Sabah Kekalkan Rekod Tanpa Kalah, 8 Perkara Yang Wajib Anda Tahu.

Rentak tanpa kalah Sabah diteruskan lagi apabila berjaya mengikat pasukan tuan rumah, MISC-MIFA 1-1 dalam perlawanan ke-5 Liga Perdana 2018 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam. Perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada jam 9 malam itu terpaksa ditangguhkan selama 30 minit akibat hujan lebat.

Berikut merupakan 8 perkara yang anda harus ketahui berkenaan perlawanan tersebut.

1. JA Kekalkan Formasi 3-5-2

Perlawanan semalam menyaksikan JA menerapkan formasi 3-5-2 sekali lagi dan juga turut menurunkan pemain yang sama seperti barisan yang digunakan dalam perlawanan menentang Sarawak dan JDT tempoh hari.

Formasi ini agak berkesan semalam walaupun memaksa Maxsius Musa dan Jenius Karib untuk sentiasa turun naik di bahagian kanan dan kiri kawasan permainan untuk melakukan serangan dan pertahanan. Walaupun kedua-dua pemain ini terpaksa melindungi dua kawasan yang penting itu, mereka tetap berjaya melakukan tugasan tersebut dengan baik.

Penggunaan 3-5-2 ketika ini nampak tidak begitu efektif kerana sejak formasi ini dipakai, Sabah tidak memenangi sebarang perlawanan sebaliknya hanya seri 2 kali (MISC-MIFA dan Sarawak) dan tewas 1-2 kepada JDT.

Sehingga setakat ini, formasi 4-4-2 masih merupakan formasi terbaik Sabah dengan menghasilkan 2 kemenangan (menentang Terengganu FC II dan PDRM FA) dan seri ketika menentang FELCRA FC. Apakah formasi ini harus digunakan ketika menentang UiTM FC pada 30 Mac ini?

2. Padang Becak Rencatkan Corak Permainan

Keadaan padang yang becak akibat hujan lebat menyebabkan corak permainan kedua-dua pasukan tidak begitu memuaskan serta kurang menghiburkan. Keadaan padang yang tidak memuaskan itu memaksa kedua-dua pasukan bermain dengan hantaran-hantaran lambung. Bermain dengan hantaran pendek amat berisiko memandangkan pergerakan bola leret boleh terhalang oleh takungan air.

Sabah yang selama ini mempraktikkan corak permainan dengan hantaran-hantaran pendek kelihatan begitu sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Hantaran-hantaran tinggi mereka sering kali meliar seakan-akan ‘clearance’.

Banyak gerakan permainan tersekat akibat keadaan padang becak itu termasuklah satu peluang yang dimiliki MISC-MIFA di separuh masa ke-2 di mana bola terhenti ketika penyerang mereka sudah pun menanti di dalam kotak penalti Sabah. Situasi tersebut amatlah merugikan sebenarnya.

3. Kpah Sherman Buktikan Ketajaman Namun Kempunan Gol

Kelincahan serta fizikal kuat yang dimiliki oleh pemain import berusia 26 dari Liberia, Kpah Sherman jelas kelihatan namun masih belum mampu menewaskan kawalan ketat yang sering diberikan oleh Rawilson Batuil, Mafry Balang dan Francis Kasonde. Pemain ini memiliki larian, kecergasan dan skil yang begitu tinggi.

Ramai yang menjangkakan Sherman mampu membolosi gawang Sabah namun apa yang berlaku adalah sebalinya. Ini merupakan perlawanan pertama yang menyaksikan beliau gagal menjaringkan gol. Nampaknya pertahanan Sabah berjaya mengenalpasti bakat dan kebolehan beliau.

4. Import 3 Serangkai Hasilkan Gol Sabah

Rangkaian 3 pemain import Sabah iaitu Francis Kasonde, Lee Gil Hoon dan Pito terlibat secara langsung dalam gol pertama Sabah pada minit ke-14 permainan di separuh masa pertama.

Gerakan berpunca daripada sepakan percuma dari kawasan sendiri yang diambil oleh Francis Kasonde. Sepakan tinggi beliau ditanduk ke belakang oleh Lee Gil Hoon yang secara kebetulan menemui Hector Ramos atau Pito di dalam kotak penalti yang mudah memerdayakan penjaga gol pasukan MISC-MIFA untuk mencetak gol tunggal Sabah.

Dengan gol tersebut, Pito kini telah mengumpul 3 gol dalam 5 perlawanan buat Sabah. Jumlah gol ini sebenarnya sudah cukup baik dan menampakkan suatu permulaan positif buat beliau secara individu.

Setakat ini Sabah sudahpun menghasilkan 9 gol dan 3 bolos. 3 gol itu adalah milik Pito sementara Lee Gil Hoon menghasilkan 2 gol, Rawilson Batuil 2 gol dan Maxsius Musa serta Heo Jaenyeong masing-masing menyumbangkan 1 gol.

5. Tahap Kecergasan MISC-MIFA Lebih Baik

Berdasarkan perlawanan ini, kecergasan yang dimiliki oleh para pemain tuan rumah tampak lebih baik berbandingan dengan Sabah terutama sekali ketika bermain di separuh masa ke-2. Secara keseluruhan, pasukan tuan rumah memilik kira-kira 60% penguasaan bola dengan beberapa percubaan merbahaya yang mampu untuk memberikan gol tambahan buat mereka.

Jika dilihat dari segi jumlah sepakan percuma dan sepakan sudut, pasukan tuan rumah mempunyai jumlah yang cukup banyak namun banyak dipersiakan begitu sahaja.

Banyak kekasaran yang dilakukan pemain Sabah terhadap pemain MISC-MIFA memandangkan kelajuan mereka agak sukar dibendung. Kekasaran yang dilakukan adalah berpunca daripada ‘tackle’ lambat daripada pemain Sabah yang disebabkan oleh kesukaran untuk mendaptkan bola secara ‘bersih’.

6. Perlawanan Dicemari Banyak Layangan Kad

Keadaan sejuk di Petaling Jaya walaubagaimanapun ‘dipanaskan’ oleh banyak insiden-insiden kekasaran oleh para pemain kedua-dua pasukan. Keadaan padang yang licin dikhuatiri merupakan faktor mengapa para pemain gemar untuk melakukan ‘sliding tackle’ terhadap satu sama lain.

Dengan jumlah kekasaran yang banyak itu, pengadil terpaksa melayangkan 3 Kad Kuning buat Sabah dan 2 untuk pasukan MISC-MIFA. Perlawanan turut dicemari oleh aksi MMA Mafry Balang dan Kpah Sherman serta Azizan Nordin dan Beom Gum (pemain Import MISC-MIFA dari Korea Selatan) yang mengakibatkan kesemua mereka menerima kad kuning.

7. Mr. MOTM Robson Rendy Rining Selamatkan Sabah Sekali Lagi

Aksi cemerlang daripada anak muda kelahiran Beaufort, Robson Rendy Rining pada perlawanan ini telah membantu Sabah untuk memungut 1 mata berharga. Ini kerana mengutip 1 mata itu adalah jauh lebih berharga daripada tidak membawa pulang sebarang mata.

Terdapat banyak percubaan pasukan tuan rumah yang digagalkan oleh ketangkasan pemain yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik 100 Plus Liga Premier 2018 bagi bulan Februari ini. Dengan persembahan yang mengagumkan daripada 3R ini maka terbuktilah bahawa beliau layak untuk mendapat posisi penjaga gol utama Sabah musim ini.

Percubaan-percubaan deras daripada pemain import MISC-MIFA menerusi Elizeu Melo dan Kpah Sherman kesemuanya berjaya ditepis dengan cemerlang oleh beliau. Diharapkan dengan persembahan yang terus meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan daripada 3R ini dapat membuka ruang buat beliau untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan Malaysia.

8. Sabah Bolos Melalui Sepakan Sudut 3 Kali Berturut-Turut

Sabah yang tewas 1-2 kepada JDT pada perlawanan pusingan ke-2 Piala FA 2018 tempoh hari sekali lagi bolos melalui sepakan sudut namun kali ini ketika menentang MISC-MIFA. Dalam perlawanan menentang JDT mereka bolos 2 gol melalui sepakan sudut.

Gol yang dihasilkan oleh Baskeran Tinagaran pada minit ke-30 di separuh masa pertama adalah hasil tandukan yang baik setelah tendangan penjuru Beom Gum berjaya mengelirukan pemain-pemain pertahanan Sabah di ‘far post’ sebelah kanan.

Sabah dilihat perlu mempelajari kelemahan ini agar tidak mudah dibolosi di perlawanan-perlawanan yang akan datang kelak.