Previu Perlawanan

Sabah vs UiTM FC Janjikan Pertembungan Sengit

­­­Sabah akan melayani kunjungan pasukan pelawat, UiTM FC esok bersamaan 10 April, pukul 8.15 malam dalam  perlawanan ke-6 Liga Perdana 2018 setelah kedua-dua pasukan berehat selama sebulan untuk memberikan ruang bagi pasukan Malaysia dalam membuat persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan perlawanan 2019 Asia Cup Qualifier.

Untuk pengetahuan, pasukan UiTM FC sebelum ini hanyalah pasukan berstatus universiti sehinggalah pasukan ini dinaikkan ke Liga Perdana pada tahun 2013 setelah mendapat tempat ke-3 dalam saingan Piala FAM 2012. Sejak itu, pasukan ini sering memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan yang bersaing di dalam liga tersebut.

Pasukan yang akan memenangi perlawanan ini bakal melonjak ataupun menguatkan lagi cengkaman di kedudukan ke-2 liga.

 

Rekod pertemuan Sabah vs UiTM FC

Rekod pertemuan Sabah dan UiTM FC sejak pasukan berstatus kelab itu layak bermain di dalam Liga Perdana pada 2013 tidak begitu berpihak kepada Sabah memandangkan Sabah hanya menang 2 perlawanan daripada 8 kali pertemuan. Pertemuan terakhir mereka apapun menyaksikan Sabah menewaskan pasukan The Lions itu dengan jaringan 1-0 di tempat lawan menerusi gol Rodoljub Paunovic pada 14 Julai 2017 musim lalu.

Pasukan UiTM FC nampak lebih gah dari segi rekod pertemuan dengan memenangi 6 perlawanan ke atas Sabah dalam 8 kali pertemuan mereka. Stadium Likas tampak seperti gelanggang kesukaan mereka kerana mereka berjaya menang 4 kali ketika mengunjungi Sabah di Likas. Apakah kemarau kemenangan Sabah terhadap pasukan UiTM FC di Likas dapat diakhiri?

Berikut merupakan rekod pertemuan 8 kali di antara Sabah dan UiTM FC:

14 Feb 2014: UiTM FC 0 – 1 Sabah

23 Mei 2014: Sabah 1 – 3 UiTM FC

20 Feb 2015: UiTM FC 1 – 2 Sabah

07 Julai 2015: Sabah 2 – 3 UiTM FC

12 Feb 2016: UiTM FC 4 – 1 Sabah

21 Oktober 2016: Sabah 1 – 2 UiTM FC

28 Feb 2017: Sabah 2 – 3 UiTM FC

14 Julai 2017: UiTM FC 0 – 1 Sabah

 

Prestasi semasa Sabah dan UiTM FC

Sabah kini berada di kedudukan ke-2, 100 Plus Liga Premier 2018 hasil 2 kemenangan dan 3 kali seri dalam 5 perlawanan yang diharungi. Ini merupakan permulaan yang baik Sabah dalam liga ini sejak 2015. Musim 2016 dan 2017 menyaksikan Sabah kurang menyerlah apabila bergelut di ambang relegasi liga. Pasukan Sabah kini merupakan pasukan yang paling sedikit dibolosi jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain di dalam liga untuk setakat 5 perlawanan ini.

Sabah berada di kedudukan ke-2 100 Plus Liga Premier 2018 selepas 5 perlawanan yang dilalui.
Sumber: Futbol24

Penjaga gol No.1 Sabah, Robson Rendy Rining baru sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik 100 Plus Liga Premier 2018 bagi bulan Feb oleh PFAM dan Asiana. Ini adalah hasil daripada usaha beliau yang memastikan Sabah kurang dibolosi dengan memperolehi 2 kali Clean Sheets dalam 5 penampilan. Beliau telah mengatasi pemain import UiTM FC sendiri, Lucas Ramon Pugh, penyerang import UKM FC, Zarko Korac, penyerang import Felcra FC, Anselmo Arruda Da Silva dan penyerang import FELDA United, Gilberto Fortunato.

Robson Rendy Rining dinobatkan sebagai pemain terbaik 100 Plus Liga Premier 2018 bagi bulan Feb.
Kredit Foto: PFAM-Asiana.my

 

UiTM FC yang kini di bawah kendalian jurulatih dan bekas pemain kebangsaan berpengalaman, Wan Mustafa Wan Ismail kini berada di tangga ke-3 liga iaitu hanya satu tangga di belakang Sabah. Mereka berkongsi sebanyak 9 mata namun hanya dibezakan dengan jumlah defisit jaringan.

Pasukan UiTM FC sempat layak ke pusingan ke-3 Piala FA edisi kali ini namun tewas 2-3 di tangan JDT hasil hat trick daripada Safawi Rasid. Terdahulu, Sabah pula kecundang 1-2 di tangan pasukan JDT dalam perlawanan pusingan ke-2 di Likas.

 

Pemain tumpuan UiTM FC

Pemain tumpuan untuk pasukan UiTM FC sudah pasti tertuju kepada pemain Attacking Midfielder yang juga penyerang dari Argentina mereka iaitu Lucas Ramon Pugh. Penyerang ini sudahpun menghasilkan 6 gol untuk UiTM FC dalam semuan perlawanan yang beliau lalui. Ini sudah pasti suatu rekod jaringan yang memberansangkan buat seorang penyerang yang baru dalam sesebuah pasukan. Untuk pengetahuan, Lucas Pugh pernah beraksi untuk pasukan EPL Arsenal di sekitar musim 2014. Pengalaman bermain bersama pasukan tersebut sudah pasti akan dapat memberikan suntikan serangan buat UiTM FC.

Lucas Ramon Pugh (kiri) beraksi cukup cemerlang untuk UiTM FC dan harus diberikan perhatian khusus pemain pertahanan Sabah.
Kredit foto: Kosmo

Ketajaman dan kelincahan beliau dalam melakukan kawalan bola merupakan suatu yang perlu diberikan perhatian serius oleh para pemain Sabah dalam perlawanan ini apatah lagi kombinasi beliau bersama Dao Bakary kini amat baik dan sukar dibendung.

Berkenaan Dao Bakary, kali terakhir beliau beraksi dalam Liga Perdana adalah bersama pasukan PDRM FA pada musim lalu. Setakat 6 perlawanan yang dilalui, Dao Bakary sudahpun mencetak sebanyak 3 gol. Fizikal mantap yang dimiliki beliau tentunya perlu diawasi dengan baik oleh backline pasukan Sabah.

Pasukan UiTM FC juga kini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemain pertahanan dari Jepun, Kota Kawase dan pemain CMF/DMF, Dechi Marcel dari Nigeria. Kedua-dua pemain ini bagaimanapun sering digabungkan di bahagian pertahanan yang banyak menyukarkan pemain lawan dalam menembusi benteng pertahanan pasukan UiTM FC.

Pemain tempatan UiTM FC yang sudah pasti diingati oleh para penyokong Sabah ialah Sadam Hashim memandangkan pemain ini telah beberapa kali membolosi gawang gol Sabah termasuklah ketika menewaskan Sabah 3-2 di Likas pada musim 2017 menerusi jaringan jarak jauh dan sepakan half volley kencang dari luar kotak penalti.

 

Pemain tumpuan Sabah

Kombinasi Korea Selatan-Puerto Rico di bahagian serangan Sabah pada ketika ini harus diberikan perhatian khusus oleh para pemain UiTM FC jika tidak ingin dibolosi. Serangan Sabah yang dikepalai oleh pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan penyerang Puerto Rico, Hector Ramos Lebron kini sudahpun menghasilkan 5 gol buat pasukan Sabah dalam 6 perlawanan terakhir mereka termasuklah perlawanan Piala FA yang mana mereka tewas bermaruah 1-2 kepada JDT selepas masa tambahan.

Pito (kanan) dan kesemua pemain import harapan Sabah dilihat perlu beraksi baik dalam perlawanan menentang UiTM FC esok.
Gambar: Sabah FA Official Media.

Pemain Sabah yang juga turut diberikan perhatian ialah ketua pasukan Sabah sendiri, Rawilson Batuil yang ketika ini sudahpun mencetak 2 gol hasil sumbangan 2 jaringan ketika membelasah Terengganu FC II, 4-0 dalam perlawanan pertama liga. Prestasi cemerlang pemain pertahanan tengah dari Kota Marudu ini telah menambat hati ketua jurulatih kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe sehingga menyenaraikan beliau dalam barisan pemain Malaysia namun beliau terlepas aksi kebangsaan kerana terpaksa balik atas faktor keluarga.

Pemain tengah berprofil tinggi, Jenius Karib, Azizan Nordin, Maxsius Musa dan Sabri Sahar yang sering menjana serangan buat Sabah kini harus tidak boleh dipandang remeh memandangkan kedua-dua pemain ini mempunyai kebolehan tersendiri untuk membolosi sebarang pasukan jika mereka dibiarkan begitu sahaja.

Jenius Karib (kanan) dan Sabri Sahar (tengah) merupakan antara jentera tengah tempatan yang berprofil tinggi milik Sabah.
Kredit foto: Sabah FA Media Official.

 

Perlawanan persahabatan antarabangsa bantu uji kesediaan Sabah

Perlawanan persahabatan antarabangsa yang dilalui Sabah ketika waktu ‘rehat’ yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu Jelius Ating mengenal pasti sejauh mana tahap persediaan para pemain Sabah untuk menghadapi saingan yang bakal diberikan oleh pasukan UiTM FC kelak.

Semua keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui Sabah adalah berpihak kepada mereka sendiri apabila berjaya menundukkan pasukan Brunei B21 5-0 dan pasukan Brunei DPMM FC 3-1. Berdasarkan kemenangan itu, JA dilihat telah mengenalpasti pemain baru yang berpotensi diketengahkan dalam barisan kesebelasan utama Sabah seperti pemain Left Flanker dari Nabawan iaitu Justin Samaan. Walaupun pemain ini bertubuh kecil, kelincahan larian dan rembatan kaki kiri beliau merupakan senjata pemusnah.

Justin Samaan, pemain Sayap Kiri dari Nabawan muncul hero dalam perlawnan menentang Brunei DPMM FC dengan 2 gol dan 1 assist kepada Hector Ramos.
Kredit Foto: Sabah Media Official

Selain itu, JA sepatutnya sudah memikirkan formasi yang paling sesuai dengan barisan pemain yang dimilikinya ketika ini. Jelas sekali formasi 4-4-2 sering memberikan keputusan yang baik untuk Sabah ketika ini namun perancangan JA hanya akan diketahui ketika perlawanan menentang UiTM FC ini esok.

 

Prestasi Skuad Junior Sabah harus jadi catalyst kepada Skuad Elit Sabah

Prestasi skuad B19 dan B21 Sabah kini amat membuka mata ramai orang bahawa Sabah masih mempunyai ramai bakat muda yang boleh mengharumkan nama Sabah di peringkat yang lebih tinggi. Keputusan yang diperolehi mereka amatlah memberansangkan dan sudah pasti pasukan Liga Perdana Sabah akan menjadikan itu sebagai tonic point mereka untuk mendapat kemenangan di setiap perlawanan liga.

Untuk rekod, pasukan Piala Presiden Sabah (B21) kini mendahului kumpulan A dengan 8 kemenangan daripada 9 perlawanan dan pasukan Piala Belia Sabah (B19) kini berada di tangga ke-2 kumpulan A hasil 4 kemenangan dan 2 seri daripada 7 perlawanan yang dilalui. Ini merupakan suatu prestasi semasa yang sepatutnya dicontohi juga oleh para pemain senior Sabah.

Terbaru ketika artikel ini ditulis, pasukan Piala Presiden Sabah baru sahaja menewaskan Kelantan dengan jaringan 4-1 hasil 2 gol sumbangan Stanley Sulong dan masing-masing satu gol daripada Hamran Peter dan Arius Dius Jais.

 

Sabah bakal lakukan sedikit perubahan barisan pemain

Dengan ketiadaan pemain pertahanan berpengalaman, Mafry Balang dalam perlawanan ini berikutan penggantungan 1 perlawanan secara automatik akibat mengutip 3 kad kuning, Randy Baruh bakal digunakan untuk menguatkan lagi pertahanan Sabah untuk berdepan pasukan UiTM FC esok.

Randy Baruh yang memulakan 3 aksi awal Sabah telah menunjukkan prestasi baik dengan hanya bolos sekali dan membantu Sabah melakarkan 2 kemenangan dan 1 seri dalam 3 penampilan tersebut.

Dengan bayangan formasi 3-5-2 dikekalkan, JA sudah pasti akan menggunakan khidmat Maxsius Musa dan Jenius Karib untuk bertindak sebagai Wing Back yang mana akan mengaplikasi dwi-peranan dalam perlawanan itu nanti.

 

Oleh hal yang demikian, datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan ini untuk meniupkan semangat perjuangan Sabah dalam kancah 100 Plus Liga Premier 2018 ini. Anda sebagai penyokong amat diperlukan sebagai pemain ke-12 Sang Badak. Kembalikan semangat 90an!