Kenali Pemain Anda

Ada apa dengan Francis Kasonde?

Kecederaan yang masih lagi menghantui bekas pemain import Sabah, Igor Cerina telah menyebabkan SAFA membuat langkah berani mengeluarkan beliau daripada pasukan Sabah dengan membawa masuk pemain pertahanan dari Zambia, Francis Kasonde yang banyak membantu Sabah dalam saingan pusingan ke-2 Liga Perdana 2017 yang lepas.

Untuk rekod, Sabah sudah bermain dalam 3 perlawanan tanpa bilangan pemain import yang lengkap. Walaupun bermain dengan hanya kehadiran Heo Jaenyeong, Lee Gil Hoon dan Hector Ramos Lebron, Sabah berjaya mencatatkan 2 kemenangan dan 1 seri dalam 3 perlawanan awal Liga Perdana 2018 dan mengumpul 7 mata secara keseluruhan.

Ramai yang beranggapan bahawa suatu yang merugikan buat pasukan Sabah kerana terlepas khidmat Igor Cerina musim ini.

Walaubagaimanapun jika difikirkan secara logik, tindakan yang dilakukan mereka adalah benar memandangkan tiada gunanya beliau berada dalam pasukan dan mendapat bayaran yang tinggi tanpa boleh beraksi dan kontribusi dengan pasukan Sabah.

Sebagai penyokong tegar pasukan Sabah, kita harus mengetahui mengapa Francis Kasonde wajar menjadi pertahanan tunjang Sabah musim ini.

Oleh hal yang demikian, berikut merupakan antara perkara yang anda perlu tahu mengenai Francis KasondeKasonde.

1. Latar Belakang

Francis Kasonde merupakan antara pemain pertahanan utama pasukan kebangsaan Zambia yang muncul juara dalam kejohanan African Cup of Nations pada tahun 2012. Kebangkitan dan kekuatan pertahanan pasukan Zambia pada ketika itu telah menyebabkan kegagalan kebanyakan pasukan besar di Afrika pada ketika itu seperti Ivory Coast, Nigeria, Ghana dan Mesir.

Francis Kasonde (bawah) ketika beraksi untuk negara Zambia dalam African Cup Of Nations 2012. Zambia muncul juara buat pertama kali pada edisi 2012.
Kredit: For Sport Misr

Pemain yang berusia 31 tahun ini sudahpun bermain dalam kancah bolasepak professional sejak tahun 2004 dengan menyertai pasukan Zesco United FC dalam Liga Perdana Zambia. Untuk rekod, Kasonde sudahpun pernah beraksi bersama 11 buah kelab dari dalam dan luar negara beliau.

Pasukan terakhir yang diwakili beliau adalah pasukan Sabah pada musim lepas (2017) yang mana beliau telah terpilih dalam ‘trial’ bersama Sabah yang diketuai oleh Jelius Ating setelah jurulatih kelahiran Sipitang itu mengambil alih jawatan jurulatih daripada Adlane Messelem dan Steve Vilmiaire.

Pengalaman luas yang dimiliki oleh Francis Kasonde telah banyak membantu Sabah dalam mengakhiri Liga Perdana 2017 dengan keputusan dan kedudukan yang baik.

2. Sifat Kepimpinan Di Dalam Padang

Francis Kasonde amat dikenali dengan ‘commanding skill’ yang baik ketika beraksi di dalam padang. Ini bermakna beliau akan sentiasa bersuara untuk mengingatkan rakan sepasukan terutamanya penjaga gol dan rakan pertahanan untuk tujuan lebih berwaspada ketika melakukan pertahanan.

Sifat ini amatlah diperlukan agar persefahaman di kalangan pemain-pemain pertahanan dan penjaga gol akan dapat dikuatkan. Jika ini terus diterapkan Kasonde dalam permainan beliau, kemungkinan Sabah untuk dibolosi adalah amat sedikit.

Sikap terpuji yang ditunjunkkan oleh Kasonde ini nyata disukai oleh rata-rata pemain Sabah. Terdapat beberapa pemain Sabah ketika dihubungi berkenaan Kasonde, mereka menyatakan bahawa kehadiran Kasonde dalam pasukan mencetuskan keyakinan yang lebih baik. Ini adalah suatu yang positif untuk pasukan Sabah.

3. Francis Kasonde bertindak lebih daripada CB

Bertindak sebagai CB merupakan suatu tanggungjawab yang tinggi dan perlu digalas dengan baik oleh mana-mana pemain. Kebolehan Francis Kasonde bermain sebagai ‘Defensive Midfielder’ dan ‘Holding Midfielder’ banyak mempengaruhi corak pertukaran bola di kawasan pertahanan Sabah. Ini kerana, semua hantaran ditujukan kepada beliau sebelum hantaran bola kepada pemain tengah dan penyerang Sabah dibuat.

Boleh dikatakan bahawa Kasonde merupakan ‘focal point’ atau target para pemain-pemain Sabah yang lain dengan harapan Kasonde akan membuat hantaran umpanan yang tepat kepada penyerang tengah Sabah dan para pemain sayap kiri dan kanan.

Francis Kasonde sering naik ke atas untuk membantu serangan.
Kredit: Francis Kasonde Channel
Edit: B Oken Tacts

Kerajinan Francis Kasonde juga dapat dilihat dengan kesungguhan beliau naik ke atas untuk membantu barisan serangan Sabah pada saingan Liga Perdana 2017 yang lepas terutama sekali dalam situasi bola mati dan juga ‘break attack’.

Francis Kasonde sering membawa bola ke kawasan tengah padang sebelum membuat hantaran kepada rakan sepasukan. Ini baik untuk menjadikan hantaran beliau lebih tepat dan membolehkan beliau melihat rakan yang ‘available’. Kredit: Francis Kasonde YouTube Channel. Edit: B Oken Tacts (TRT)
Francis Kasonde melepaskan hantaran apabila berada dekat dengan garisan tengah padang dengan kekuatan dan ketepatan hantaran kepada rakan sepasukan. Kredit: Francis Kasonde YouTube Channel. Edit: B Oken Tacts (TRT)

4. ‘First Touch’ yang baik dari Francis Kasonde

Dalam proses mematahkan serangan dan memulakan gerakan serangan balas, ‘first touch’ seorang pemain pertahanan yang bertindak sebagai ‘anchor’ dan ‘sweeper’ haruslah sangat baik untuk memudahkan proses mengatur gerakan serangan. Francis Kasonde mempunyai ciri ini. Beliau mampu mengubah situasi bertahan kepada situasi menyerang dalam kadar yang begitu pantas.

Kecenderungan Francis Kasonde ialah sama ada membawa bola sehingga garisan tangah padang dan juga melakukan ‘diagonal pass’ ke arah sebelah kiri dan kanan ‘flanker’ Sabah. Hasil daripada situasi ini, peluang untuk menjaringkan gol dapat dicipta.

Francis Kasonde gemar melakukan hantaran diagonal yang tepat ke arah ‘flanker’ kiri dan kanan Sabah.
Kredit: Francis Kasonde YouTube Channel.
Edit: B Oken Tacts.

5. Kekuatan dan ketepatan hantaran Francis Kasonde

Hantaran tepat adalah baik namun jika tidak mempunya kekuatan yang mencukupi untuk sampai ke kaki pemain rakan sepasukan, hantaran tersebut mungkin mudah dipatahkan oleh pertahanan pasukan lawan.

Kelebihan yang terdapat pada Francis Kasonde ialah beliau mempunyai hantaran yang tepat dengan kakuatan yang baik untuk sampai ke kaki rakan sepasukan sebelum sempat diantisipasi oleh pemain lawan.

6. Tangkas, laju dan cergas

Ketangkasan Francis Kasonde dalam melakukan ‘ball interception’ merupakan suatu yang boleh diharapkan oleh Sabah. Beliau mempergunakan ketinggian 1.83 meter yang dimiliki beliau untuk melakukan ‘ball clearance’ bola di udara dan juga dengan menggunakan kaki panjang beliau untuk menghadang percubaan lawan.

Langkah larian beliau yang besar menyebabkan pergerakan beliau kelihatan laju walaupun beliau sebenarnya bukan melakukan pecutan. Ini selalunya menyukarkan pemain lawan untuk mencuri bola daripada kaki beliau.

Kecergasan yang dimiliki oleh Kasonde memang tidak boleh disangkal lagi. Beliau sering sahaja berada di kawasan pertahanan kiri dan kanan serta tengah padang dan sekali sekala berada di dalam kotak penalti pasukan lawan. Ini merupakan suatu yang sangat baik untuk seorang pemain yang berstatus pertahanan.

7. Kemahiran bertahan Francis Kasonde jadi mimpi ngeri semua penyerang lawan

Francis Kasonde bukan sahaja mempunyai ketangkasan, kelajuan dan kecergasan yang baik namun beliau juga mempunyai kemahiran bertahanan secara individu yang baik. Ini sudah pasti telah beliau perolehi melalui pengalaman luas dalam mempraktikkan pelbagai taktik bertahan.

Antara kelebihan yang dimiliki beliau adalah keupayaan beliau dalam membuat kawalan ketat terhadap penyerang lawan. Beliau sering berada 0.5 meter di belakang penyerang lawan setiap kali mereka diasak. Ini membuatkan banyak gerakan lawan dapat dipatahkan dengan mudah.

Kawalan ketat Francis Kasonde terhadap penyerang JDT II, Hadi Fayyadh dalam aksi LIga Perdana 2017 di Likas.
Kredit: Francis Kasonde YouTube Channel.
Edit: B Oken Tacts.

Berada di belakang penyerang lawan juga peting bagi memastikan seorang pemain pertahanan dapat melihat penyerang dengan mudah dan dapat mengantisipasi pergerakan mereka.

Francis Kasonde sering berada di belakang penyerang lawan agar dapat mengantisipasi pergerakan mereka dan memudahkan beliau untuk melakukan ‘ball interception’ dan ‘clearance’.
Kredit: Fancis Kasonde YouTube Channel.
Edit: B Oken Tacts.

Kesimpulan

Walaupun Francis Kasonde merupakan pemain pertahanan yang dicari-cari oleh pasukan Sabah, terdapat beberapa perkara yang mungkin beliau harus elakkan ketika bertahan. Antaranya ialah:

  1. Harus tidak terlalu rapat atau bersentuhan dengan penyerang lawan dalam situasi bola mati dalam kotak penalti agar penyerang lawan tidak mengambil kesempatan untuk buat-buat jatuh akibat ‘body contact’ keras dari beliau.
  2. Harus lebih berhati-hati ketika merebut bola yang berada di paras dada. Ini kerana Francis Kasonde cenderung untuk melakukan ‘ball interception’ dengan menggunakan kaki walaupun bola berada di paras dada dan kepala pemain lawan. Keadaan ini jika terus dilakukan akan menyebabkan susuatu yang tidak diingini berlaku.
  3. Francis Kasonde sudahpun beraksi bersama-sama dengan Rawilson Batuil, Randy Baruh dan Jenius Karib dalam kancah Liga Perdana 2017 dan sudah tentu mereka sudah mempunyai persefehaman yang bagus. Namun dengan adanya Mafry Balang dalam pasukan Sabah, mereka harus bersatu hati dalam membentuk persefahaman yang bagus. Ini akan menjadikan persaingan lebih baik di bahagian pertahanan Sabah.