Previu Perlawanan

Sang Badak vs Harimau Kumbang, Sabtu ini!

Sabah akan dijangka bangkit lebih kuat kali ini apabila bakal bertemu pasukan Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan esok bersamaan 28 April 2018, pada pukul 9 malam. Perlawanan ini dijangka sengit memandangkan Sabah baru sahaja tewas buat kali pertama di tangan UKM FC pada hari Selasa lepas dan pasukan Pulau Pinang pula mengalami kemarau kemenangan yang kian panjang.

 

Pulau Pinang kemarau kemenangan

Pasukan Harimau Kumbang pastinya akan cuba untuk mengeluarkan taring mereka yang selama ini tenggelam ketika aksi menentang Sabah di laman mereka sendiri pada Sabtu ini. Ini kerana mereka tiada memenangi sebarang perlawanan dalam 6 perlawanan terakhir mereka yang menyebabkan mereka menghuni tangga ke-9 liga dengan hanya 2 kemenangan awal, 2 seri dan 4 kekalahan. Ini merupakan satu tonic point yang dilihat boleh menyemarakkan lagi usaha untuk menang mereka.

Mengetahui akan kekalahan mengejut Sabah terhadap UKM FC pada selasa sudah pasti akan memberikan boost kepada pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan ini nanti. Mereka sudah pasti akan menggunakan taktikal yang digunakan oleh UKM FC pada perlawanan tersebut untuk cuba membolosi gawang pasukan Sabah sebanyak yang mungkin. Namun apakah Sabah akan menggunakan taktikal yang sama pula? Nantikan elemen-elemen surprise daripada JA.

 

Pemain tumpuan Pulau Pinang

Pasukan Pulau Pinang yang hanya menjaringkan 6 gol dalam 8 perlawanan liga setakat ini sudah pasti kelihatan kurang mempunyai pemain yang berstatuskan penyerang prollifik. Walaupun begitu, pasukan Sabah harus lebih berhati-hati terhadap pemain import dari Denmark skuad Harimau Kumbang ini iaitu Ken Ilso. Setakat ini, bekas pemain import pasukan Kedah itu sudahpun menjaringkan sebanyak 4 gol iaitu 2 gol dalam Liga Perdana dan 2 lagi gol dalam Piala FA. Apakah dengan jumlah jaringan sedikit daripada Ken Ilso ini disebabkan oleh kurangnya persefahaman sesama mereka di dalam pasukan Pulau Pinang? Ataupun beliau masih belum mencapai tahap persefahaman yang bagus?

Selain Ken Ilso, Sabah juga dilihat harus memberikan perhatian terhadap beberapa pemain yang sememangnya dikenali ramai seperti penerima anugerah gol terbaik Puskas musim lalu, Faiz Subri yang gemar dengan sepakan percuma outer foot kaki kanan beliau.

Selain itu, pasukan Pulau Pinang juga dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain Attacking Midfielder dari Korea Selatan mereka iaitu Kang Seung Jo yang kini sudahpun mencetak 1 gol di dalam saingan Piala FA. Apapun di dalam saingan liga pula, beliau masih belum pernah menghasilkan jaringan.

Bekas pemain Selangor FA musim lepas, Raimi Md Noor dan anak jati Pulau Pinang bekas pemain JDT, Azinee Taib juga turut berada di dalam pasukan tersebut. Azinee Taib yang mempunyai larian kencang dan lincah di sayap kiri Pulau Pinang sudah pasti perlu diberikan perhatian yang penuh agar beliau tidak dapat melepaskan diri dan membantu pasukannya menghasilkan jaringan.

 

Rekod pertemuan Sabah dan Pulau Pinang

Jika melihat kepada 3 pertemuan terakhir pasukan Sabah dan Pulau Pinang, keputusan nampaknya berpihak kepada pasukan Pulau Pinang kerana daripada 3 perlawanan tersebut, pasukan Harimau Kumbang ini memenangi 2 perlawanan dan Sabah menang sekali.

Dalam pertemuan di Likas ketika perlawanan pusingan pertama Liga Perdana 2015, Sabah menewaskan Pulau Pinang dengan jaringan 1-0 hasil gol Eamon Zayed sementara pasukan Pulau Pinang membalas dendam terhadap pasukan Sabah dalam pusingan ke-2 di Stadium Bandaraya dengan jaringan 4-0.

 

Sabah sekali lagi bermain tanpa Heo Jaenyeong

Heo yang mengalami kecederaan ketika aski menentang Felda United minggu lepas sekali lagi tidak akan bersama-sama Sabah dalam perlawanan menentang Pulau Pinang ini nanti.

Untuk rekod, Heo juga tidak terlibat dalam kekalahan 3-2 Sabah terhadap UKM FC pada selasa lalu sekali gus membuatkan ramai penyokong merindui kelibat beliau.

Heo ketika ini sedang berada di Korea Selatan untuk mendapatkan rawatan lanjut ke atas kecederaan Medial Collateral Ligamen (MCL) yang beliau alami.

Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh JA menerusi akhbar News Sabah Times semalam, Heo dijangka akan dapat beraksi bersama Sabah untuk perlawanan menentang pasukan JDT II di Likas pada 1 Mei akan datang. Ini merupakan berita baik buat semua penyokong sejati (bukan lalang) Sabah pastinya.

Dengan kehadiran beliau semula, sudah pasti kawasan DMF Sabah akan dapat diperkuatkan lagi.

 

Lee Gil Hoon dan Mafry Balang bagai kembali ke tempat asal

Lee Gil Hoon seakan-akan kembali ke tempat asal memandangkan pasukan Pulau Pinang merupakan tempat beliau menabur bakti dalam jangka masa yang lama. Beliau bersama-sama Pulau Pinang sejak penghujung 2013 dan membantu pasukan dengan gelaran The Panther itu layak ke saingan Liga Super 2016.

Kami pasti bahawa kehadiran Lee Gil Hoon amat dialu-alukan di Batu Kawan nanti kerana terdapat ramai penyokong pasukan Pulau Pinang yang sering mengikuti perkembangan bekas pemain-pemain mereka yang bersama Sabah ketika ini iaitu Lee sendiri, Mafry Balang, Elias Sulaiman dan Darwira Sazan.

Walaubagaimanapun, Elias dan Darwira tidak bersama-sama pasukan Sabah dalam perlawanan ini nanti.

Selepas kecemerlangan Mafry Balang dalam membantu pasukan Sarawak dan Pulau Pinang, kini tiba masanya untuk Mafry Balang menyapa “Hai” kepada penyokong pasukan Pulau Pinang di Batu Kawan nanti. Mafry amat disenangi oleh komuniti penyokong pasukan Harimau Kumbang tersebut sehingga menggelarkan beliau sebagai ‘The new Panther’s tanker’ dalam saingan Liga Super 2017.

Kebolehan Mafry Balang di posisi Centre Back di samping sifat kepimpinan yang bagus menyebabkan beliau diberikan mandat sebagai kapten Pulau Pinang dalam banyak perlawanan Liga Super 2017. Walaupun Rafiuddin Rodin merupakan pemain yang paling ‘otai’ dimiliki Pulau Pinang ketika itu, Mafry Balang tetap menjadi pilihan sebagai ketua pasukan.

 

Apakah terdapat perubahan formasi dan line-up pemain Sabah?

Jika melihat bagaimana Sabah mendapat tamparan hebat menerusi kekalahan terhadap pendatang baru liga, UKM FC tempoh hari, kita sepatutnya menyedari bahawa terdapat perubahan drastik yang perlu dilakukan oleh barisan kejurulatihan pasukan Sabah.

Jika percaturan yang dilakukan pada perlawanan menentang The Varsity Boys tempoh hari berhasil, sudah pasti keputusan yang akan diperolehi juga positif. Namun apa yang berlaku adalah disebaliknya. Oleh itu, perubahan sepatutnya dilakukan dengan mengambil kira banyak aspek.

The Rhinos Troops tidak akan menyatakan apa yang seharusnya dilakukan JA memandangkan beliau sendiri memahami dan mengenali pemain beliau sendiri. Orang Kimaragang cakap, “ogumu pama boroson ong mad amu kinongohon amu ie awasi”. Tapi suatu proses fining tune perlu dilakukan beliau untuk mendapat 3 mata berharga dalam perlawanan ini nanti.

 

Masuk kandang Kambing mengembek, masuk kandang Harimau Kumbang kita try mengaum; kita hormati Pulau Pinang.

Tidak kira di mana kedudukan kita dan bagaimana prestasi semasa kita, kita tetap hormati lawan kita tanpa mengira siapa pun mereka. Kita haruslah anggap setiap perlawanan adalah penting dan perlawanan menentang Pulau Pinang ini harus dijadikan landasan kita untuk bingkas bangkit mencapai kemenangan.

Kemenangan 3-2 Felda United FC ke atas pasukan Sarawak semalam (26 April) sudah pasti akan memberikan kelebihan buat Sabah jikalau menang dalam perlawanan menentang pasukan Pulau Pinang ini esok. Ini kerana beza mata di antara Sabah dan Sarawak yang berada di tangga ke-3 setakat ini hanyalah satu mata. Hal yang sama juga dengan Felcra FC. Oleh perkara yang demikian, Sabah haruslah pergunakan peluang untuk memintas Sarawak ini dengan baik dan tidak lagi mengulangi peristiwa ketika menentang UKM FC tempoh hari.

 

Sebagai penyokong dan anggota ke-12 Sabah, marilah kita tiupkan semangat untuk mereka terutama sekali bagi anda yang ada berada di utara Semenanjung Malaysia dan berkesempatan datang. 

Doa anda amatlah diperlukan agar segala proses mencapai kemenangan dapat dilaksanakan dengan lancar.