Sabah akan bertandang ke Stadium Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya pada esok bersamaan 12 Mac ini untuk bertemu dengan pasukan MISC-MIFA FC dalam perlawanan ke-5 Liga Perdana 2018. Perlawanan akan bermula pada pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung melalui Saluran TV1.
Pertemuan 50-50 MISC-MIFA FC vs Sabah
Perlawanan ini dikatakan 50-50 memandangkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan adalah seimbang dengan Sabah dan MISC-MIFA FC masing-masing memenangi satu perlawanan dalam dua pertemuan terakhir mereka.
Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Perdana 2017, Sabah tewas 3-1 ketika bermain di tempat lawan dan menang 2-1 ketika bertemu di Likas dalam perlawanan pusingan ke-2.
Kedua-dua gol Sabah ketika menang 2-1 ketika itu dihasilkan melalui Sabri Sahar melalui jaringan yang spektakular. Apakah Sabri Sahar akan menjaringkan gol sekali lagi dalam perlawanan ini nanti? Sama-sama kita saksikan.
Kedua-dua pasukan masih kekalkan rekod tanpa kalah
Pasukan Sabah dan MIFA FC masih belum mengalami kekalahan dalam 4 perlawanan awal Liga Perdana 2018. Walaupun begitu, Sabah dilihat lebih baik memandangkan mereka menang 2 kali dan seri 2 kali dengan mengumpul 8 mata dan berada di tangga ke-2 liga di belakang Felda United. Apapun kedudukan Sabah berubah ke tangga ke-3 sejurus selepas UiTM FC berjaya mendapat 1 mata berharga semalam (10 Mac) setelah seri 1-1 dengan FELCRA FC.
MISC-MIFA FC pula boleh dikatakan pasukan ‘Pakar Seri’ apabila telah seri sebanyak 3 perlawanan dan hanya menang 1 kali dengan mengumpul sebanyak 6 mata setakat ini dan berada di tangga ke-6 liga.
Walaupun rekod tidak pernah mengalami kekalahan dalam perlawanan Liga Perdana, kedua-dua pasukan ini bagaimanapun terkandas di saingan Pusingan Ke-2 Piala FA 2018 apabila tewas kepada lawan masing-masing. Sabah tewas 1-2 ke atas pasukan JDT dalam perlawanan yang diheret ke Masa Tambahan 30 minit. Pasukan MIFA FC pula tewas 2-4 melalui penentuan sepakan penalti kepada pasukan baru, UKM FC.
Kpah Sherman, S. Subramaniam dan K. Decan jadi harapan MIFA FC
Penyerang utama pasukan MISC-MIFA FC, Kpah Sherman merupakan sandaran utama pasukan mereka untuk menjana serangan dan menghasilkan gol ketika menentang Sabah nanti. Penyerang yang berusia 26 tahun dari Liberia ini sudahpun mencetak 4 gol buat pasuka beliau dalam 5 perlawanan yang telah dilalui. Kecemerlangan beliau telah banyak membantu pasukan MISC-MIFA FC untuk kekal dalam saingan Liga Perdana musim ini setelah bergelut dalam zon relegasi musim lepas.

Kredit: MISC-MIFA FC
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)
Pemain-pemain berpengalaman seperti S. Subramaniam yang menggalas tugas sebagai ketua pasukan MISC-MIFA FC juga merupakan antara faktor penting yang menguatkan lagi pasukan ini. Beliau merupakan seorang pemain pertahanan yang baik dan banyak menidakkan pasukan beliau daripada dibolosi.
Pengalaman ketua jurulatih MIFA FC, K. Devan juga dilihat perlu diberikan perhatian khusus kerana sudah pasti beliau mempunyai rangka strategi yang baik dan bervariasi dalam menghasilkan satu keputusan perlawanan yang baik untuk pasukan beliau. Pengalaman sebagai jurulatih yang luas sudah pasti akan menjadikan pasukan MIFA FC lebih mampan.
Berita baik dari kem Sabah
Ramai yang sudah mengetahui bahawa ketua pasukan Sabah dari Kota Marudu, Rawilson Batuil ketika ini berada di dalam radar Harimau Malaya di bawah bimbingan Jurulatih Tan Cheng Hoe. Dengan adanya pemain yang meningkat naik seperti Rawilson sudah pasti akan menyemarakkan lagi perjuangan pasukan Sabah dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Jurulatih Sabah, Jelius Ating juga menyifatkan bahawa terdapat beberapa pemain lain yang menampakkan peningkatan yang cukup drastik sejak pertengahan musim 2017 sehingga kini.
Beradasarkan JA, antara pemain tempatan yang menunjukkan peningkatan ketara ialah pemain pertahanan tengah dan ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil, pemain pertahanan kiri dan sayap kiri dari Pitas, Jenius Karib, pemain ‘Defensive Midfielder’ dari Bongawan, Azizan Nordin dan penjaga gol utama Sabah dari Sipitang, Robson Rendy Rining.

Kredit gambar: Sabah FA Media Official.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT).
Untuk rekod, Robson Rendy Rining sudahpun berjaya mendapatkan 2 ‘clean sheet’ dalam 4 perlawanan awal Liga Perdana 2018 menerusi kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC II dan kemenangan 2-0 ke atas pasukan PDRM FA. Pencapaian tersebut telah membolehkan beliau dicalonkan sebagai antara pemain terbaik Liga Perdana 2018 untuk Feb 2018.
Pito diharap mampu lebih baik
Pemain import dari Puerto Rico, Hector Ramos Lebron atau Pito sudahpun menghasilkan 2 gol buat Sabah setakat ini dalam 4 perlawanan. Suatu pencapaian yang sudah cukup baik namun semua percaya bahawa beliau mampu untuk melakukan lebih baik daripada itu.
Perlawanan demi perlawanan menyaksikan beliau mampu untuk mencipta jaringan mahupun mencipta peluang untuk menjaringkan gol buat rakan sepasukan dan sudah pasti ianya diperlukan dalam perlawanan ini.

Gambar: Sabah FA Official Media.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)
Ketika tewas 1-2 kepada JDT dalam perlawanan pusingan ke-2 Piala FA 2018, Pito telah melakukan satu ‘assist’ melalui ‘backheel pass’ cantik kepada Lee Gil Hoon yang berjaya disudahakan dengan begitu cantik oleh pemain dari Korea Selatan itu. Pito sepatutnya boleh menyumbangkan beberapa lagi gol buat Sabah dalam perlawanan tersebut namun kebanyakan percubaan beliau melepasi palang gol JDT. Diharap dengan adanya latihan berterusan, beliau dapat pertingkatkan lagi ketajaman beliau di hadapan pintu gol lawan.
Misi Liga Super 2019 jadi ‘Catalyst’
Misi untuk layak ke Liga Super 2019 merupakan pemangkin yang akan menjadikan para pemain Sabah bermain dengan lebih baik dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.
Walaupun awalnya JA hanya menyasarkan untuk mendapatkan kedudukan 4 pasukan teratas liga musim ini, JA mungkin boleh menyasarkan target yang lebih baik daripada itu setelah 4 perlawanan ligaliga setakat ini .
Bermain menentang pasukan yang mempunyai tahap kecergasan fizikal yang tinggi seperti MIFA FC sudah pasti memerlukan antisipasi yang lebih baik daripada para pemain pasukan Sabah. Tugas ini tidaklah sukar kerana mereka sudah melakukannya ketika menentang pasukan JDT tempoh hari.
Formasi pasukan Sabah
JA begitu berminat dengan formasi 3-5-2 setelah kedatangan semula pemain pertahanan dari Zambia, Francis Kasonde. Berkemungkinan beliau akan menerapkan formasi dan kesebelasan utama pemain ketika menentang MISC-MIFA FC nanti.
Apapun berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh The Rhinos Troops melalui page di https://www.facebook.com/therhinostroops/ didapati bahawa penyokong Sabah lebih meminati formasi 4-4-2 yang telah dipraktikkan sebelum kedatangan Francis Kasonde.

Oleh hal yang demikian, berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh pasukan masing-masing perlawanan ini akan menjanjikan saingan yang sengit dan harus ditonton oleh penyokong kedua-dua pasukan.