Laporan, Ulasan & Analisis

6 Fakta Menarik Perlawanan UKM FC vs Sabah.

Sabah tewas buat kali pertama dalam saingan 100 Plus Liga Premier 2018 di tangan pasukan UKM FC dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan ke-8 liga yang berlangsung petang kelmarin di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Sabah pada mulanya turun dengan penuh yakin untuk mendapatkan 6 mata penuh dalam 2 perlawanan away berturut-turut mereka namun kini hanya berharap untuk pulang dengan maksimum 3 mata apabila dijadualkan bertemu pasukan Harimau Kumbang pada 28 April nanti.

 

Semangat juang tinggi UKM FC

Turun sebagai pasukan underdog di tambah pula dengan kedudukan semasa mereka di zon relegasi, pasukan UKM FC tidak menghiraukan hal tersebut sebaliknya berusaha untuk mengasak kubu Sabah bagi mencari gol awal. Walaupun penguasaan tengah lebih dimiliki Sabah, namun dari segi penyudahan peluang, UKM FC dapat mengeksekusinya dengan baik sekali.

Serangan kilat yang dilakukan UKM FC pada minit ke-28 dipergunakan dengan sebaiknya oleh para pemain mereka sehingga membuatkan pemain pertahanan Sabah melakukan defensive error dan menghukum kelalaian mereka denga satu cut back di sebelah kanan byline Sabah disusuli oleh satu rembatan placing Nam Se-In di penjuru atas kiri tiang gol Sabah untuk menewaskan Rendy Rining.

Pasukan UKM FC menambah jaringan pada minit ke-58 apabila Nam Se-In berada pada kedudukan dan masa yang tepat untuk menerima hantaran jauh pemain tangah mereka. Pemain pertahanan Sabah seolah-olah membiarkan pemain import UKM FC dari Korea Selatan yang mempunyai ketinggian 1.67m itu melakukan satu first timer-half volley yang menyaksikan Rendy Rining hanya terpaku.

Secara keseluruhan, pasukan UKM FC beraksi agak baik dari segi menyudahkan peluang walaupun Sabah kelihatan dari segi dominasi permainan terutama sekali selepas Maxsius Musa dan Justin Samaan dimasukkan untuk menggantikan Ummareng Bacok dan Leopold Alfonso Otong.

 

Berdasarkan post mortem dan investigasi yang dilakukan oleh The Rhinos Troops, terdapat beberapa fakta menarik perlawanan di antara Sabah dan UKM FC ini telah dikenal pasti dan difikirkan logik. Antaranya ialah:

1. Formasi dan Line-Up

Baru mendengar perkhabaran tentang formasi dan line-up yang bakal digunakan sebelum perlawanan ini bermula, kami sudah berasa bahawa tindakan tersebut adalah ‘ganjil’ dan mungkin tidak boleh membantu untuk meneruskan rentetan tanpa kalah Sabah. Apa yang ganjil? Pernahkah Ummareng Bacok dan Leopold Alfonso Otong diturunkan dalam kesebelasan utama Sabah untuk 7 perlawanan Liga Perdana dan 1 perlawanan Piala FA sebelum ini? TIADA!

Apapun untuk posisi penyerang, Leopold lebih layak dari segi pengalaman jika dibandingkan dengan Rahmanshah Marajeh dan ini masih kelihatan masuk akal. Bagi Ummareng Bacok pula, menurunkan beliau sebagai pemain kesebelasan utama itu sebenarnya bukan idea yang baik kerana Maxsius Musa sudahpun bebas dari kecederaan dan boleh bermain.

Berkenaan formasi, sudah beberapa kali kita membincangkan tentang formasi 3-5-2 yang kurang berkesan namun seperti mereka tidak menyedari hal tersebut. Tiada perubahan formasi dilakukan walaupun Sabah mempunyai kesukaran untuk menang dengan menggunakan formasi tersebut dalam 6 perlawanan terakhir mereka. Dengan menggunakan formasi tersebut, Sabah kini kalah 2 kali, seri 3 kali dan menang sekali dalam 6 perlawanan terakhir.

Memandangkan penguasaan bahagian tengah Sabah kini sudah bertambah baik, ada eloknya fokus diberikan kepada bahagian pertahanan yang kini kian longgar. Walaupun Heo Jaenyeong tidak dapat beraksi, Sabah masih mempunyai pemain pertahanan kental seperti Randy Baruh yang boleh digandingkan dengan Mafry Balang, Francis Kasonde dan Rawilson Batuil untuk membentuk formasi 4-4-2. Sabri Sahar boleh bersama-sama dengan Azizan Nordin di kawasan Defensive Midfielder, Jenius Karib boleh berada sebagai Left Midfielder, Maxsius Musa boleh diletakkan di Right Midfielder den boleh mengekalkan Lee Gil Hoon dan Hector Ramos sebagai penyerang. Susah sangat?

 

2. Kemasukan Justin Samaan dan Maxsius Musa mengubah permainan

Sejurus selepas kemasukan Maxsius Musa dan Justin Samaan, corak permainan Sabah kelihatan lebih mudah menembusi bahagian kiri dan kanan kawasan pasukan UKM FC. Maxsius yang dikenali dengan larian laju dan hantaran lintang yang baik sepatutnya dimasukkan lebih awal untuk memberikan bantuan yang mencukupi buat Hector Ramos di dalam kotak penalti pasukan tuan rumah.

Menggunakan Ummareng di kawasan RMF Sabah tidak begitu mengancam memandangkan kebanyakan cross yang dilakukan beliau selalu tidak sampai ke dalam kotak penalti pasukan UKM FC. Walaubagaimanapun, Ummareng juga mempunyai peluang baik untuk menjaringkan gol namun beliau mensia-siakan peluang tersebut. Lagi masalah penyudah.

Kemasukan Justin pula telah menambahkan sengat di bahagian sayap kiri Sabah apabila tampil dengan larian lincah dan hantaran lintang yang bagus. Untuk rekod, ini merupakan penampilan ke-dua buat Justin dalam saingan Liga Perdana 2018 dan diharapkan beliau telah dapat membuktikan kepada JA bahawa beliau merupakan pemain yang boleh dijadikan sandaran oleh Sabah. 2 penampilan sebagai pemain gantian setakat ini menyaksikan Justin sudahpun menjaringkan sebanyak 1 gol.

 

3. Ketiadaan Heo Jaenyeong sedikit sebanyak memberikan impak

Perubahan line up yang agak drastik dalam perlawanan ini adalah disebabkan oleh ketiadaan Heo dalam barisan pemain Sabah ke Semenanjung Malaysia berikutan kecederaan yang beliau perolehi dalam perlawanan menentang Felda United FC yang lalu.

Perubahan yang mendadak pemain kesebelasan utama Sabah dalam perlawanan tersebut tidak begitu membantu pasukan Sabah untuk mengambil kesempatan ke atas kekalahan pasukan Sarawak kepada UiTM FC. Kini Sabah masih berada di kedudukan ke-4 liga dengan dibezakan 1 mata dengan Sarawak dan Felcra yang masing-masing berada di tangga ke-3 dan ke-2.

JA telah meletakkan Lee Gil Hoon untuk menggantikan posisi Heo sehingga menyebabkan serangan dan penyudah Sabah tidak begitu impresif. Lee Gil Hoon yang sekian lama digandingkan dengan Hector Ramos sudah pasti tidak akan dapat membantu Hector seperti mana yang beliau selalu lakukan ketika Heo dapat beraksi.

 

4. Faktor bermain di waktu siang

Sebagai pemain dalam era pro ini, ini sepatutnya bukan alasan untuk sebuah kekalahan. Apapun kita tidak menolak kemungkinan bahawa cuaca panas ketika bermain di waktu petang sedikit sebanyak mempengaruhi keselesaan para pemain Sabah memandangkan mereka tidak pernah bermain dengan kondisi tersebut setakat ini. Kelebihan nampak berpihak kepada pasukan UKM FC kerana mereka sudah bermain dengan keadaan tersebut sejak awal liga lagi.

Bermain dalam keadaan tersebut menyebabkan segelintir pemain Sabah yang kelihatan cepat penat dan terlepas penguasaan bola dengan mudah. Antara pemain yang kelihatan sedikit ‘berat’ ketika berlari ialah Hector Ramos dan Azizan Nordin. Bermain di waktu malam kita sendiri dapat saksikan Azizan Nordin menjana serangan dan memberi bantuan pertahanan dengan tidak penat lelah turun naik dari kotak penalti sendiri ke kotak penalti lawan namun dengan proses adaptasi yang mengambil masa, kebiasaan tersebut sudah semestinya sukar dicapai.

 

6. Perlu tekankan latihan penyudah jaringan

Untuk menjadikan setiap peluang yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada gol, latihan-latihan untuk menajamkan penyudah haruslah perlu ditekankan oleh JA terhadap para pemain.

Ramai yang beranggapan bahawa Sabah tidak bernasib baik untuk menjaringkan lebih jaringan namun kita harus lebih realistik dan perlu tekankan kepentingan latihan penyudah di dalam peningkatan ketajaman serangan.
Seperti biasa, Hector Ramos merupakan pemain yang selalu mempunyai peluang lebih banyak untuk menjaringkan gol namun penyudah beliau seperti selalu, tidak begitu mengancam.

Jikalau kita mempunyai penyerang yang lebih sharp di hadapan, Sabah sudah pasti mampu menjaringkan lebih banyak gol. Dengan pemain tengah yang dimiliki sekarang, penyerang yang bijak mencari ruang amatlah diperlukan.

Apapun Hector Ramos berjaya mencatatkan gol ke-5 beliau musim ini dalam perlawanan tersebut. Diharapkan beliau meneruskan rentak menjaringkan gol ketika bertemu Pulau Pinang pada 28 April nanti.

 

6. Sabah bermain dengan tekanan

Tekanan sudah pasti dirasai oleh para pemain Sabah apatah lagi mereka hanya bermain menentang pasukan tercorot liga dan sudah pasti UKM FC bebas daripada tekanan kerana mereka tahu akan posisi mereka. Tekanan buat Sabah juga mungkin datang daripada situasi di mana mereka hanya perlukan kemenangan untuk memintas Felcra FC di tangga ke-2 liga.

Akibat desakan para peminat yang ramai mengharapkan mereka menang selesa terhadap UKM FC, mereka seolah-olah kurang selesa dan sesekali kehilangan fokus. Oleh itu dalam hal ini pengurusan mental haruslah ada diterapkan kalangan pemain. Over confident juga sering kali boleh memakan diri dan ia selalu diakhiri dengan kekecewaan.

Bermain di Pulau Pinang dalam perlawanan ke-9 pada 28 April nanti, Sabah seharusnya tidak tertekan sebaliknya harus kekal fokus. Walaupun pasukan Pulau Pinang itu hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Terengganu FC II dalam perlawanan ke-8 mereka semalam, Sabah tidak seharusnya memandang remeh keupayaan pasukan Harimau Kumbang tersebut.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *