Previu Perlawanan

Sabah wajib menang ke atas FELCRA FC malam ini!

Pasukan Sabah akan melayani kunjungan pasukan FELCRA FC dalam perlawanan ke-19, 100PLUS Liga Premier 2018 pukul 8.15 malam ini di Stadium Likas. Perlawanan ini bukan sahaja penting buat Sabah untuk kekal menghidupkan peluang ke Liga Super musim hadapan namun ia juga merupakan perlawanan yang bakal mengesahkan kedudukan tempat ke-2 buat FELCRA FC jika mereka memenangi perlawanan ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama liga, pasukan Sabah dan FELCRA FC hanya sekadar seri 1-1 ketika bermain di Stadium Shah Alam. Sabah bernasib baik dalam perlawanan itu kerana Rendy Rining berjaya menepis sepakan penalti pasukan FELCRA FC di minit-minit akhir permainan. Sabah juga harus berterima kasih kepada Lee Gil Hoon kerana menyumbangkan satu gol menerusi sepakan penalti untuk Sabah membawa pulang 1 mata berharga.

 

Perlawanan dijangka berlangsung sengit

Memandangkan pasukan FELCRA FC hanya perlukan seri untuk kedua-dua perlawanan terakhir mereka, sudah pasti mereka tidak ingin tewas dalam perlawanan menentang Sabah malam ini. Mereka sudah pasti akan menggunakan kelebihan penjaring terbanyak mereka iaitu Anselmo Arruda Da Silva yang kini telahpun menghasilkan sebanyak 17 gol.

Bagi pasukan Sabah pula, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menang ke atas pasukan FELCRA FC untuk menghidupkan peluang tipis layak ke saingan Liga Super musim hadapan. Namun mereka mempunyai tugas sukar dalam perlawanan ini kerana terpaksa berhadapan dengan penjaring terbanyak liga ketika ini iaitu Anselmo Arruda Da Silva atau lebih mesra dipanggil sebagai Casagrande.

 

Wajib menang untuk promosi ke Liga Super dan layak ke Piala Malaysia

Sabah yang hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan yang lalu harus menyalahkan diri sendiri kerana mensia-siakan banyak peluang terhidang sedangkan pencabar utama mereka seperti PDRM dan FELCRA masing-masing mengalami kekalahan mengejut.

Oleh itu, perlawanan ini merupakan perlawanan yang wajib dimenangi Sabah jika masih berharap agar mereka boleh layak ke saingan Liga Super musim hadapan atau sekurang-kurangnya untuk mengesahkan tempat dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Untuk layak dalam saingan Piala Malaysia musim ini, Sabah dilihat harus tidak keciciran sebarang mata kerana pasukan PDRM FA dan JDT II sedang merapatkan jurang ketika ini. JDT II sudahpun memenangi perlawanan menentang pasukan UiTM FC semalam dengan jaringan 2-0 sementara PDRM FA pula mengikat juara liga musim ini, Felda United FC 2-2. Keputusan seri pasukan PDRM FA dan kemenangan JDT II semalam menjadikan kedudukan Sabah ketika ini berada di ke-6 liga.

Kedudukan terkini liga setakat 21 Julai 2018.
Kredit: FMLLP

Untuk pengetahuan, hanya pasukan di tangga pertama hingga ke-5 sahaja yang akan layak secara automatik ke saingan Piala Malaysia musim ini.

 

Diharapkan pemain utama pulih untuk bantu pasukan

Pemain utama Sabah seperti Mafry Balang, Jenius Karib dan Keisuke Ogawa yang mengalami kecederaan diharapkan agar dapat pulih dalam kadar yang segera untuk membolehkan Sabah bersaing dengan lebih adil bersama pasukan-pasukan yang lain.

Memandangkan Jenius dan Ogawa sudahpun menjalani latihan bersama Sabah pada ketika ini, besar kemungkinan mereka akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama Sabah malam ini. Ketiadaan Jenius merupakan suatu yang sangat dirasai kerana pemain ini sememangnya kerap melakukan overlap run di bahagian kiri Sabah. Beliau juga banyak membantu dari segi lintangan-lintangan berbahaya.

 

Diharap penyudah tidak lagi tumpul

Antara faktor utama Sabah hanya seri dalam perlawanan sebelum ini adalah penyudah mereka yang tumpul yang mana tidak mampu menghasilkan gol walaupun mempunyai banyak peluang terhidang. Oleh hal yang demikian, ini sepatutnya tidak lagi menjadi masalah buat Sabah malam ini kerana sudah pasti mereka telah melakukan banyak latihan yang menjurus kepada cara untuk menjaringkan gol dalam pelbagai situasi.

Dengan adanya Roki dan Pito, sekali lagi Sabah harus mengambil setiap peluang yang dimiliki dan terjemahkannya dalam bentuk jaringan.

Dalam perlawanan pusingan pertama Sabah dan FELCRA FC, Sabah dilihat mempunyai banyak peluang untuk menghasilkan jaringan namun hantaran dan percubaan mereka tidak tepat dan menyaksikan mereka hanya mampu seri 1-1.

Lihat artikel ini untuk mengetahui punca kenapa Sabah hanya seri 1-1 dengan pasukan FELCRA FC pada perlawanan pusingan pertama mereka.

 

Kehadiran penyokong beri suntikan semangat

Perjuangan pasukan adalah perjuangan para penyokong Sabah juga. Oleh itu marilah sama-sama berikan sokongan kepada pasukan Sabah malam ini di Likas agar mereka lebih bersemangat. Di samping menyedari mereka harus menang dalam perlawanan malam ini, mereka sudah pasti akan dapat mempersembahkan permainan yang lagi baik jika mendapat suntikan semangat daripada para penyokong.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *