Sabah bakal menanti kunjungan pasukan JDT II esok bersamaan 1 Mei 2018 di Stadium Likas dalam perlawanan ke-10, 100 Plus Liga Premier 2018. Perlawanan terakhir bagi pusingan pertama liga ini akan berlangsung pada pukul 8.15 malam.
Prestasi pasukan JDT II
Pasukan JDT II ketika ini berada di kedudukan tercorot liga tanpa memperolehi sebarang kemenangan dalam 9 perlawanan liga yang mereka lalui. JDT II hanya berjaya mendapat 3 mata hasil 3 kali seri dan 6 kali kalah.
Walaupun pasukan ini dibarisi oleh beberapa pemain utama JDT seperti Fazly Mazlan dan Shakir Shaari, keupayaan mereka untuk menyaingi pasukan-pasukan lain di dalam liga ketika ini masih belum mampu untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat mereka.
Prestasi pasukan JDT II kali ini betul-betul berada di bawah tahap sebenar seperti yang mereka tunjukkan ketika saingan liga musim lalu di mana mereka menempatkan diri dalam kalangan 4 pasukan teratas namun terpaksa akur dalam Liga Perdana memandangkan mereka hanyalah berstatus sebagai feeder club.
Pasukan JDT II seakan-akan kembali bangkit ketika menentang Felcra FC pada perlawanan ke-9 namun mereka mensia-siakan peluang memenangi perlawanan tersebut walaupun mendahului perlawanan dengan gol awal Hadi Fayyadh namun terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada Felcra.
Dari 9 perlawanan yang dilalui JDT II, mereka hanya menjaringkan sebanyak 6 gol dan dibolosi 14 gol. Ini memberikan peluang yang sangat baik buat Sabah dan perlu menajamkan serangan mereka sebaik mungkin agar dapat menghasilkan lebih banyak gol.
Prestasi terkini pasukan Sabah
2 kekalahan berturut-turut Sabah iaitu kalah 3-2 kepada UKM FC dan kalah 2-1 kepada Pulau Pinang merupakan rekod terburuk pasukan Sabah sejak dikendalikan oleh Jelius Ating.
Mungkin kekalahan tersebut boleh dikatakan terjadi disebabkan ketiadaan Heo Jaenyeong yang mengalami kecederaan MCL. Ini kerana, sepanjang Heo dapat beraksi bersama pasukan Sabah, Sabah tidak pernah mengalami kekalahan kecuali ketika tewas 1-2 kepada JDT dalam perlawanan pusingan ke-2 Piala FA 2018 di Likas menerusi masa tambahan.
Dengan 3 kemenangan, 4 seri dan 2 kalah ketika ini Sabah masih lagi berada di tangga ke-3 liga dengan jumlah 13 mata dan berada 4 mata di belakang Felcra FC di tangga ke-2 dan 7 mata di belakang Felda United yang kini berada di tangga pertama.
Sabah ketika ini sudahpun menjaringkan sebanyak 16 gol dan hanya dibolosi 9 gol. Antara jumlah bolos yang paling sedikit di dalamliga setakat ini. Daripada 16 gol itu, 5 dihasilkan oleh Hector Ramos dan membolehkan beliau tersenarai sebagai antara penjaring terbanyak liga.
Keupayaan Hector Ramos kini dipersoalkan
Dai segi kawalan bola, memang Ramos tidak mempunyai msalah. Dia bahkan banyak memberikan assist yang bagus kepada rakan-rakan seperjuangan beliau. Namun apa yang didapati ialah kebanyakan penyokong mempersoalkan kredibiliti belau sebagai penyerang yang mana mereka menyatakan bahawa Ramos ‘berat’ berlari, Ramos punya finishing ‘out’, Ramos pemalas dan sebagainya.
Malah terdapat ramai penyokong yang mencadangkan untuk beliau digantikan setelah jendela perpindahan pemain akan dibuka semua nanti. Mereka seperti biasa gemar melihat aksi penyerang yang laju, mempunyai kemahiran individu yang baik, rajin mendapatkan bola dan juga seorang yang tidak mudah terlepas bola. Antara penyerang yang mempunyai ciri yang ada sebagai complete striker di Malaysia ketika ini ialah seperti Thiago Hernandes dan Gilmar Da Silva.
Walaupun terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Lee Gil Hoon mungkin tidak bersama-sama Sabah lagi atas sebab kontrak, kita harus positif dalam perlawanan ini nanti. Kita tidak nafikan bahawa kehadiran Lee Gil Hoon merupakan suntikan terbaik kepada kekuatan jentera tengah Sabah musim ini dan separuh musim lepas. Lee dimasukkan ke dalam pasukan setelah jendela pertukaran pemain dibuka musim lepas dan berjaya membantu Sabah keluar dari zon penyingkiran ke Piala FAM bahkan Sabah memperbaiki kedudukan di suatu posisi yang selesa ketika itu.
Jika benar seperti apa yang dikhabarkan, kontrak Lee berakhir hari ini jikalau tiada sebarang perubahan minit-minit akhir yang dilakukan oleh Sabah. Kita harus akui, beliau merupakan pemain tengah yang sangat kita perlukan. Sejak kedatangan beliau di Sabah, bahagian tengah kita sudah semakin baik yakni lebih baik daripada musim-musim yang lepas. Kebimbangan utama kita musim lepas ialah kesukaran kita untuk mengawal bahagian tengah kawasan permainan.
Terlalu selesa, memakan diri.
Apa yang kita pelajari melalui kekalahan 2-1 kepada Pulau Pinang tempoh hari ialah kita tidak sepatutnya leka dan berasa selesa ketika berada 1 gol di hadapan. Kita sering dibolosi ketika kita menjaringkan gol pendahuluan setakat ini atas faktor-faktor yang sukar dijelaskan.
Sabah dibolosi ketika sudah mendahului MISC-MIFA ketika seri 1-1 dengan pasukan tersebut dalam perlawanan ke-5 liga. Sabah juga dibolosi ketika sudah mendahului pasukan UiTM FC 1-0 dalam perlawanan ke-6 liga walaupun mereka menang 3-1 dalam perlawanan tersebut. Dan yang terakhir ialah mereka dibolosi selepas mendahului pasukan Pulau Pinang 1-0 pada Sabtu lalu namun terpaksa kecewa apabila tunduk 2-1 di minit-minit akhir permainan.
Para pemain Sabah seharusnya tidak menggunakan taktikal bertahan ketika sudah mendahului. Ini kerana bermain secara negatif akan menyebabkan pasukan lawan akan mempunyai ruang untuk mendominasi permainan dan sudah pasti juga mereka akan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Formasi mainkan peranan penting
Sabah yang bermula dengan formasi 4-4-2 / 4-2-3-1 di separuh masa pertama ketika menentang pasukan Pulau Pinang Sabtu lepas kelihatan begitu selesa mengawal permainan dan hasilnya mereka mencipta jaringan menerusi satu build up play yang menarik. Sabah sepatutnya boleh mengakhiri babak pertama dengan lebih 2 gol namun seperti biasa penyudah sering menjadi penghalang buat mereka hasilkan gol.
Bersambung babak ke-2, Sabah kelihatan kembali dengan taktikal lama iaitu menggunakan formasi 3-5-2 yang kini ‘dibenci’ peminat. Walaupun mereka dapat bertahan dengan 5 pemain pertahanan ketika diasak, ada kalanya dua pemain sayap mereka agak lambat turun ke bahagian LB dan RB yang menyebabkan mereka mudah berasa letih ketika perlawanan separuh masa ke-2. Difikirkan bahawa jika formasi 4-4-2 dikekalkan di separuh masa ke-2, keputusan mungkin akan berpihak kepada Sabah. Sudah-sudahlah dengan formasi 3-5-2 tu.
Perlu konsisten selepas ini
Sudah pasti kita sebagai penyokong Sabah amat berharap Sabah mampu untuk mengatasi cabaran pasukan JDT II di Likas esok. Untuk rekod, Sabah masih belum pernah mengatasi pasukan dari Selatan Semenanjung Malaysia itu di Likas. Kali terakhir mereka bertemu ialah dalam pertemuan pusingan ke-2 Liga Perdana 2017 yang mana Sabah diikat 1-1. Gol Sabah pada ketika itu disumbangkan oleh kapten sendiri, Rawilson Batuil menerusi tandukan. Sabah mempunyai peluang yang banyak ketika itu namun gagal menemui jaring untuk gol tambahan.
Sabah pernah memenangi perlawanan menentang JDT II dalam perlawanan di tempat lawan pada musim 2015 dengan jaringan 4-2 ketika El Hadji Diof, Abdulaye Faye dan Eamon Zayed masih bersama Sabah. Itu merupakan satu-satunya kemenangan yang pernah Sabah kecapi menentang feeder club pasukan JDT ini.
Kemenangan yang dijangkakan bakal diperolehi menentang JDT II ini haruslah dikekalkan hingga ke perlawanan-perlawanan seterusnya untuk memastikan Sabah dapat menghimpit pasukan Felda dan Felcra yang ketika ini berada masing-masing di tangga pertama dan ke-2 liga.
Kalah, menang mahupun seri, kita sebagai warga Sabah seharusnya terus menjadi pemain ke-12 Sabah. Kita amat diperlukan bagi mereka untuk terus merebut slot ke saingan Liga Super musim depan .