Previu Perlawanan

UKM vs Sabah: Misi 3 mata wajib buat The Rhinos

Sabah akan mengunjungi pasukan UKM FC esok bersamaan 24 April 2018 pada jam 4.45 petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam perlawanan ke-8, 100 Plus Liga Premier 2018. Perlawanan ini dijangka seimbang memandangkan pasukan Sabah tidak pernah beraksi di waktu petang sepanjang 7 perlawanan yang mereka lalui namun bagi pasukan UKM FC pula, ini sepatutnya digunakan sebagai peluang terbaik untuk menambah koleksi mata mereka yang kurang baik setakat ini.

 

Siapakah UKM FC?

Pasukan UKM FC ini secara rasmi dibentuk pada tahun 2013 walaupun ia hanya merupakan pasukan yang menjadi wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pertandingan bolasepak peringkat IPTA/S di Malaysia. Mereka kemudian mengorak langkah berani untuk beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2015.

Sepanjang penyertaan mereka dalam Liga FAM, mereka sering menjadi pencabar terdekat dan berjaya mendapat tempat ke-3 pada musim 2017. Memandangkan Sime Darby FC tidak meneruskan penyertaan mereka dalam kempan 100 Plus Liga Premier 2018, UKM FC mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh SDFC itu secara automatik bersama-sama dengan Felcra FC.

 

Prestasi UKM FC

Permulaan perjalanan UKM FC dalam liga untuk musim ini agak berliku jika dibandingkan dengan pasukan Felcra FC, sebuah pasukan yang naik ke Liga Perdana bersama mereka musim ini. Ini kerana untuk setakat 7 perlawanan yang mereka lalui, mereka hanya menang sebanyak sekali, tewas sebanyak 6 kali dan kini berada di tangga tecorot liga.

UKM FC ketika ini hanya menjaringkan sebanyak 6 gol dan dibolosi dengan 14 gol. Ini sudah pasti memberitahu kita bahawa mereka mempunyai kelemahan yang begitu ketara di bahagian pertahanan. Namun apa yang menarik ialah, pasukan UKM FC ini juga mampu menjaringkan 1 gol dalam setiap perlawanan yang mereka lalui. Adakah mereka mampu untuk menembusi gawang Sabah pada perlawanan esok?

3 mata yang dimiliki pasukan UKM FC ketika ini merupakan mata yang diperolehi menerusi kemenangan 1-0 ke atas JDT II dalam perlawanan ke-3 liga. Prestasi yang kurang baik pasukan UKM FC ini sudah pasti disebabkan oleh kurangnya pengalaman mereka beraksi dalam liga yang kompetatif dan memerlukan match fitness yang tinggi.

Walaubagaimanapun kita haruslah memberikan pujian buat pasukan UKM FC kerana mereka sekurang-kurangnya layak ke perlawanan Pusingan Ke-3 Piala FA 2018 berbanding Sabah yang terkandas di Pusingan Ke-2.

 

Pemain tumpuan UKM FC

Pasukan UKM FC ketika ini begitu bermasalah di kesemua bahagian. Namun kita haruslah memberikan perhatian kepada penyerang utama mereka yang berdarah kacukan Uganda-Rwanda iaitu Athuire Kipson yang kini sudahpun mencetak sebanyak 3 gol dalam 9 perlawanan yang mereka lalui termasuklah perlawanan Piala FA. Oleh itu, penyerang lincah ini haruslah diberikan perhatian yang serius oleh para pemain pertahanan Sabah dalam pertemuan esok.

Attacking Midfielder import pasukan UKM FC dari Korea Selatan, Nam Se-In juga merupakan antara penjaring terbanyak mereka iaitu sebanyak 2 gol setakat ini. Walaupun pemain ini hanya berketinggian 5.48 kaki (ft), kelincahan yang dimiliki beliau haruslah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja.

Dari segi barisan pemain tempatan pasukan UKM FC pula, tidak ramai yang boleh dikatakan pemain tumpuan memandangkan mereka ketika ini kurang dalam memberikan sumbangan jaringan kepada pasukan mereka. Untuk setakat ini, hanya Faidzol Fazreen Shamsudin sahaja yang ada mencetak jaringan iaitu sebanyak 1 gol yang diperolehi ketika tewas 2-1 kepada pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan ke-2 liga.

Walaupun pasukan UKM FC bermain dengan status underdog, Sabah seharusnya tidak memandang remeh keupayaan mereka sebaliknya memberikan persembahan yang sebaik mungkin seperti mana yang mereka sering pamerkan dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Sabah mempunyai kelebihan kerana mereka pernah menewaskan UKM FC pada musim lalu dalam saingan Piala FA dengan jaringan 1-0 di Likas hasil gol Igor Cerina dan assist Radzi Hussin.

Kedudukan semasa 100Plus Liga Premier 2018 untuk setakat 7 perlawanan. Kedudukan Sabah dan UKM FC dibezakan dengan 10 mata.
Kredit: FMLLP

Sabah masih kebal

Setakat 7 perlawanan yang Sabah lalui setakat ini, mereka berhasil memperolehi 3 kemenangan dan 4 seri dengan mengumpul sebanyak 13 mata dan berada di tangga ke-3 liga. Apapun kedudukan pasti berubah selepas ini apabila Malaysia Football League (MFL) memutuskan untuk membatalkan penyertaan pasukan Kuantan FA daripada liga dan menarik balik mata yang diperolehi oleh mana-mana pasukan yang menang dan seri ke atas pasukan tersebut. Pasukan yang bakal mengalami pemotongan mata selepas ini ialah pasukan Felda United FC, PDRM FA dan Sarawak sendiri.

Apa yang menarik untuk diperkatakan ialah kekebalan yang dimiliki Sabah setakat ini dengan masih belum lagi mengalami sebarang kekalahan sama ada bermain di tempat sendiri mahupun di tempat lawan. Dengan 13 gol yang diperolehi, 4 daripada gol tersebut dihasilkan oleh Hector Ramos, 3 daripada Lee Gil Hoon, 2 daripada masing-masing Maxius Musa, Rawilson Batuil dan Heo Jaenyeong.

Lebih menarik lagi ialah 5 bolos yang dimilik Sabah merupakan yang paling sedikit jika dibandingkan dengan pasukan lain. 3 daripada 5 gol yang mereka lepaskan itu adalah berpunca daripada sepakan percuma dan sepakan sudut.

Oleh hal yang demikian, Sabah seharusnya melakukan sesuatu untuk mengelakkan mereka daripada dibolosi lagi melalui situasi bola mati.
Mungkin terdapat perubahan formasi
Dengan kembalinya Mafry Balang dalam kesebelasan utama Sabah, JA sudah pasti menggunakan beliau di posisi asal beliau iaitu di Centre Back. Apapun dengan aksi mantap beliau di posisi Defensive Midfielder ketika seri 1-1 dengan pasukan Felda United FC dalam pertemuan di Likas pada perlawanan ke-7 liga, JA mungkin akan melakukan perubahan formasi dan barisan pemain. Randy Baruh dilihat akan mengambil alih tugas Mafry sementara Mafry sendiri akan mengambil alih posisi Heo Jaenyeong yang mengalami kecederaan. Heo mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan lepas dan terpaksa dikeluarkan padang pada seawal minit ke-18.

Namun seperti yang dibincangkan dalam artikel lepas, formasi 4-4-2 masih merupakan formasi yang paling efektif untuk pasukan Sabah. Ini kerana, keputusan lebih baik diperolehi Sabah dengan penggunaan formasi tersebut jika dibandingkan dengan formasi 3-5-2. Apapun keyakinan JA terhadap pemain CB Sabah ketika ini mungkin menyebabkan beliau lebih fokus terhadap penguasaan tengah dan keberkesanan serangan.

 

Peluang terbaik untuk menekan Felda United dan Sarawak

Walaupun ketika ini berada di tangga ke-3 liga, Sabah mendapat laluan lebih mudah dalam perlawanan ke-8 ini apabila bertemu dengan pasukan tangga terbawah liga berbanding dengan pasukan Sarawak yang akan melayani kunjungan UiTM FC yang dahagakan kemenangan di Kuching dan pasukan Felda United FC yang bakal menentang Felcra FC yang juga masih belum pernah tewas.

Walaupun Sarawak menang dalam perlawanan ini, mereka masih berhadapan dengan pemotongan mata, jikalau seri atau pun kalah maka mereka mungkin akan kehilangan cengkaman di tangga ke-2 dengan mudah. Sementara untuk pasukan Felda United FC, kemenangan ke atas Felcra FC nanti sudah pasti akan mencalarkan rekod tanpa kalah Felcra di samping dapat mengekalkan kedudukan teratas liga.

Untuk itu, Sabah mesti menang dalam perlawanan menentang UKM FC ini untuk mengambil kesempatan terhadap situasi yang kurang baik bagi 3 pencabar utama ini iaitu Sarawak, FUFC dan Felcra FC.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *