Previu Perlawanan

Sabah vs Felda United: Misi Sukar Tapi Bukan Misi Yang Mustahil

Pasukan Sabah bakal berdepan Felda United FC esok bersamaan 14 April, 8.15 malam dalam perlawanan ke-7, 100 Plus Liga Premier 2018 di stadium keramat, Stadium Likas,  Kota Kinabalu. Ini merupakan misi sukar buat Sabah namun berdasarkan situasi pasukan dan chemistry pemain ketika ini, mengalahkan pasukan pelawat ini adalah suatu perkara yang boleh dilakukan.

 

Prestasi semasa Sabah dan Felda United FC

Felda United FC (FUFC) kini berada dengan gah di puncak 100 Plus Liga Premier 2018 dengan mengutip maksimum 18 mata hasil 6 kemenangan dari 6 perlawanan.

Mereka ketika ini sudahpun menghasilkan sebanyak 18 gol dan hanya dibolosi dengan 4 gol. Ini bermakna, pasukan FUFC mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan 3 gol dalam setiap perlawanan mereka. Ini merupakan suatu yang mantap. FUFC ini mempunyai goal machine yang hebat dan sukar dibendung.

Pasukan Sabah juga tidak kurang hebatnya. Mereka kini berada di tangga ke-2 liga dan dipisahkan dengan hanya 6 mata di belakang FUFC hasil daripada 3 kemenangan dan 3 seri dalam 6 perlawanan secara total. Paling menarik ialah, pasukan Sabah juga hanya dibolosi dengan 4 gol. Namun apa yang lebih mengujakan ialah, 3 daripada 4 gol mereka dibolosi adalah hasil situasi set piece atau bola mati menerusi sepakan percuma (bolos ketika menang 3-1 ke atad UiTM FC), menerusi sepakan penalti (bolos ketika seri 1-1 dengan FELCRA FC) dan menerusi sepakan sudut (bolos ketika seri 1-1 dengan pasukan MiISC-MIFA FC). Sabah hanya dibolosi menerusi serangan break attack yang dilakukan Sarawak ketika seri 1-1 di Likas.

Dengan prestasi semasa kedua-dua pasukan, kita boleh melabelkan perlawnan ini sebagai perlawanan di antara pasukan dengan serangan paling berbisa di dalam liga dan pasukan yang mempunyai pertahanan terbaik di dalam liga. Ini merupakan pertembungan paling menarik untuk setakat ini.

 

Barisan pemain bintang pasukan Felda United FC

Pasukan Felda United FC (FUFC) kendalian B. Sathianathan yang memenangi kesemua 6 perlawanan liga setakat ini sebenarnya dibarisi oleh kebanyakan pemain yang berstatus bintang. Ini adalah termasuklah pemain tempatan dan juga pemain import.

3 daripada 4 pemain asing buat pasukan FUFC adalah berasal dari Brazil. Mereka ialah penyerang berbisa, Thiago Augusto Fernandes dan Gilberto Fortunato selain pemain pertahanan Thiago Junio.

Seorang lagi pemain asing bagi FUFC ialah Iain Ramsey yang juga merupakan pemain kelahiran Australia dan beraksi untuk pasukan kebangsaan Filipina.

Thiago Fernandes haruslah diberikan perhatian serius oleh para pemain Sabah memandangkan pemain ini sudahpun meledakkan 15 gol dalam 15 perlawanan terakhir beliau bersama pasukan FUFC. Adakah ini tidak menyeramkan? Sudah pasti Francis Kasonde dan Rawilson Batuil dilihat perlu mengawal ketat pemain ini.

Rakan senegara Thiago Fernandes, Gilberto Fortunato juga harus diberikan tumpuan oleh para pemain Sabah kerana beliau ketika ini merupakan antara peledak utama pasukan FUFC.

Untuk setakat 4 perlawanan yang beliau telah lalui, beliau telahpun menyumbat sebanyak 6 gol. Ini adalah suatu jumlah jaringan yang mantap dan wajar membuka mata para pemain pertahanan Sabah.

Kebanyakan pemain tempatan pasukan FUFC pula merupakan pemain yang pernah dan sedang menyarung jersi kebangsaan. Mereka antaranya, pemain sayap kiri dan kanan – Syamim Yahya, Second Striker/Attacking Midfielder/Right Wing Harimau Malaya – Wan Zack Haikal, pemain tengah B23 Malaysia – Danial Ameer, bekas pemain kebangsaan – Shukor Adan dan Nurfazly Alias serta pemain serba boleh seperti Christie Jayaselan, Hadin Azman, Farizal Harun dan Irwan Fadli Idrus.

Selain pemain bintang asing dan tempatan, pasukan FUFC juga dilengkapi dengan pemain naturalisasi yang mantap seperti pemain kacukan Scotland-Malaysia yang juga bekas pemain Sabah pada musim 2016 iaitu Stuart James Wilson Wark dan pemain kacukan Australia-Malaysia yang juga bekas pemain JDT II, Curran Lawrence Ferns. Jika dilihat secara kasar, pasukan FUFC seolah-olah bermain dengan 6 pemain import dengan susuk fizikal yang baik.

 

7 perkara yang perlu dilakukan Sabah menjelang perlawanan menentang pasukan FUFC (pendapat B Oken Tacts sahaja) :

1. Boleh kekalkan Formasi 4-4-2

Formasi 4-4-2 terbukti paling berkesan dengan barisan pemain yang dimiliki Sabah pada ketika ini. Ini kerana, melalui 4 perlawanan dengan formasi ini menyaksikan Sabah menang 3 darinya dan 1 seri. Terbaru, pasukan Sabah menundukkan pasukan UiTM FC dengan 3-1 dengan mengaplikasikan formasi ini. UiTM FC harus berterima kasih dengan penjaga gol mereka kerana jika beliau tidak cemerlang menidakkan peluang pasukan Sabah dalam perlawanan itu sudah pasti UiTM FC dibolosi lebih daripada 5 gol.

Apapun jikalau 4-4-2 dikekalkan, Randy Baruh dan Mafry Balang dilihat sukar diturunkan bersama-sama. Kedua-dua pemain ini merupakan pemain yang paling baik berada di posisi Right Back ketika ini selain Dendy Lowa dan Alto Linus.

 

2. Cuba formasi lain jika perlu

Adakah anda merasakan perubahan formasi lain untuk pasukan Sabah ketika menentang FUFC esok? Ini kerana serangan pasukan FUFC memerlukan pemain pertahanan yang ramai untuk melakukan kawalan memandangkan Gilberto Fortunato dan Thiago Fernandes mempunyai kelajuan dan fizikal yang amat mencabar.

Jika ia merupakan suatu isu yang perlu ditangani dan perlu diambil serius, JA dilihat perlu menurunkan sekurang-kurangnya 4 Centre Back dan 2 Wing Back. Oleh itu, untuk memenuhi taktikal ini, formasi 4-5-1 boleh digunakan tanpa perlu bergantung kepada formasi 3-5-2.

Formasi 4-5-1 (4-2-3-1) yang boleh digunakan jika ingin menggunakan Randy Baruh dan Mafry Balang secara serentak.

 

3. Randy Baruh mungkin perlu dikekalkan dalam kesebelasan utama Sabah

Percaya atau tidak, setiap kali Randy Baruh diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama Sabah, Sabah berjaya memperolehi kemenangan kecuali satu perlawanan di mana mereka seri 1-1 dengan pasukan FELCRA FC. Ini mungkin hanya teori sahaja dan tidak mempunyai maksud apa-apa namun boleh diambil kira.

 

4. Teruskan latihan penyudah yang on target

Pasukan Sabah ketika ini sudah mempunyai kombinasi game play permainan yang mantap dengan menghasilkan banyak percubaan merbahaya di hadapan gawang lawan. Ini dibuktikan ketika Sabah menewaskan pasukan UiTM FC 3-1 di Likas pada 10 April lalu yang mana menyaksikan Sabah menghasilkan banyak percubaan on target namun kebanyakannya belum cukup untuk menewaskan penjaga gol.

5. Gunakan Justin Samaan jika perlukan kepantasan Sayap Kiri pada minit akhir

Menggunakan Justin Samaan dilihat sebagai satu taktikal minit akhir permainan dalam proses untuk melakukan serangan dari kawasan wide iaitu di kawasan sayap kiri dan kanan lawan. Ini kerana, beliau mempunyai kepantasan yang baik dan mempunyai sepakan kaki kiri yang kencang. Ini juga dengan harapan pemain pertahanan FUFC sudah keletihan di penghujung babak permainan.

 

6. Defensive Line Sabah perlu tidak terlalu tinggi

Dengan kelajuan penyerang pasukan FUFC serta ketepatan through pass mereka, Defensive Line pasukan Sabah dilihat tidak perlu terlalu tinggi kerana ia akan menyusahkan proses bertahan ketika kehilangan bola dan ketika penguasan bola oleh pihak lawan.

 

7. Misi sukar namun jangan fikir ia mustahil

Perlawanan ini boleh dianggap sebagai ‘perlawanan akhir’ buat Sabah memandangkan mereka bakal menentang pasukan yang hebat dan masih tidak terkalahkan. Ini misi sukar namun tidak mustahil untuk membuatkan Felda United balik dengan tangan kosong. Harus diingat bahawa kita menewaskan pasukan Perlis dalam saingan Liga Super 2005 dengan jaringan 2-0 di Likas walaupun ketika itu Perlis merupakan pasukan terkuat dan tak terkalahkan.

 

Oleh hal yang demikian, kehadiran anda untuk memberikan semangat buat para pemain Sabah amatlah diperlukan esok. Pasukan ketika ini sudah menunjukkan peningkatan luar biasa dan wajar untuk kita menjadi pemain ke-12. Kalau bukan kita, siapa lagi.