untuk mereka manfaatkan.

 

4. Perlu amalkan man-to-man marking dan high press

Isitilah man-to-man marking yang dimaksudkan di sini ialah kawalan ketat diberikan kepada setiap pemain Perak yang mana setiap seorang pemain Sabah menetapkan seorang pemain Perak untuk dikawal setiap masa. Sementara high press merupakan corak permainan yang menekan pemain lawan dengan lebih intensitinya ketika mereka mengawal bola tanpa perlu menunggu pemain lawan masuk lebih jauh ke dalam kawasan sendiri.

Kenapa ini perlu dilakukan? Ia diperlukan kerana Perak gemar melakukan serangan yang berasaskan ball possession iaitu corak permainan bertukar-tukar hantaran pendek untuk memastikan bola berada dalam kawalan mereka dalam tempoh yang lama. Jadi, dengan kawalan ketat setiap pemain Sabah kepada setiap pemain Perak, kelancaran pertukaran hantaran pasukan Perak akan menjadi tidak selesa dan mereka akan akhirnya mudah kehilangan bola.

 

Dengan menerapkan 4 cara ini pada perlawanan malam esok, nescaya Sabah akan mampu mengelakkan diri daripada dibolosi oleh Perak dan sudah pasti akan membantu mereka untuk menghasilkan gol berharga di tempat lawan. Namun jika gagal untuk mempraktikkan 4 kaedah penting ini, sudah pasti suatu yang sukar untuk pasukan Sabah kerana pasukan Perak merupakan pasukan yang berkebolehan tinggi.

 

 Hanya doa dan sokongan moral penyokong menjadi pemangkin perjuangan Sabah

Para pemain pasukan Perak telah dijanjikan habuan sebanyak 15 ribu ringgit jika layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 sementara Sabah pula masih berdepan dengan masalah kewangan yang turut memberikan kesan kepada pemain. Daripada situasi ini kelihatan bahawa Sabah tiada morale boost ataupun suntikan moral lain selain sokongan daripada penyokong. Dan apa yang paling penting ialah kita sama-sama doakan mereka agar dapat diberikan keupayaan luar biasa untuk menjadikan misi sukar menjadi misi yang tidak mustahil.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *