Previu Perlawanan

JDT medan ujian sebenar Sabah

Bertemu JDT dalam pusingan ke-2 Piala FA 2018 pada 3 Mac di Likas nanti seakan-akan suatu mimpi yang menjadi kenyataan buat para penyokong Sabah kerana perlawanan ini sudah pasti menjadi tanda aras sejauh mana keupayaan pasukan dalam saingan Liga Perdana 2018. Ini merupakan pertemuan kali pertama Sabah dengan JDT sejak kelab itu diberikan nafas baru oleh TMJ. JDT hanya diperkenalkan pada 2013 untuk menggantikan Johor FC dan Johor FA yang telah sekian lama bersaing dalam saingan Liga Malaysia.

Sabah dan Johor pernah bertemu dalam perlawanan akhir Piala FA 1998 yang mana dimenangi Johor dengan jaringan 1-0 di Likas. Itu merupakan kali terakhir Sabah layak ke perlawanan akhir Piala FA selepas memenangi pertandingan tersebut pada tahun 1995. Sabah menang 3-1 terhadap pasukan Pahang pada edisi tersebut.

 

Prestasi Semasa Sabah

Pasukan Sabah kini berada di tangga ke-2 Liga Perdana 2018 dengan mengutip sebanyak 8 mata dalam 4 perlawanan yang dilalui. 8 mata ini terhasil menerusi 2 kemenangan dan 2 seri. Perlawanan terakhir mereka ialah menentang Sarawak di Stadium Likas yang mana pasukan tetangga Borneo itu berjaya mengikat Sabah 1-1 untuk berkongsi 1 mata.

Sabah telahpun menghasilkan 8 jaringan dengan hanya 2 bolos dan kini merupakan pasukan yang paling sedikit dibolosi di dalam 100 Plus Liga Premier 2018.

Penjaga gol utama Sabah pada ketika ini, Robson Rendy Rining telah pun dicalonkan dalam senarai pemain terbaik 100 Liga Premier 2018 untuk bulan Februari bersama-sama dengan Giberto Fortunato (penyerang Felda United), Lucas Pugh (penyerang UiTM FC), Anselmo Arruda Da Silva (FELCRA FC) dan Zarko Korac (penyerang Kuantan FA). Pencalonan beliau adalah berdasarkan 2 ‘clean sheets’ yang telah berjaya diperolehi menerusi kemenangan 4-0 terhadap Terengganu FC II dan kemenangan 2-0 terhadap PDRM FA.

 

Prestasi meyakinkan JDT dalam Liga Super 2018

Pasukan Harimau Selatan kini berada di puncak Liga Super dengan 4 kemenangan dalam kesemua 4 perlawanan yang mereka miliki. Ketajaman penyudah yang mereka miliki amatlah menggerunkan pasukan lawan. Kehadiran pemain seperti Luciano Figeroa dan Natxo Insa di dalam pasukan JDT amatlah membantu dalam merencana serangan dan menghasilkan gol.

Pemain-pemain muda berkualiti yang terdapat dalam pasukan JDT juga telah banyak membantu pasukan dari selatan Semenanjung Malaysia itu untuk mempamerkan aksi bertenaga dalam setiap perlawanan. Antara nama pemain muda berbakat besar yang dimiliki JDT ialah Safawi Rasid, Hadi Fayadh, Syafiq Ahmad dan Hazwan Bakri.

 

Pencapaian JDT menakjubkan

JDT sudahpun mencipta kejuaraan antarabangsa dalam AFC Cup 2016. Ini merupakan suatu pencapaian yang sukar dilakar oleh mana-mana pasukan di Malaysia namun JDT buktikan bahawa mereka pasukan terbaik dan memenagi kejuaraan tersebut.

Untuk pengetahuan, pasukan JDT merupakan pasukan pertama di Malaysia yang menjuarai Liga Super 4 kali berturut-turut iaitu untuk musim 2014, 2015, 2016 dan 2017. Ini merupakan satu rekod yang masih belum pernah dicapai oleh mana-mana pasukan di Malaysia.

Pasukan yang memiliki banyak kejuaraan sudah pasti akan menjadi ‘target’ untuk mana-mana pasukan lain untuk ditewaskan, termasuklah pasukan Sabah. Apapun ini merupakan suatu yang positif untuk perkembangan bolasepak negara kerana terdapatnya persaingan sihat.

 

Masalah dalaman JDT tak jejas persediaan menghadapi Sabah

Dengan barisan pemain-pemain bintang yang dimiliki oleh pasukan JDT ini, pemergian penyerang berbisa mereka dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan ketua jurulatih dari Portugal, Ulisses Morais tidak begitu merisaukan mereka.

Walaupun tewas 2-0 ke atas Som Lam Nghe An FC dari dari Vietnam dalam perlawanan terakhir mereka, sudah pasti mereka akan segera beradaptasi dengan ketiadaan bekas penyerang dari Argentina tersebut ketika berhadapan dengan Sabah nanti.

Pereyra Diaz telah meninggalkan pasukan JDT sebelum berlepas ke Vietnam dalam saingan Piala AFC 2018.
Kredit: Johor Southern Tigers.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT).

 

Kombinasi barisan pertahanan Sabah jadi sandaran

Berdasarkan kepada statistik setiap perlawanan pasukan JDT, mereka menguasai perlawanan dengan jumlah percubaan yang banyak. Percubaan jarak jauh dan dekat sering kali dilakukan oleh kombinasi pemain-pemain mereka. Perkara ini harus diberikan perhatian serius oleh para pemain Sabah agar tidak dibolosi dengan mudah.

Walaupun Francis Kasonde baru kembali bersama pasukan Sabah, kombinasi beliau bersama Mafry Balang dan Rawilson Batuil sudah mula kembali baik. Apapun perlawanan menentang Sarawak pada 24 Februari menyaksikan persefahaman mereka tidak begitu memuaskan di separuh masa pertama namun kembali berada di tahap terbaik di separuh masa ke-2.

Kapten pasukan Sabah yang bermain di bahagian pertahanan, Rawilson Batuil ketika ini sudahpun mencetak 2 gol dalam 4 perlawanan yang kesemuanya dihasilkan melalui situasi bola mati. Beliau sepatutnya boleh menghasilkan 2 lagi gol ketika menentang pasukan Sarawak tempoh hari namun 2 ‘free header’ yang beliau miliki itu dipersiakan begitu sahaja.

Sudah pasti bahagian tengah Sabah akan dikepalai oleh Heo Jaenyeong dan Azizan Nordin sambil dibantu oleh Maxis Musa, Sabri Sahar dan Lee Gil Hoon. Kombinasi pemain ini sudah tidak asing lagi buat para penyokong tegar Sabah.

 

Pito perlu umpanan tepat

Pito atau Hector Ramos Lebron yang ketika ini sudah menghasilkan 2 gol dalam 4 perlawanan sudah mula menunjukkan bahawa beliau merupakan penyerang yang boleh diharapkan oleh pasukan Sabah dan para penyokong.

Hector Ramos melepaskan percubaan yang cuba dihadang oleh Kim Chi Gon (tangah) sambil diperhatikan oleh Milos Raickovic (belakang) dan Sabre Mat Abu (depan) ketika aski menentang Sarawak pada 24 Feb.
Kredit gambar: Berita Harian.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT).

Walaupun bukan seorang pemain yang gemar mengelecek, beliau amat berbahaya di dalam kotak penalti apabila mendapat hantaran lintang. Para pemain pertahanan pasukan JDT sudah pasti akan merantai pergerakan penyerang dari Puerto Rico ini agar tiada ‘set’ atau ‘assist’ daripada beliau memandangkan Pito merupakan seorang ‘target man’ yang baik buat pasukan Sabah.

Hantaran lintang dari kiri dan kanan daripada pasukan Sabah harus diperbanyakkan dan diperbaiki lagi agar mudah buat Pito melakukan penyudah jaringan.

 

Motivasi tinggi pemain Sabah

Ketua Jurulatih pasukan Sabah, Jelius Ating telah mengingatkan para pemain Sabah untuk tidak mudah berpuas hati atas pencapaian yang mereka perolehi setakat ini kerana ia merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang perlu diteruskan. Beliau juga mengatakan bahawa perlawanan menentang JDT adalah sama seperti menentang mana-mana pasukan lain. Walaupun JDT dilanda sedikit masalah dalaman pada ketika ini, menurut beliau, JDT yang dikenali ramai ini tetapi pasukan yang sama, yang masih lagi pasukan yang paling berjaya di Malaysia.

Bertemu dengan pasukan JDT buat kali pertama sejak diberi nafas baru sudah pasti akan digunakan sepenuhnya oleh para pemain Sabah untuk membuktikan bahawa mereka kini merupakan antara pasukan yang mampu membuat kejutan dan masih merupakan pasukan yang perlu diberikan perhatian di Malaysia ini.

 

Stadium Likas bakal ‘dibanjiri’ penonton

Kedatangan lebih kurang 10 ribu orang di Stadium Likas pada perlawanan menentang Sarawak sudah pasti membawa petanda bahawa akan lebih ramai orang yang datang untuk menyaksikan pertembungan Sabah dan JDT ini nanti.

Kelihatan perlawanan ini begitu hangat diperkatakan oleh rata-rata penyokong Sabah dan ada yang akan datang dari jauh serta seluruh pelusuk Sabah hanya untuk memberikan sokongan kepada pasukan dengan jolokan Sang Badak itu. Dengan kehadiran jumlah penyokong yang luar biasa ini sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah dari segi sokongan moral dan semangat.

Sebelum artikel ini ditulis, The Rhinos Troops sudah mendapat info bahawa tiket sudahpun habis dijual untuk hari ini, 2 Mac 2018. Penjualan tiket diteruskan pada esok bersamaan 3 Mac 2018 bermula jam 10 pagi.