Previu Perlawanan

Sabah bertemu MIFA FC esok, misi ke Liga Super 2019 diteruskan!

Pasukan Sabah akan menerima kunjungan MIFA FC pada 20 Jun ini bersamaan esok di Stadium Likas pada pukul 8.15 malam. Ini merupakan perlawanan ke-15 Liga Perdana 2018 buat Sabah dan yang ke-16 buat MIFA FC. Pertembungan ini dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan terdesak untuk melayakkan diri ke Liga Super 2019.

 

Prestasi pasukan

Dari segi kedudukan dalam liga, pasukan MIFA FC kelihatan lebih baik daripada Sabah kerana kini mereka sedang berada di kedudukan ke-2 liga dengan 22 mata hasil 6 kemenangan, 5 seri dan 4 kekalahan. Sabah yang kurang 1 perlawanan berbanding MIFA FC kini berada di kedudukan ke-5 liga dengan mengumpul sebanyak 18 mata hasil 4 kemenangan, 6 seri dan 4 kekalahan. Menang ke atas MIFA FC pada perlawanan ini bakal akan merapatkan lagi jurang mata di antara kedua-dua pasukan.

Dari segi jumlah jaringan, pasukan MIFA FC dilihat mempunyai prestasi baik dengan mencatatkan sebanyak 27 gol setakat ini dan hanya dibolosi 19 gol. Perbezaan jaringan mereka kini adalah 8 gol. Sementara bagi Sabah pula, mereka telahpun menjaringkan sebanyak 23 jaringan dan dibolosi sebanyak 17 gol. Perbezaan jaringan mereka adalah sebanyak 6 gol. Berdasarkan prestasi ini, pasukan MIFA FC kelihatan baik dalam proses menghasilkan jaringan. Dengan kehadiran semula Rodoljub Paunovic, adakah Sabah akan lebih tajam dalam menghasilkan jaringan?

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, peluang pasukan MIFA FC dan Sabah untuk mendapat 3 mata penuh esok adalah seimbang. Musim lalu, pasukan MIFA FC menang 3-1 ke atas Sabah di tempat sendiri sementara Sabah pula menang 2-1 di Likas. Pertemuan terakhir mereka dalam perlawanan liga musim ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1. Apakah Sabah mampu mencipta kemenangan di laman sendiri esok?

Peledak utama pasukan MIFA FC ketika ini ialah Kpah Sherman dengan berjaya menghasilkan 9 gol peribadi setakat ini sementara penjaring terbanyak buat pasukan Sabah setakat ini ialah Hector Ramos Lebron dengan jumlah ledakan 8 gol.

Pemain tumpuan MIFA FC: Kpah Sherman (Liberia)

Pemain tumpuan Sabah: Hector Ramos Lebron (Puerto Rico)

 

Kehadiran Paunovic suntik semangat pemain Sabah

Kehadiran semula Rodoljub Paunovic bersama Sabah telah memberikan impak pantas kepada Sabah apabila membantu Sabah menang 3-0 ke atas UiTM FC pada perlawanan ke-14 liga. Beliau banyak membantu dalam memberikan ruang buat Hector Ramos dan rakan sepasukan yang lain untuk menjana serangan ke atas kubu The Lions.

Seperti yang semua sedia maklum, Paunovic kembali bersama Sabah kerana Sabah tidak menyambung kontrak Lee Gil Hoon di pertengahan musim ini. Walaupun tindakan tidak menyambung kontrak Lee mengundang marah ramai penyokong, memanggil semula Paunovic dilihat tetap baik untuk pasukan dengan cara menggandingkan beliau bersama Hector Ramos di posisi serangan. Paunovic merupakan penyerang semula jadi sementara Lee pula hanyalah Attacking Midfielder yang diturunkan sebagai penyerang buat Sabah sepanjang tempoh khidmat bersama pasukan.

 

Sabah bakal hilang beberapa tonggak utama 

Pemain yang mengalami kecederaan pada 2 perlawanan yang lalu, Jenius Karib dilihat juga tidak akan dapat meneruskan aksi pada esok memandangkan beliau kini masih dibelenggu kecederaan. Kita boleh ibaratkan situasi Achai ini seperti situasi Mohamed Salah (Liverpool & Mesir) kerana beliau tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Uruguay yang lalu atas sikap berhati-hati jurulatih akan kecederaan yang masih beliau alami.

Apapun ini  bagaimanapun tidak begitu merisaukan memandangan Dendy Lowa boleh beraksi di posisi LB sebagai back up untuk taktikal Jelius Ating.

Selain Jenius, terdapat beberapa lagi pemain yang mengalami kecederaan dan bakal terpaksa direhatkan seperti Justin Samaan dan Mafry Balang. Ketiadaan pemain-pemain ini tidak begitu menggusarkan kerana posisi Mafry Balang boleh diisi oleh pemain lain, begitu juga dengan Justin Samaan.

 

Misi Clean Sheet buat Rozaimie Rohim

Memandangkan prestasi semasa yang kurang baik dan kecederaan yang dialami oleh penjaga gol muda Sabah dari Beaufort iaitu Robson Rendy Rining, ini merupakan peluang terbaik Rozaimie Rohim untuk mencipta Clean Sheet ke-dua dalam Liga Perdana 2018 setelah melakukannya ketika membenam UiTM FC 3-0 di Shah Alam dalam perlawanan ke-14.

Rozaimie atau lebih mesra dipanggil sebagai Roy yang hanya memanaskan bangku simpanan dalam hampir keseluruhan perlawanan liga setakat ini bakal diturunkan dalam perlawanan esok memandangkan Robson Rendy ketika ini mengalami kecederaan dan tidak akan dapat beraksi.

Dalam aksi menewaskan UiTM FC tempoh hari, Roy berjaya menyelamatkan gawang gol Sabah daripada dibolosi dengan membuat sekurang-kurangnya 3 critical saves atau penyelamatan bola kritikal. Aksi beliau menerima pujian ramai pihak.

Ketiadaan Robson bakal diisi oleh Sakri Masri yang setakat ini beraksi cemerlang dalam membantu pasukan Piala Presiden Sabah mendahului carta liga Kumpulan A Piala Presiden 2018.

 

Formasi 4-4-2 bakal dipraktikkan lagi

Formasi asas 4-4-2 yang selama ini merupakan formasi terbaik Sabah dilihat bakal digunakan esok. Dengan tujuan ini maka sudah pastilah 2 pemain di bahagian serangan akan diisi oleh Paunovic dan Hector Ramos.

Dipendekkan cerita, senarai pemain yang bakal diturunkan esok adalah seperti berikut jika tiada sebarang perubahan yang dibuat:

Penjaga gol: Rozaimie Rohim

Pertahanan: Randy Baruh, Rawilson Batuil, Francis Kasonde dan Dendy Lowa

Tengah: Ummareng Bacok/Maxsius Musa, Azizan Nordin, Keisuke Ogawa dan Sabri Sahar

Penyerang: Rodoljub ‘Roki’ Paunovic dan Hector Omar Ramos Lebron

The Rhinos Troops akan kemas kini infomasi terkini berkenaan siapakah yang bakal mengisi tempat di RMF esok memandangkan ketika ini prestasi Ummareng Bacok dan Maxsius Musa berada di suatu tahap yang baik.

 

Kehadiran anda sebagai pemain ke-12 amatlah diharapkan oleh para pemain. Semoga berkat usaha pasukan untuk memantapkan aksi dapat membolehkan mereka layak secara automatik ke Liga Super 2019.