Laporan, Ulasan & Analisis

Badak jinakkan Sang Singa di Likas, 8 Fakta Menarik Perlawanan.

Sabah meleburkan rekod tanpa kalah pasukan UiTM FC apabila menjinakkan pasukan dengan gelaran The Lions itu di Likas semalam dengan jaringan 3-1. Mereka yang tidak terkalahkan dalam 5 perlawanan itu terpaksa tunduk di tangan Sabah sekali gus mengakibatkan mereka kini terkandas di kedudukan ke-5, 100 Plus Liga Premier 2018.

Kronologi Perlawanan

Sabah dalam perlawanan ini mengaplikasikan formasi 4-4-2 dengan menurunkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol, Rawilson Batuil sebagai ketua pasukan, Francis Kasonde, Randy Baruh, Jenius Karib, Heo Jaenyeong, Azizan Nordin, Maxsius Musa, Sabri Sahar, Lee Gil Hoon dan Hector Ramos Lebron.

Pasukan Sabah tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan ke gawang UiTM FC melalui Lee Gil Hoon pada minit ke-7 namun percubaan kaki kanan beliau tersasar melepasi palang gol. Gerakan itu berpunca daripada satu set up daripada Hector Ramos. 2 minit selepas itu, giliran pasukan UiTM FC pula untuk mencemaskan gawang gol Sabah apabila penyerang mereka, Sadam Hashim melakukan satu percubaan leret kencang namun ditangkap kemas oleh Robson.

Sabah akhirnya menghasilkan gol pendahuluan pada minit ke-15 hasil satu gerakan baik daripada Azizan Nordin dan Lee Gil Hoon yang melakukan umpanan kemas kepada Maxsius Musa. Maxsius yang didakwa berada dalam kedudukan offside oleh pemain pertahanan UiTM FC itu meneruskan larian ke dalam kotak penalti dan menewaskan penjaga gol UiTM FC melalui situasi one-on-one. Maxsius hanya melakukan sepakan ‘tundul’ yang kencang melepasi Shofuan Towil.

Dao Bakary menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-36 sebaik sahaja beliau dimasukkan untuk menguatkan lagi jentera serangan pasukan UiTM FC. Kemasukan beliau nampak cepat membuahkan hasil apabila beliau berjaya menanduk masuk sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah bagi menjadikan kedudukan 1-1.

1 minit sebelum tamat babak pertama, Sabah berjaya mendahului pasukan UiTM FC dengan 2-1 menerusi sepakan percuma Sabri Sahar dari jarak 25 meter di tepi sebelah kanan byline pasukan pelawat. Sepakan percuma itu terhasil akibat daripada kekasaran pemain UiTM FC ke atas Hector Ramos.

Bersambung babak ke-2, Sabah berjaya mendapatkan 3 sepakan percuma berturut-turut namun kesemuanya sama ada ditepis penjaga gol UiTM FC mahupun tersasar. Sepakan percuma tersebut masing-masing diambil oleh Sabri Sahar, Hector Ramos dan Heo Jaenyeong. Paling hampir menerjah jaring ialah sepakan percuma daripada Hector Ramos.

Pasukan UiTM FC bermain dengan hanya 10 orang pada minit ke-64 apabila Nursalam Zainal diarahkan keluar padang kerana mengutip kad kuning yang ke-2. Sejak itu, Sabah tidak henti-henti melakukan asakan demi asakan sehingga mendapat gol ke-3 menerusi Heo Jaenyeong. Gol tersebut berpunca daripada larian overlap daripada Jenius Karib yang melintangkan bola ke dalam kotak penalti UiTM FC lalu dikawal baik oleh Maxsius Musa yang kemudiannya memberikan set up buat Heo Jaenyeong. Sepakan outer foot kaki kanan dari Heo Jaenyeong cantik melepasi penjaga gol UiTM FC di sudut atas kanan gawang gol untuk menjadikan kedudukan 3-1 buat Sabah.

Justin Samaan yang masuk menggantikan Maxsius Musa di minit-minit akhir permainan pula sempat melakukan beberapa percubaan bahaya namun mujur tidak berjaya menambah jaringan buat Sabah. Perlawanan berakhir dengan Sabah menang 3-1 ke atas UiTM FC.

Selain itu, terdapat 8 fakta menarik perlawanan di antara Sabah dan UiTM FC ini yang perlu untuk anda ketahui. Antaranya ialah:

1. Formasi 4-4-2 bantu Sabah capai kemenangan

Sabah yang menggunakan formasi 3-5-2 dalam 3 perlawanan terakhir mereka nampak tidak begitu efektif sehinggalah JA menggunakan semula formasi 4-4-2 dalam perlawanan semalam. Formasi ini menyaksikan Sabah dibarisi dengan 4 tonggak pertahanan terbaik yang terdiri daripada Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh dan Jenius Karib.

Berdasarkan formasi ini, LB dan RB Sabah kelihatan lebih tertumpu kepada satu posisi yang membuatkan mereka compose dalam melakukan pertahanan dengan baik. Walaupun begitu, Jenius Karib banyak membantu serangan Sabah di sebelah kiri memandangkan beliau merupakan seorang pemain Wing Back yang sering diarahkan ketika menggunakan formasi 3-5-2.

Keberkesanan formasi ini amat jelas kelihatan apabila penguasaan bola Sabah terhadap UiTM FC begitu baik sepanjang perlawanan berlangsung.

2. Teamwork pemain Sabah berada di tahap terbaik

Diberikan cuti selama sebulan nampaknya digunakan sepenuhnya oleh pasukan Sabah untuk memantapkan lagi persefahaman sesama mereka. Ini jelas kelihatan terutama sekali di bahagian tengah Sabah. Kelancaran pergerakan bola ketika proses serangan merupakan antara bukti bahawa kerjasama antara pemain Sabah sudah semakin berada di tahap yang membanggakan.

Selain itu, persefahaman yang baik di kalangan pemain sayap dan pertahanan tepi Sabah harus diberikan pujian. Sebagai contoh, Randy Baruh (RB) dan Jenius Karib (LB) sering melakukan larian overlap di kawasan masing-masing apabila Maxsius Musa (RMF) dan Sabri Sahar (LMF) melakukan larian.

3. Kad Merah UiTM FC ‘hancurkan’ harapan UiTM FC untuk bangkit

Kekasaran demi kekasaran yang dilakukan oleh pemain UiTM FC akhirnya dihukum oleh pengadil perlawanan apabila telah memberikan kad kuning ke-2 buat pemain DMF mereka iaitu Nursalam Zainal Abidin di sekitar minit ke-64 permainan.

Kehilangan pemain ini bukan sahaja telah memberikan banyak ruang buat pasukan Sabah untuk melancarkan serangan malah mereka seolah-olah hanya bernasib baik dan bersyukur tidak dibolosi dengan lebih banyak gol kerana penjaga gol mereka, Shofuan Towil beraksi cemerlang menepis banyak percubaan Sabah di hadapan gawang gol mereka.

4. Sepakan Percuma berkualiti bantu jaringan gol

Sabah kelihatan begitu bahaya setiap kali diberikan sepakan percuma tidak kiralah jarak sepakan percuma itu diberikan. Gol ke-2 Sabah yang dijaringkan oleh Sabri Sahar merupakan jaringan yang diperolehi melalui sepakan percuma in-swinger cantik dan wajar diberikan pujian. Beberapa siri sepakan percuma selepas itu kelihatan hampir-hampir menyumbangkan gol tambahan Sabah namun penjaga gol UiTM FC berjaya pastikan yang beliau tidak akan dibolosi melalui free kick lagi.

Pasukan UiTM FC juga menghasilkan gol dalam situasi sepakan percuma yang mana tandukan Dao Bakary yang sepatutnya direhatkan di separuh masa pertama telah menerjah jaring pasukan Sabah pada minit ke-36. Kualiti sepakan percuma UiTM FC itu begitu baik sehingga Dao Bakary dapat melakukan satu free header yang selesa dan mudah tanpa dikawal oleh Francis Kasonde.

 

5. Hector Ramos jalankan tugas sebagai Target Man dengan baik

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa Hector Ramos kelihatan berat dan gagal menjaringkan gol, harus diketahui bahawa beliau sebenarnya banyak terlibat dalam proses serangan Sabah dengan kawalan bola di udara yang baik serta ball shielding sempurna yang memberikan ruang buat rakan sepasukan melancarkan serangan balas. Beliau mampu menyimpan bola sementara menunggu bantuan daripada rakan seperjuangan.

Gol ke-2 Sabah adalah berpunca daripada beliau sendiri yang mana beliau dikasari di bahagian kanan by-line pasukan UiTM FC sebelum Sabri Sahar melakukan sepakan percuma yang melencong masuk menggegarkan jaring pasukan pelawat itu.

 

6. Sabah dibolosi sekali lagi melalui situasi bola mati

Benteng pertahanan Sabah untuk setakat 6 perlawanan liga musim ini nampak begitu sukar dibolosi melalui gerakan-gerakan padang dan situasi open play. Ini kerana, barisan pertahanan Sabah dibarisi oleh pemain-pemain pertahanan yang tidak akan membiarkan penyerang lawan melakukan percubaan dengan mudah. Dalam perlawanan semalam, pasukan UiTM FC hanya mampu melakukan sepakan-sepakan dari jarak jauh kerana para penyerang mereka menyedari bahawa pertahanan Sabah bukan calang-calang orangnya.

Untuk rekod, ini merupakan kali ke-5 Sabah dibolosi menerusi sama ada sepakan percuma atau pun sepakan sudut.

Berikut merupakan rekod bolos Sabah dalam 4 perlawanan terakhir mereka:

3 Mac 18: Bolos 2 gol menerusi sepakan sudut ketika tewas 1-2 di tangan JDT
12 Mac 18: Bolos 1 gol menerusi sepakan sudut ketika diikat seri 1-1 dengan MISC-MIFA FC
2 April 18: Bolos 1 gol menerusi sepakan sudut ketika menang 3-1 ke atas Brunei DPMM FC
10 April 18: bolos 1 gol menerusi sepakan percuma ketika menang 3-1 ke atas UiTM FC

Ini jelas menunjukkan bahawa pertahanan Sabah ketika ini sudah bertindak dengan cukup cemerlang namun perlu menekankan latihan yang menjurus kepada bagaimana mengelakkan daripada dibolosi melalui situasi bola mati atau set piece di perlawanan yang akan datang.

 

7. Maxsius Musa calon terbaik MOTM

Sukar untuk menyatakan secara spesifik siapakah MOTM Sabah dalam perlawanan semalam memandangkan kesemua pemain telah menjalankan tugas dengan baik dan bekerja keras dalam satu unit pasukan. Berdasarkan tinjauan awal yang dilakukan, jelas sekali nama seperti Azizan Nordin, Sabri Sahar, Heo Jaenyeong dan Maxsius Musa menjadi sebutan dan sebenarnya menyukarkan lagi proses untuk penamaan pemain terbaik perlawanan.

Untuk lebih realistik dan berlaku adil, MOTM bagi The Rhinos Troops adalah Maxsius Musa memandangkan beliau telah menjaringkan 1 gol dan 1 assist dalam perlawanan semalam. Walaupun tidak bermain 90 minit untuk memberikan ruang buat debut Justin Samaan, Maxsius tetap merupakan calon terkuat untuk pemain terbaik perlawanan.

8. Sabah kekalkan rekod tanpa kalah

Dengan kemenangan ke atas UiTM FC ini, Sabah dengan rasminya mengharungi 6 perlawanan liga tanpa kalah dan mengekalkan Stadium Likas sebagai stadium keramat mereka. Walaubagaimanapun, apakah Sabah mampu mengekalkan rekod tersebut di perlawanan yang seterusnya?

Untuk pengetahuan, Sabah akan menjadi tuan rumah kepada FELDA United FC di Likas pada 14 April ini bersamaan hari Sabtu untuk perlawanan ke-7, 100 Plus Liga Premier 2018. Oleh itu, bantuan sorakan dan sokongan anda sebagai pemain ke-12 amatlah diperlukan. Difahami bahawa bermain pada hari Selasa (semalam) tidak begitu menggalakkan kedatangan para penyokong Sabah memandangkan ianya hari bekerja dan alasan tersebut adalah relevan. Namun untuk perlawanan menentang FELDA United FC ini nanti, dijangkakan Stadium Likas akan sekali lagi ‘dibanjiri’ lautan merah.

Anda kini sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak menyokong pasukan Sabah musim ini kerana para pemain dan jurulatih sudahpun membuktikan bahawa aura 90an kini sudah menjelma kembali. Jika ini merupakan prestasi yang selama ini anda inginkan, mengapa tidak berikan sokongan untuk mereka di Likas kan?

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *