Prestasi semasa yang memberansangkan di kalangan pasukan-pasukan dari Sabah dalam pelbagai peringkat saingan liga di Malaysia kini diteruskan lagi dengan kecemerlangan pasukan Tawau FA untuk mengharumkan nama Sabah dalam pertandingan Liga Bolasepak Rakyat 2018.
Terkini pasukan Tawau FA bakal bertemu dengan pasukan Bandar Baharu Kulim Kedah dalam saingan Separuh Akhir 2 Liga Bolasepak Rakyat 2018 yang bakal dilangsungkan pada 21 April ini bertempat di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau.
Pasukan Tawau FA mudah menewaskan pasukan Ipoh FA dalam saingan Suku Akhir dengan agregat 4-1 hasil kemenangan 1-0 ke atas pasukan dari Perak itu di tempat lawan dan kemenangan 3-1 ketika beraksi di hadapan lebih kurang 2000 penyokong di laman sendiri pada 31 Mac lalu.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Tawau – SAFA Tawau.
Perjalanan Perjuangan Tawau FA: Play-Off LBR 2018 bagi Zon Sabah
Terdapat 4 pasukan yang layak ke perlawanan play off LBR 2018 untuk mewakili Zon Sabah dalam LBR Kebangsaan bagi edisi kali ini untuk mengisi 2 slot bagi mewakili Sabah.
4 Pasukan tersebut ialah Kota Marudu, Tawau, Kota Kinabalu dan Keningau.
Hasil daripada perlawanan penentuan itu, pasukan Tawau dan Keningau layak mewakili Sabah setelah berjaya menewaskan lawan masing-masing. Pasukan Keningau berjaya menewaskan Kota Marudu berdasarkan away goal rules walaupun keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan itu terikat dengan agregat seri 2-2.
Pasukan Tawau pula mempamerkan aksi luar biasa di Stadium Tawau apabila menewaskan pasukan Kota Kinabalu 3-0 sekali gus layak ke peringkat kebangsaan dengan agregat 6-1 memandangkan Tawau FA juga menewaskan KK 3-1 di Stadium Likas dalam perlawanan pertama.
Perjalanan Perjuangan Tawau FA: Peringkat Kumpulan (Zon Borneo) LBR Kebangsaan 2018
Kecemerlangan pasukan Keningau dan Tawau dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan LBR Kebangsaan menyaksikan kedua-dua pasukan dari Sabah itu menewaskan pasukan dari Sarawak iaitu Miri dan Kuching Gedong Gators FC masing-masing dengan jaringan 1-0.
Perjalanan penuh berliku bagi pasukan Keningau akhirnya berkesudahan dengan mereka gagal berada dalam kelompok 2 terbaik kumpulan dan sekali gus gagal layak secara automatik ke saingan Suku Akhir LBR Kebangsaan 2018 bersama-sama dengan pasukan Kuching Gedong Gators FC.
Pasukan Tawau yang mengungguli Zon Borneo itu layak secara automatik ke peringkat Suku Akhir dengan merekodkan sebanyak 3 kemenangan, 2 seri dan sekali kalah dalam 6 perlawanan yang mereka lalui. Pasukan Miri FA pula mengiringi pasukan Tawau FA ke peringkat Suku Akhir namun mereka dibelasah teruk oleh pasukan Rantau Panjang dengan agregat 8-3.
Suku Akhir LBR Kebangsaan 2018: Tawau FA jinakkan Ipoh FA (Perak)
Suku Akhir 1: Ipoh FA 0 Tawau FA 1
Pasukan Tawau FA yang membuat perhitungan dengan pasukan Ipoh FA itu diramalkan mendapat ‘kesukaran’ memandangkan pasukan Ipoh FA beraksi cukup cemerlang dalam saingan peringkat kumpulan lagi di mana wakil dari Perak itu masih belum tewas dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.
Walaubagaimanapun, pasukan Tawau FA berjaya menidakkan anggapan tersebut dengan mendominasi hampir keseluruhan perlawanan Suku Akhir 1 yang berlangsung di Padang Rekreasi Cina, Ipoh pada 12 Mac lalu itu. Pasukan Ipoh FA seakan-akan hilang punca walaupun bermain di hadapan rata-rata penyokong mereka sendiri.
Dominasi pasukan Tawau FA jelas begitu baik dengan corak hantaran pendek dan terarah ke bahagian sayap kiri dan kanan. Pemain serba boleh, Sharizam Sahar dan Khairul Kamaruddin banyak mencorakkan serangan Tawau di samping kontribusi hantaran-hantaran berkualiti daripada ketua pasukan mereka, Mikkael Stepanus James.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Tawau – SAFA Tawau.
Perlawanan Suku Akhir 1 berkesudahan dengan Tawau FA menundukkan pasukan Ipoh FA menerusi jaringan menarik Khairul Kamaruddin sebaik separuh masa ke-2 dimulakan. Gol tersebut terhasil melalui satu tandukan dari jarak dekat setelah Khairul menerima hantaran lintang cantik dari arah sebelah kanan pintu gol Ipoh FA yang mendukacitakan ratusan penyokong tuan rumah.
Pasukan Tawau FA sepatutnya boleh mengasilkan dua lagi gol selepas itu namun penjaga gol pasukan Ipoh FA bertindak cemerlang menidakkan percubaan yang kebanyakannya dilakukan oleh Khairul Kamaruddin dengan menggunakan kaki kiri.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Ipoh.
Suku Akhir 2: Tawau FA 3 Ipoh FA 1 (agg: 4-1)
Pasukan Tawau FA yang beraksi di hadapan lebih 2 ribu penyokong di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau pada 31 Mac lalu tidak mempunyai masalah untuk membenam pasukan pelawat, Ipoh FA apabila menang mudah 3-1 untuk membolehkan mereka melangkah ke perlawanan Separuh Akhir dengan agregat 4-1.
Pasukan Tawau FA mendahului pasukan pelawat dengan jaringan 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Stinley Peroson dan Hanorman Appid. Kedua-dua jaringan tersebut adalah hampir serupa iaitu menerusi satu serangan kilat pasukan Tawau FA di sebelah kiri kawasan Ipoh FA yang dimulai oleh pemain yang berkebolehan menggunakan kaki kiri, Khairul Kamaruddin. Peluang di dalam kotak penalti telah disempurnakan dengan begitu baik sekali oleh Stinley dan Hanorman.
Bersambung babak ke-2 perlawanan, pasukan Ipoh FA berjaya mengurangkan defisit jaringan dengan menymbat 1 gol namun Tawau FA terlalu ampuh mematikan harapan tinggi setinggi Gunung Korbu kebanggaan pasukan pelawat menerusi jaringan bekas pemain pasukan UMS, Sharizam Sahar. Perlawanan Suku Akhir 2 tamat dengan Tawau FA menang 3-1 ke atas Ipoh FA dan 4-1 secara agregat.
Sharizam juga menghasilkan gol tunggal pasukan Tawau FA dalam perlawanan pembukaan LBR 2018 (peringkat kumpulan) menentang pasukan Miri FA di Padang Rekreasi Lutong, Miri. Sharizam Sahar berjaya menjaringkan gol melalui sepakan placing shot selepas melakukan larian solo di dalam kotak penalti pasukan Miri FA. Sharizam Sahar juga menjadi watakk penting ketika Tawau FA menewaskan Keningau FA 5-0 dalam saingan peringkat kumpulan bagi Zon Borneo.

Separuh Akhir LBR Kebangsaan 2018: Tawau FA hanya selangkah ke Final
Separuh Akhir 1
Pasukan Tawau FA yang bermain selaku pasukan pelawat di Kulim, Kedah dalam perlawanan Separuh Akhir 1 pada 14 April lalu tidak menghampakan penyokong Tawau FA yang hadir apabila berjaya membolosi gawang tuan rumah di separuh masa ke-2 permainan dalam keadaan cuaca buruk dan padang becak. Walaupun pasukan Bandar Baharu tidak pernah tewas dalam peringat kumpulan dan Suku Akhir, pasukan Tawau FA tidak menghiraukan hal tersebut dan sebaliknya mengasak kubu mereka sehingga robek.
Hujan lebat yang turun sebelum dan semasa perlawanan telah menyebabkan keadaan padang di Padang Awam Bandar Baharu, Kulim digenangi air dan menyukarkan kedua-dua pasukan untuk bermain dengan rentak selesa. Akibat keadaan ini, kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan hantaran-hantaran bola tinggi bagi mengelakkan bola tersekat dalam proses pertukaran hantaran.
Hasilnya, pasukan Tawau FA berjaya menjaringkankan gol kemenangan 1-0 di babak ke-2 permainan menerusi Sahran Sahar yang menanduk masuk bola rebound dari dakapan penjaga gol Bandar Baharu selepas satu sepakan sudut pasukan Tawau FA dari arah kiri gawang gol tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Separuh Akhir 2 LBR 2018: Sokongan warga Tawau dan Sabah amnya ditagih 21 April ini!
Menjelang perlawanan Separuh Akhir 2 LBR 2018 pada 21 April ini, The Rhinos Troops menyeru agar warga Tawau dapat meluangkan masa untuk memberikan sokongan semangat dan moral buat para pemain Tawau FA dalam menghadapi pasukan pelawat, Bandar Baharu Kulim di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau.
Sebagai pemain ke-12, kehadiran anda sudah pasti dapat membantu pasukan Tawau FA dalam membendung kemungkinan kebangkitan mengejut pasukan pelawat dalam perlawanan ini. Memandangkan pasukan pelawat ketinggalan dengan 1 gol menerusi agregat, maka mereka sudah pasti akan melipatgandakan kekuatan serangan mereka. Oleh hal itu, kehadiran penyokong amat penting bagi meningkatkan lagi semangat perjuangan para pemain Tawau FA sekali gus memenangi perlawanan tersebut dan layak di pentas akhir LBR 2018.
Warna Biru merupakan lambang kemegahan Tawau FA, oleh itu anda diingatkan untuk memakai baju berwarna biru ketika hadir menyaksikan perlawanan ini.