Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah Hampir Aibkan JDT, Likas Kekal Keramat!

Walaupun tewas 1-2 di tangan pasukan JDT dalam perlawanan Pusingan Ke-2 Piala FA 2018, Stadium Likas masih lagi berstatus sebagai gelanggang keramat buat Sabah kerana Sabah tidak tewas dalam 90 minit tempoh sebenar permainan kepada pasukan pelawat, JDT. Masa Tambahan 30 minit diberikan pengadil kerana kedua-dua pasukan itu terikat dalam 90 minit perlawanan sebenar yang mana akhirnya menyaksikan JDT menghasilkan gol ke-2 dalam 5 minit selepas Masa Tambahan perlawanan dimainkan.

 

Kedatangan Penonton Terbanyak Di Likas Setakat Ini

Tiket perlawanan yang berjumlah 21,000 telah habis dijual namun masih terdapat ribuan penonton yang gagal mendapatkan tiket. Ini bermaksud, setiap kekosongan tempat duduk di Stadium Likas diisi oleh para penonton dan sudah pasti ini merupakan suatu rekod baru musim ini dari segi jumlah kehadiran penonton dan juga penyokong.

Bagi menghargai dan memahami kehendak para penyokong yang tidak sempat mendapatkan tiket, pihak SAFA telah menyediakan layar besar di sekitar perkarangan stadium agar perlawanan tersebut dapat sama-sama disaksikan.

 

Formasi 3-5-2 Sabah Dikekalkan

JA telah mengambil keputusan untuk mengekalkan formasi 3-5-2 dan senarai kesebelasan utama pemain yang digunakan dan diturunkan ketika menentang Sarawak dalam perlawanan ke-4 Liga Perdana 2018 di Likas pada 24 Feb.

Dengan formasi ini, Rawilson Batuil, Mafry Balang dan Francis Kasonde bertindak sebagai CB sambil sering dibantu oleh Jenius Karib yang bertindak sebagai LMF/LWF dan Maxsius Musa yang bertindak sebagai RMF/RWF. Jentera tengah Sabah pula ditunjangi oleh Heo Jaenyeong, Azizan Nordin dan Sabri Sahar. Lee Gil Hoon pula bertindak sebagai ‘Second Striker’ yang bertindak melakukan penyudah daripada ‘target man’ dan CF Sabah, Hector Ramos aka Pito.

 

JDT Turunkan Barisan Pemain Utama

Mungkin atas dasar tidak mahu mengambi risiko, ketua jurulatih sementara JDT, Raul Longhi telah menurunkan barisan pemain utama JDT yang bertaraf bintang dan dikenali ramai. Menerapakn formasi awal 4-3-3, JDT telah menurunkan penjaga gol kebangsaan, Izham Tarmizi sebagai penjaga gol utama. Pemain pertahanan terdiri daripada Fadhli Shas, Marcos Antonio, Azrif Nasrulhaq dan Corbin Ong. Pemain tengah terdiri daripada kapten Safiq Rahim, Harris Harun dan Natxo Insa. Bahagian serangan pula dikepalai oleh pemain kelahiran Labuan, Hazwan Bakri, Luciano Figueroa dan Gonzalo Cabrera.

Hanya S. Kunanlan dan Farizal Marlias sahaja yang tidak diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama semalam mungkin atas faktor keletihan ketika tewas 2-0 kepada pasukan dari Vietnam, Som Lam Nghe An FC dalam saingan Piala AFC 2018.

 

JDT dominasi awal permainan

Di awal 10 minit permainan, JDT yang memakai ‘tag’ pasukan terhebat di Malaysia mendominasi permainan dengan serangan-serangan pantas menerusi Gonzalo Cabrera dan Hazwan Bakri. Walaubagaimanapun percubaan mereka dipatahkan oleh penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Gerakan-gerakan menarik menerusi Natxo Insa sering kali tersekat apabila berhadapan dengan pemain pertahanan Sabah yang merangkap kapten pasukan, Rawilson Batuil. Pemain ini sudah pasti akan diingat seumur hidup oleh Natxo Inso atas kawalan pertahanan tenang dan kemas dari pemain kelahiran Kota Marudu yang lebih mesra dipanggil Jipun itu.

MOTM perlawanan, Rawilson Batuil aka Jipun terlalu baik di posisi pertahanan yang telah menggagalkan banyak serangan pasukan yang beraksi dalam Piala AFC itu.
Kredit Foto: Sabah FA Official Media.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

 

Sabah Mampu Imbangi Kekuatan Serangan JDT

Berlabelkan status sebagai pasukan ‘underdog’ tidak memberikan apa-apa kesan buat pasukan Sabah apabila bertindak balas secara ‘directly proportional’ terhadap serangan yang dilakukan JDT. Ini membawa erti bahawa Sabah mengasak JDT dengan daya kekuatan yang sama seperti yang digunakan JDT dalam mengucar-kacirkan pertahanan Sabah.

Sabah membuat ribuan penykong JDT yang hadir di Likas (anggaran dalam 8,000 penyokong JDT yang datang) pada minit ke-24 permainan apabila menggegarkan jaring JDT melalui satu sepakan leret kencang dari dalam kotak penalti yang melepasi Izham Tarmizi.

Lee Gil Hoon, dua dari kiri meraikan jaringan dengan gaya tersendiri bersama Francis Kasonde (kiri), Pito (kanan) dan Heo Jaenyeong (dua dari kanan).
Gambar: Sabah FA Official Media.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

Gol Sabah itu berpunca daripada ‘throw in’ Jenius Karib yang berjaya menemui Pito  yang mengumpan kepada Lee Gil Hoon sebelum gerakan ‘one-two’ dilakukan. Gerakan tersebut telah mengelirukan Marcos Antonio yang mengawal ketat Pito. Bola ‘back heel pass’ daripada Pito sempat melalui celah kangkang Marcos sebelum dirembat kencang Lee Gil Hoon. Selebrasi gol daripada Lee sempat membuat semua penonton teruja.

Beberapa peluang terhidang buat Sabah sejurus selepas gol pertama terhasil namun tidak menemui sasaran termasuklah satu ‘cut back’ daripada Lee Gil Hoon yang berjaya menemui Pito dalam kotak penalti yang tidak dikawal namun percubaan kaki kiri beliau tinggi melepasi palang gol JDT.

 

Semua Gol JDT Hasil Tendangan Sudut

Percaya atau tidak, kedua-dua gol daripada JDT adalah terhasil melalui sepakan sudut. Pasukan yang gah dengan nama timangan Harimau Selatan ini secara teknikal gagal dalam membolosi Sabah menerusi gerakan ‘open play’ padang.

Gol penyamaan JDT pada minit ke-53 dihasilkan menerusi Luciano Figueroa yang berjaya menolak bola masuk hasil bola muntah dalam kotak penalti Sabah selepas sepakan sudut dibuat oleh Safiq Rahim. Ia bermula daripada kawalan Natxo Insa yang ditepis Robson Rendy Rining namun ‘rebound’ bola tersebut jatuh tepat di kaki Lucho yang dengan mudah melakukan ‘tap in’ untuk memadamkan gol Lee Gil Hoon pada minit ke-25.

Gol ke-dua JDT di Masa Tambahan pula terhasil melalui sepakan dari luar kotak penalti daripada Gonzalo Cabrera yang menerjah jaring di sebelah kanan pintu gol Sabah selepas sepakan sudut daripada Safiq Rahim ditanduk keluar oleh pemain pertahanan Sabah. Bola ‘clearance’ tersebut jatuh betul-betul di hadapan Gonzalo yang akhirnya melakukan rembatan kencang melepasi Robson Rendy Rining yang dihalang penglihatan beliau oleh para pemain yang ramai dalam kotak penalti Sabah.

 

Isu Pengadil Undang Kekecohan

Kualiti pengadilan dalam perlawanan ini sudah sudah dirasai janggal sejak tiupan wisel permulaan dibunyikan. Pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin telah banyak mendatangkan marah para penyokong Sabah yang datang kerana keputusan yang kurang adil dan saksama.

Antara contoh insiden yang sepatutnya diadili dengan professional ialah insiden di mana Lee Gil Hoon ditendang di bahagian kepala yang mengakibatkan pendarahan dan kecederaan kepala beliau. Beliau meneruskan permainan dengan kepala yang berbalut dan pemain JDT yang mengasari beliau hanya mendapat layangan kad kuning. Insiden mengangkat kaki terlalu tinggi dan mencederakan kepala pemain lawan dengan menggunakan kaki sepatutnya layak diberikan ‘straight red card’.

Kepala Lee Gil Hoon terpaksa dibalut untuk mengelakkan pendarahan teruk akibat dirembat oleh pemain JDT.
Kredit foto: Sabah FA Official Media.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

Terdapat juga insiden di mana Gonzalo Cabrera dilihat menyiku ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating dalam situasi JA berdiri di tepi garisan padang. Pengadil seakan-akan membutakan mata beliau terhadap insiden tersebut dan mencetuskan keadaan tegang di kalangan penyokong Sabah di Likas.

Sampai bilakah kita menghadap pengadil yang mempunyai ‘favouritism’ terhadap sesebuah pasukan di Malaysia ini? Jika ini tidak ditangani oleh pihak berwajib, ia akan menjadi duri dalam daging terhadap perkembangan bolasepak di negara ini.

 

Aksi Kurang Fair-Play Cemar Status JDT

Pasukan JDT yang cukup dihormati di Asia Tenggara ini sememangnya tidak beraksi seperti yang difikirkan oleh rata-rata penyokong Sabah dan pasukan lain dalam perlawanan ini. Ini kerana mereka banyak menghabiskan masa melengahkan tempo permainan dengan lakonan-lakonan dan helah yang tidak diperlukan dalam bolasepak sebenarnya. Ini berlaku selepas mereka berjaya mendahului Sabah di 30 minit Masa Tambahan.

Tindakan para pemain JDT yang tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi ini dikecam hebat oleh penyokong Sabah dan bahkan dikutuk oleh para penyokong JDT sendiri. Ini adalah tindakan yang tidak sepatutnya wujud dalam bolasepak malah mudah untuk dikata bahawa ia adalah ‘musuh’ yang perlu dibuang dalam sukan bolasepak.

Antara yang boleh diperkatakan ialah, bagaimana Izham Tarmizi boleh mengalami kecederaan sedangkan beliau jarang-jarang terlibat dalam perebutan bola mahupun bergelut dengan pemain Sabah? Beliau juga mengambil masa terlalu lama untuk melakukan sepakan gol dan sesekali meminta Fadhli Shas untuk mengikat tali kasut beliau. Adakah ‘conduct’ seperti ini sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain yang berstatus penjaga gol kebangsaan?

 

Kehilangan Pemain Utama Di Separuh Masa Ke-2 Berikan Impak Besar

Pertukaran taktikal JA yang terpaksa mengeluarkan Maxsius Musa, Sabri Sahar dan Jenius Karib nampak begitu besar impaknya apabila Sabah mula kehilangan cengkaman di bahagian tengah selepas ketiadaan trio ini. Pertukaran dilakukan atas sebab kecederaan yang dialami oleh tiga pemain ini.

Jenius Karib (kanan) dan Sabri Sahar (tengah) banyak membantu Sabah membuat cengkaman di kawasan tengah. Ketiadaan mereka amat dirasai akibat dikeluarkan atas sebab kecederaan.
Kredit foto: Sabah FA Media Official.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT).

Kemasukan Leopold Alfonso terutama sekali sedikit menambahkan ‘haba’ di Likas melalui tindakan yang sepatutnya beliau tidak lakukan iaitu dengan melakukan kekasaran terhadap pemain JDT, Safawi Rasid dalam keadaan ‘off ball situation’. Situasi tersebut telah mecetuskan ketegangan di antara pemain-pemain JDT dan Sabah. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku jika emosi dikawal dengan baik.

Sejurus selepas insiden tersebut, segelintir penyokong Sabah bertindak di luar dugaan apabila melontarkan botol ke arah pemain dan barisan kejurulatihan JDT. Ini adalah satu tindakan yang keterlaluan dan perlu diberhentikan segera kerana ia akan memudaratkan pasukan sendiri kelak. Pasukan Sabah berisiko dikenakan denda atas insiden seperti ini, kita tunggu dan lihat.

 

Kesimpulan Dan Pengajaran

Seperti yang dikatakan dalam kandungan artikel yang lalu, perlawanan menentang JDT merupakan medan ujian sebenar pasukan Sabah. Ianya benar dan menerusi perlawanan tersebut kita ketahui bahawa Sabah mempunyai kekuatan yang cukup untuk bersaing dengan mana-mana pasukan di dalam Liga Super. Berdasarkan perlawanan tersebut kita juga mengetahui bahawa peluang Sabah untuk layak ke Piala Malaysia musim ini dan Liga Super musim hadapan adalah cerah jika terus konsisten.

Penerapan disiplin di kalangan pemain dilihat perlu dititik beratkan lagi kerana jika ini tidak diberikan perhatian serius, sesebuah pasukan itu mungkin tidak akan dapat bersaing secara sihat dengan pasukan yang lain. Disiplin adalah teras kejayaan buat sesebuah pasukan, jadi para pemain harus mengambil ini sebagai iktibar dan panduan untuk menjadi lebih berjaya.

Disiplin hanya untuk pemain? Tidak. Ia juga perlu ada di kalangan penyokong yang hadir meriahkan perlawanan. Sebelum tindakan tata tertib dikenakan oleh FAM terhadap SAFA, lebih baik anda, kita dan admin sendiri harus bertindak mengikut peraturan yang ditetapkan yakni tidak membawa masuk barang-barang terlarang ke dalam stadium. Apa yang kita lihat, masih ada segelintir penonton yang membawa masuk barang seperti botol minuman ke dalam stadium yang akhirnya dilemparkan ke arah pemain dan pegawai di dalam padang. Ini harus dielakkan daripada berlaku lagi. Setiap penyokong yang masuk ke dalam stadium harus diperiksa dengan cara yang rapi seperti yang selalunya dibuat di Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil ketika berlangsung perlawanan bolasepak.

 

Aksi Sabah Seterusnya Dalam Liga Perdana 2018

Sabah akan membuat perhitungan dengan pasukan MISC-MIFA FC pada 12 Mac ini di tempat lawan dalam perlawanan ke-5 Liga Perdana 2018. Momentum yang dimiliki Sabah pada ketika ini seharusnya diteruskan untuk melengkapkan misi layak ke Liga Super 2019 nanti. Jumpa anda di sana.