Kenali Pemain Anda

Bakat Muda Tumpuan April 2018: Kelvin Pengiran

The Rhinos Troops kali ini akan memperkenalkan kepada anda pemain-pemain muda berbakat dan berkebolehan untuk pergi lebih jauh bersama pasukan Sabah. Kali ini admin akan memperkenalkan kepada anda seorang pemain muda yang berbakat besar dari Kg. Mendulong, Sipitang iaitu pemain pertahanan skuad Bawah 21 tahun Sabah (Piala Presiden), Kelvin Pengiran.

 

Meminati bidang Sukan Bolasepak dan Ragbi sejak kecil

Kelvin Pengiran yang berbangsa Lun Dayeh ini sudahpun berjinak-jinak dengan sukan bolasepak sejak zaman persekolahan lagi. Beliau pernah mewakili SK Mendulong dalam kejohanan Bolasepak MSSD Sipitang dan seterusnya mewakili daerah Sipitang ketika MSS Sabah Sabah pada sekitar tahun 2009/10. Sayang sekali beliau tidak berada dalam senarai pemain Sabah untuk MSSM 2010 di Johor.

Masuk ke sekolah menengah, anak ke-4 daripada 6 orang adik beradik ini beralih minat ke arah sukan Ragbi dan seterusnya mengharumkan nama sekolah SMK Pengiran Omar dalam acara tersebut sejak beliau berada di Tingkatan 1 (13 tahun). Dalam acara ini beliau berjaya mencipta nama sehingga ke peringkat negeri Sabah.

Minat mendalam Kelvin terhadap bolasepak membuatkan beliau sekali lagi mengharumkan nama SMKPO Sipitang di peringkat MSS Sabah. Beliau mewakili daerah Sipitang di dalam kategori Bawah 15 tahun dan seterusnya Bawah 18 tahun pada tahun 2015.

 

Piala Belia 2016 menjadi platform peningkatan prestasi Kelvin

Setelah menduduki SPM dan dengan dorongan serta galakan kuat daripada keluarga, beliau telahpun menyertai sesi pemilihan pemain Bawah 19 (Piala Belia) Sabah pada hujung tahun 2015 yang ketika itu dikendalikan oleh bekas Orang Besi Sabah dan kini jurulatih skuad elit Liga Perdana Sabah, Jelius Ating. Pemilihan tersebut merupakan persediaan Sabah untuk kempen Piala Belia 2016.

Kekuatan di bahagian pertahanan yang dimiliki Kelvin telah dapat dikesan oleh Jelius Ating sekali gus membuatkan nama beliau tersenarai awal dalam kalangan pemain Bawah 19 tahun Sabah. Mungkinkah dengan pengalaman dan karakter ketika bermain Ragbi membuatkan beliau kelihatan lebih baik di posisi CB Bolasepak?

Aksi mantap Kelvin Pengiran (3 dari kiri), banyak menyumbang kepada kekuatan benteng pertahanan skuad Piala Belia dan Piala Presiden Sabah.
Kredit Foto: Sabah Football Fans Club – SFFC

Kemasukan Kelvin ke dalam pasukan Piala Belia 2016 Sabah nampak begitu memberikan impak positif buat pasukan kendalian JA walaupun kebanyakan pemain pada ketika itu (Piala Belia 2016) adalah terdiri daripada muka baru. Gandingan baik beliau bersama sama dengan pemain pertahanan lain seperti Evans Wensly Wenceslaus (Tambunan), Prosper George (rakan se-daerah), Jeniun Karib (KM), Ranilson Batuil (KM) dan Suzairee Samail (KK) telah membolehkan pasukan Piala Belia Sabah menjuarai Liga Kumpulan B Piala Belia Malaysia 2016. Kekuatan pasukan Sabah pada ketika itu tidak berjaya ditandingi oleh pasukan pilihan kejohanan, Kedah namun terpaksa akur tewas dengan aggregat 1-0 terhadap Kelantan pada perlawanan Suku Akhir yang dicemari oleh insiden pergaduhan di Likas.

 

Prestasi sederhana Piala Belia 2017 setelah JA berpindah ke skuad Liga Perdana Sabah.

Dengan JA dinaikkan pangkat untuk menjadi pengendali skuad Liga Perdana Sabah di pertengahan musim 2017, Awang Sabtu ditugaskan untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Walaupun taktikal AS berbeza dengan pendekatan JA, Kelvin Pengiran tetap menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan. Hal ini bermaksud, prestasi Kelvin adalah konsisten di semua perlawanan. Malang buat pasukan Piala Belia 2017 Sabah kerana hanya berada di kedudukan ke-5 Kumpulan B dan seterusnya menyebabkan mereka gagal layak ke peringkat Suku Akhir Piala Belia 2017.

 

Kelvin dan rakan-rakan kembali dengan aksi cemerlang dalam Piala Presiden 2018

Prestasi impresif daripada Kelvin ini menyebabkan beliau mendapat tempat mudah ke dalam pasukan Piala Presiden Sabah musim 2018 ini. Kedudukan beliau dilihat amat sukar digugat dalam kesebelasan utama pasukan Piala Presiden 2018 Sabah di samping Ranilson Batuil, Zaki Sapri dan Evans Wensly Wenceslaus.

Kombinasi Evans Wensly Wenceslaus (gambar), Kelvin Pengiran, Ranilson Batuil dan Zaki Sapri di benteng terakhir skuad Piala Presiden 2018 Sabah begitu kebal dengan hanya bolos 4 dari 11 perlawanan. Jumlah bolos paling sedikit direkodkan setakat ini.
Kredit Foto: Sabah Media Official – SAFA.

 

Dengan aksi cemerlang pertahanan Sabah setakat 11 perlawanan Piala Presiden 2018, mereka kekal berada di tangga teratas Kumpulan A Piala Presiden 2018 dengan 9 kemenangan dari 11 perlawanan. Paling menarik ialah mereka merupakan pasukan yang paling sukar dibolosi iaitu hanya bolos 4 gol dalam 11 perlawanan. Ini merupakan suatu hal yang sangat impresif.

Sebelum artikel ini ditulis bagaimanapun Sabah kecundang 0-1 di tangan Kedah petang hari ini (19 April 2018). Ini hanyalah kekalahan ke-2 mereka dan menyaksikan Kedah berjaya menebus kekalahan 0-1 mereka di Kedah pada pertembungan pertama dengan Sabah. Satu keputusan fair and square sebenarnya untuk kedua-dua pasukan terkuat ini.

Kedudukan terkini Piala Presiden 2018 selepas perlawanan ke-11 buat pasukan Sabah.
Kredit Foto: FAM

The Rhinos Troops akan sekali lagi memperkenalkan salah seorang pemain muda Sabah pilihan sekitar minggu hadapan. Semoga dengan sedikit perkongsian ini akan dapat memberikan suntikan semangat buat anak-anak muda di luar sana untuk menabur bakti kepada pasukan Sabah. Motivasi yang diperolehi melalui pencapaian yang baik sudah pasti akan menyebabkan lebih banyak bakat yang boleh ditampilkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *