Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah vs Felda United: 6 Fakta Menarik Perlawanan

Sabah berjaya merencatkan rentetan kemenangan berterusan pasukan Felda United dalam saingan 100 Plus Liga Premier 2018 apabila mengikat pasukan dengan gelaran The Fighters itu 1-1 di Likas semalam. Dengan keputusan ini, pasukan Sabah dan Felda United masih lagi belum tewas dalam kesemua perlawanan yang mereka lalui dan muncul pasukan yang mempunyai pertahanan terbaik setakat ini.

Ikuti fakta-fakta menarik sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.

1. Formasi fleksibel dari 3-5-2 ke 4-4-2 buktikan ia berkesan

Kehadiran semula Mafry Balang selepas penggantungan 1 perlawanan secara automatik ketika menentang UiTM FC pada 10 April telah menyebabkan JA menggunakan semula formasi 3-5-2 di awal permainan menentang pasukan Felda United FC (FUFC) semalam.

Fomasi awal yang diterapkan oleh JA dalam aksi bertemu Felda United.

Namun setelah Heo Jaenyeong dikeluarkan berikutan kecederaan, JA memasukkan Randy Baruh untuk memperkuatkan lagi pertahanan Sabah. Kemasukan anak muda dari Sipitang itu telah memberikan fleksibeliti yang bagus untuk formasi Sabah berubah-ubah dari 3-5-2 ke 4-4-2 dan sebaliknya ketika ia diperlukan.

Ketika bertahan, Sabah mempraktikkan formasi 4-4-2 dan kelihatan Mafry Balang berada di kawasan Centre Back, Randy Baruh pula berada di Right Back di samping Jenius Karib dan Maxius Musa turun ke kawasan pertahanan kiri dan kanan. Situasi tersebut memberikan kelebihan buat Sabah kerana mempunyai 6 pemain pertahanan ketika bertahan.

Ketika menyerang, kelihatan Mafry Balang bermain sebagai Defensive Midfielder dan berjaya memainkan peranan yang cukup penting dengan hantaran-hantaran baik ke kawasan sayap kanan Sabah. Peluang terhidang baik sekali buat Sabah menghasilkan gol ialah pada minit ke-60 apabila Mafry Balang melakukan satu hantaran through pass yang memberikan Maxsius Musa peluang 1 vs 1 dengan Farizal Harun namun mujur sepakan placing shot kaki kanan dari Maxsius berjaya ditepis keluar untuk sepakan sudut.

Dengan formasi fluid pasukan Sabah ini, mereka berjaya melakukan serangan dan bertahan dengan baik sekali. Ia suatu idea menarik memandangkan pasukan yang mereka lawan ada pasukan terkuat di dalam liga setakat ini.

 

2. Sabah lebih efektif dalam melakukan percubaan

Sabah mempunyai peluang menjaringkan gol yang lagi baik jika dibandingkan dengan pasukan FUFC. Ini kerana kebanyakan percubaan pasukan FUFC hanyalah berbentuk hantaran lintang yang berjaya dikawal oleh pemain pertahanan dan penjaga gol Sabah.

Jika dilihat daripada deretan peluang yang dimiliki Sabah, ia bebentuk percubaan kea rah gawang yang sama ada ditepis keluar oleh penjaga gol FUFC ataupun tersasar melepasi gawang mereka. Ini membuktikan bahawa pemain Sabah lebih efektif dalam melakukan berbanding dengan pasukan FUFC.

Pasukan FUFC juga boleh dikatakan bernasib baik kerana penjaga gol mereka bertindak cemerlang menidakkan peluang-peluang Sabah jikalau tidak perlawanan semalam merupakan perlawanan yang paling mereka ingati seumur hidup.

 

3. FUFC turunkan 3 pemain import dan 2 orang berstatus naturalisasi

Pasukan FUFC dibarisi oleh 3 pemai import dan 2 orang pemain yang berstatus naturalisasi dalam perlawanan semalam. Lebih menarik ialah, kesemua pemain ini merupakan pemain serangan pasukan mereka. Gilberto Fortunato dan Thiago Fernandes merupakan penyerang utama pasukan FUFC sementara Iain Ramsay bermain sebagai sayap kiri, Currans Ferns dan Stuart Wilson Wark pula bermain sebagai Attacking Midfielder pasukan FUFC.

Selain 5 pemain ini, pasukan FUFC juga turut dilengkapi dengan kehadiran pemain sayap kanan Harimau Malaya, Wan Zack Haikal yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan semalam. Bekas pemain berpengalaman negara, Shukor Adan dan Norfazly Alias juga berada dalam senarai pemain pasukan FUFC semalam. Walaubagaimanapun kehadiran pemain-pemain hebat ini tidak begitu menggetirkan benteng pertahanan Sabah yang masih berstatuskan pertahanan terbaik liga setakat ini.

 

4. Pemain Felda United: Sabah pasukan terkuat setakat ini

Berdasarkan salah seorang daripada pemain import pasukan FUFC, Sabah merupakan pasukan terkuat setakat ini yang mereka lalui. Ini adalah kerana, dalam 6 perlawanan yang mereka lalui, FUFC memenangi kesemua perlawanan tersebut dengan 2 kali mendapat ‘clean sheet’.

Tidak boleh dinafikan lagi kenyataan tersebut memandangkan setiap pergerakan yang cuba direncanakan oleh pasukan FUFC dapat dipatahkan engan mudah oleh para pemain pertahanan pasukan Sabah. Juga, seperti yang telah dibincangkan, serangan pasukan Sabah dilihat lebih kemas dan teratur jika dibandingkan dengan variasi serangan yang dilancarkan oleh pasukan FUFC.

 

5. Rawilson: Zero to Hero

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa gol pertama adalah hasil daripada kesilapan Rawilson Batuil, mereka tidak sedari bahawa gol tersebut tidak akan terhasil jikalau Mafry dan Kasonde memberikan bantuan kepada beliau ketika beliau dibayangi dengan begitu rapat sekali oleh Wan Zack Haikal.

Dalam situasi tersebut, beliau tidak mempunyai ruang untuk melakukan back pass kepada Rendy Rining kerana kedudukan mereka terlalu rapat. Sebaliknya beliau telah melakukan clearance yang kelihatan seperti cut back pass ke arah sebelah kiri dengan harapan terdapat bantuan dari pemain pertahanan lain untuk dapat mengawal bola tersebut. Memandangkan bola tersebut agak lemah, Wan Zack sempat melakukan kawalan dan menolak masuk bola ke dalam gawang gol ketik Rendy Rining tidak menyangka situasi tersebut boleh memberikan ruang kepada pemain FUFC untuk melakukan percubaan.

Selepas kesilapan tersebut, Rawilson tampil dengan persembahan yang lebih mantap dengan mengantisipasi setiap pergerakan serangan pasukan FUFC. Rawilson dapat berjaya melakukan interception untuk semua bola tinggi mahupun rendah. Kombinasi baik beliau bersama Mafry Balang, Francis Kasonde dan Randy Baruh juga telah banyak menggagalkan serangan pasukan FUFC.

 

6. Lee Gil Hoon watak penting perjuangan Sabah

Kekuatan di bahagian tengah pasukan Sabah musim ini banyak ditunjangi oleh Heo Jaenyeong, Azizan Nordin, Maxius Musa, Sabri Sahar, Jenius Karib dan Lee Gil Hoon walaupun Lee sering diturunkan sebagai Second Striker pasukan Sabah. Dalam perlawanan semalam, boleh dikatakan bahawa Lee Gil Hoon memainkan watak penting dalam merencanakan serangan pasukan Sabah.

Penyerang Sabah, dua dari kanan, meraikan jaringan beliau menerusi sepakan penalti pada minit ke-33 bersama-sama dengan rakan sepasukan.

Lee Gil Hoon berjaya melakukan beberapa percubaan yang merbahaya termasuklah satu percubaan jarak 45 meter yang hampir-hampir memerangkan penjaga gol FUFC yang keluar dari kawasan jagaan beliau. Gol Sabah pula terhasil melalui sepakan penalti Hector Ramos pada minit ke-33 permainan setelah pemain FUFC mengasari Lee Gil Hoon ketika beliau melakukan gerakan solo di sebelah kanan kotak penalti pasukan FUFC.

Dalam perlawanan semalam juga menyaksikan persefahaman yang baik diantara Lee bersama dangan Sabri Sahar di sayap kiri yang berjaya menghasilkan hantaran lintang berkualiti ke dalam kotak penalti FUFC. Apapun tandukan-tandukan yang dilakukan Hector Ramos menerusi hantaran lintang tersebut tidak menepati sasaran dan membuatkan penjaga  gol FUFC berasa lega.

 

Pasukan Sabah akan meneruskan saingan liga pada 24 April nanti dan akan bertemu pasukan UKM FC di tempat lawan. Perlawanan ini perlu dimenangi Sabah untuk terus mengasak Felda United yang kini masih berada di puncak liga. Pertemuan dengan UKM FC itu nanti dilihat tidak begitu sukar namun para pemain seharusnya tidak mengambil mudah perlawanan tersebut.