Laporan, Ulasan & Analisis

Final 1 LBR 2017/18: Sharizam & Stinley sumbang 2 bekalan gol Tawau FA

Pasukan Tawau FA membawa bekalan selesa ke Sultan Muhd Ke-14, Kota Bharu, Kelantan pada 12 Mei ini apabila berjaya menewaskan pasukan pelawat, Rantau Panjang EJ-D, 2-1 di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau semalam.

Pasukan Tawau FA kelihatan seperti pasukan yang lebih dahagakan kemenangan apabila tidak penat lelah ke hulu dan ke hilir untuk melancarkan serangan terhadap kubu pertahanan pasukan pelawat, Rantau Panjang.

Dengan serangan yang bertubi-tubi di separuh masa pertama, pasukan Tawau kendalian Adzrien Harun itu berjaya menghasilkan 3 atau 4 peluang one on one di hadapan kotak penalti pasukan pelawat menerusi Sharizam Sahar dan Stinley Peroson Dok.

Ketiadaan Khairul Kamarudin yang mengalami penggantungan perlawanan tidak begitu merisaukan pasukan Tawau FA kerana serangan mereka sentiasa berakhir dengan percubaan ke arah gawang gol pasukan Rantau Panjang.

Pasukan pelawat kelihatan hanya sesekali melakukan asakan namun kekebalan benteng pasukan Tawau FA yang dikawal baik oleh Mikkael Stepanus James dan Datu Armin begitu kebal untuk dibolosi.

Bersambung di babak ke-2, pasukan Tawau FA terus melakukan asakan dengan keyakinan teknik kawalan bola dan tahap kecergasan yang tinggi terhadap pasukan pelawat. Ketika leka menyerang, pasukan Rantau Panjang bertindak balas kepada pasukan tuan rumah dengan menghasilkan gol pertama pada minit ke-62 menerusi Mohd Nor Kamali dalam situasi sepakan percuma jarak jauh yang menempatkan bola di dalam kotak penalti Tawau FA yang menghasilkan situasi kelam kabut dan dimanfaatkan oleh Kamali.

Pasukan Tawau FA yang ketinggalan tidak menampakkan kegugupan malah menjadi pasukan yang lebih dominan selepas itu. Dominasi pasukan Tawau FA nampak begitu baik sehinggakan pasukan Rantau Panjang hanya mampu bertahanan dengan 11 pemain berada di kawasan mereka sendiri.

Kelajuan dan kecergasan kesemua pemain pasukan Tawau FA akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-82 apabila satu serangan pantas pasukan Tawau FA di sebelah kiri gawang Rantau Panjang memberikan ruang buat Sharizam Sahar melakukan rembatan leret kaki kiri yang menemui jaring pasukan pelawat itu.

Sharizam Sahar yang menampilkan kelajuan dan kelincahan larian serta kepakaran menggunakan kaki kiri amat menghiburkan setiap penyokong yang hadir. Rembatan kaki kiri beliau memberikan gol penyamaan buat Tawau FA pada minit ke-82.
Kredit: Media Tawau FA

Di 10 minit terakhir permainan menyaksikan pasukan Rantau Panjang seakan-akan longlai dan tidak mempunyai fitness yang mencukupi apabila pertahanan mereka dipatahkan dengan mudah oleh para pemain pasukan Tawau FA.

Hasilnya, pada minit ke-85, pasukan Tawau FA mendapat satu sepakan percuma di sebelah kiri gawang gol pasukan Rantau Panjang yang betul-betul menemui Stinley Peroson Dok yang melakukan rembatan kaki kiri di dalam kotak penalti yang menyaksikan penjaga gol pasukan Rantau Panjang hanya mampu melihat bola menerjah jaring dengan badan berdiri kaku seperti robot ketiadaan bateri.

Stinley Peroson yang bermain seakan Leopold Alfonso banyak mengucar kacirkan benteng Rantau Panjang EJ-D dan menghasilkan gol kemenangan Tawau FA. 
Kredit: Media Tawau FA

Pasukan Rantau Panjang banyak memberhentikan perlawanan kerana pemain mereka mengalami kecederaan dengan begitu kerap. Apa yang menarik ialah, pemain pasukan Tawau FA hanya sekali ditandu keluar padang kerana kecederaan berbanding dengan para pemain pasukan Rantau Panjang EJ-D yang mengalami kecederaan sendiri akibat kurang fit.

Untuk pengetahuan, kombinasi Stinley Peroson dan Sharizam Sahar ketika ini sudahpun banyak menyumbang kepada kemenangan pasukan Tawau FA dalam kesemua perlawanan LBR 2017/18 kali ini. Kedua-dua pemain ini patut diberikan perhatian oleh pasukan-pasukan tertentu kerana mereka mempunyai bakat yang cukup besar. Tidak dilupakan juga pemain sayap kiri paling ‘cun’ iaitu Khairul Kamarudin dan pemain yang gemar membuat overlap, Hanorman Apid serta pemain pertahanan tengah dan ketua pasukan Tawau, Mikkael Stepanus James.

Tawau dilihat sebagai pasukan yang paling tidak ‘memberikan muka’ kepada sesiapa sahaja yang menentang mereka. Ini kerana, mereka melakukan serangan dengan tidak teragak-agak, mempunyai keyakinan diri membawa bola masuk ke dalam kotak penalti lawan dan boleh bermain sebagai satu unit bertahan dan menyerang secara berpasukan. Corak permainan mereka pantas dan anda tidak boleh mengikuti corak permainan mereka jikalau ingin menang ke atas mereka.

Untuk pengetahuan, pasukan Tawau FA lebih mempunyai rekod cemerlang di tempat lawan berbanding di tempat sendiri. Jadi, hasrat penyokong Rantau Panjang EJ-D untuk melihat kebangkitan pasukan mereka pada 12 Mei ini mungkin akan hanya menjadi satu impian semata-mata. Jelas kelihatan ialah, semangat pasukan Tawau FA lebih berbeza jika mereka bermain di tempat lawan. Seperti apa yang admin katakan sebentar tadi, pasukan Tawau FA tidak kisah pasukan dari manakah anda dan siapakah pemain anda kerana mereka akan pastikan belakang jaring anda akan bergegar.

Rantau Panjang EJ-D, bersedialah anda!