Laporan, Ulasan & Analisis

9 Faktor Taktikal yang bolehkan Sabah benam Terengganu FC II 4-0 di Likas

*

Kemenangan 4-0 Sabah terhadap Terengganu FC II sudah pasti merupakan suatu yang berada di luar jangkaan rata-rata penyokong Sabah mahupun penyokong lawan. Ini kerana pasukan Sabah tidak memenangi 3 perlawanan pra-musim terakhir mereka sementara pasukan Terengganu FC II pula cemerlang di kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu apabila muncul naib juara dan mencatatkan beberapa kemenangan termasuklah menang 2-0 terhadap Terengganu FC dan menang 4-3 terhadap pasukan Melaka United.

Kemenangan seumpama ini tidak terhasil atas faktor nasib. Ia terhasil atas faktor taktikal yang rapi dan penekanan disiplin pemain untuk mempertahankan serta mempraktikkan taktikal yang diterapkan.

Berikut merupakan 9 Faktor Taktikal yang mempengaruhi kemenangan besar Sabah dalam perlawanan ini:

Faktor Taktikal 1: 3 Pertahanan Sabah vs 1 penyerang Terengganu FC II

Setiap gerak serangan daripada Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki tidak berjaya membolehkan mereka melepaskan rembatan dan jika dapat melepaskan sepakan pun ia berada di sudut yang sukar dan kurang menggugat kewibawaan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Akanni Sunday Wasiu dihalang oleh Mafry Balang dan Rawilson Batuil dari arah hadapan sementara Heo Jaenyeong dan Randy Baruh cuba mengasak dari belakang.
Kredit gambar: FB Live oleh Sharin Said (Sabah Rhinos)
Edit: B Oken Tacts (TRT)

Ini kerana, setiap kali pemain TFC II ini mendapat bola, terdapat 2 pemain pertahanan Sabah menghalang pergerakan mereka dari belakang dan seorang Defensive Midfielder berada di hadapan untuk mencetuskan kebuntuan pergerakan penyerang TFC II yang akhirnya mudah kehilangan bola. Heo Jaenyeong dan Azizan Nordin bertindak cukup cemerlang sebagai ‘sweeper’ setelah Mafry Balang dan Rawilson Batuil bertindak sebagai ‘anchor’.

Faktor Taktikal 2: ‘Build up play’ Sabah yang berkesan

Penguasaan bola yang baik adalah bermula daripadaa ‘build up play’ yang berkesan. Ini bermula dari bahagian pertahanan Sabah sehingga lah ke kawasan ¾ pasukan TFC II dengan ‘ball circulation’ yang lancar melalui ‘one touch football’ yang dibuat oleh para pemain Sabah.

Gol pertama dan ke-4 Sabah adalah merupakan contoh bagaimana gerakan ‘buld up play’ yang berkesan mampu menghasilkan jaringan.

Gol pertama Sabah pada minit ke-3 dijaringkan oleh Lee Gil Hoon melalui satu rembatan dari jarak 30 meter di luar kotak penalti TFC II yang berpunca daripada pertukaran hantaran-hantaran pendek bersama Heo Jaenyeong, Azizan Nordin dan Maxius Musa.

‘Triangle’ yang diperagakan oleh para pemain Sabah nampak berkesan dalam membolehkan kelancaran serkulasi bola.
Kredit: FB Live Sharin Said (Sabah Rhinos)
Edit: B Oken Tacts (TRT)

Gol ke-4 Sabah di masa kecederaan separuh masa ke-2 adalah suatu gerakan dari sebelah kanan kawasan TFC II yang mana disudahkan dengan satu ‘high class finishing’ daripada Hector Ramos Lebron. Ia bermula dengan pertukaran hantaran pendek dalam posisi segi-tiga di antara Elias Sulaiman-Dendy-Azizan dan Azizan-Heo Jaenyeong-Lee Gil Hoon.

Faktor Taktikal 3: ‘High press’ & ‘Gegenpressing’ ketika Sabah kehilangan bola

Antara faktor yang menyebabkan TFC II hilang penguasaan bola sejurus selepas dapat mematahkan serangan Sabah ada disebabkan oleh ‘high press’ ala-ala ‘gegenpressing’ yang dilakukan oleh pemain-pemain Sabah. Ini telah membolehkan Sabah mencuri semula bola daripada sempat sampai ke kawasan kotak penalti mereka.

‘High pressing’ daripada pemain Sabah telah mencetuskan huru hara terhadap kawalan bola TFC II.
Kredit: FB Live Sharin Said (Sabah Rhinos)
Edit: B Oken Tacts (TRT)

Dengan aplikasi taktikal ini, para pemain TFC II tertekan dan berlaku kesilapan ketika melakukan hantaran.

Faktor Taktikal 4: Eksekusi klinikal melalui situasi bola mati

Dua gol Sabah telah terhasil melalui dua situasi ‘set piece’ yang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh kapten Sabah, Rawilson Batuil. Gol pada minit ke-55 ada berpunca daripada sepakan percuma Sabri Sahar yang berjaya ditanduk oleh Heo Jaenyeong namun bola terkena palang sebelum melantun keluar tepat ke arah Rawilson Batuil melakukan satu ‘easy tap-in’.

Gol Rawilson Batuil pada minit ke-79 merupakan hasil sepakan sudut Sabri Sahar yang tidak berjaya dikeluarkan oleh pertahanan TFC II yang mana menyaksikan bola jatuh tepat di hadapan Rawilson yang merembat bola dengan kencang dan leret dari jarak dekat.

Rawilson Batuil mempunyai ‘instinct’ yang baik untuk menempatkan beliau di titik yang betul untuk menghasilkan jaringan. Ini bukan kali pertama beliau menghasilkan gol dalam situasi bola mati. Beliau menghasilkan gol melalui situasi ‘set piece’ ketika menang 1-0 menentang Sarawak (pra-musim 2017), kalah 2-5 kepada ATM FA di LP2017 dan ketika seri 1-1 menentang JDT dalam LP2017. Tidak mustahil beliau adalah nama yang akan digeruni oleh pihak lawan musim ini.

Faktor Taktikal 5: Tiada istilah ‘cukup’ dan ‘berpuas hati’ dari Sabah

Kebelakangan ini, pasukan Sabah dikenali dengan sikap mudah berpuas hati ketika sudah menghasilkan gol yang mana mereka akan diserang secara bertubi-tubi ketika sudah mendahului perlawanan. Dalam perlawanan ini, sikap mudah berpuas hati itu tidak kelihatan. Semakin banyak gol yang mereka hasilkan, semakin berganda asakan yang mereka lakukan.

Jika menyerang itu merupakan suatu cara baru untuk bertahan dan menidakkan pasukan lawan untuk menghasilkan gol, mengapa tidak lakukannya?

Faktor Taktikal 6: Dua watak ‘K-Pop’ Sabah yang efektif

Heo Jaenyeong dan Lee Gil Hoon dibawa masuk ke dalam pasukan Sabah di pertengahan musim lalu adalah atas sebab Sabah amat lemah di bahagian jentera tengah. Kemasukan kedua-dua watak ini bagai mengakhiri masalah tersebut.

Perlawanan semalam menyaksikan kedua-dua watak ini membuatkan serangan, kawalan bola serta ‘buil up’ pasukan Sabah tampak hidup dan apa yang pasti telah menghiburkan para penyokong Sabah.

Walaupun Lee Gil Hoon diturunkan sebagai pasangan Hector Ramos di bahagian serangan, beliau selalu turun di kawasan tengah padang serta kawasan ¾ pasukan Sabah. Selain gerakan secara berpasukan menarik daripada Sabah, para penyokong turut disajikan dengan skil individu menghiburkan daripada Lee Gil Hoon.

Faktor Taktikal 7: Serangan Sabah tertumpu di kawasan padang yang kurang becak

Hujan lebat 2 jam sebelum perlawanan menyebabkan terdapat takungan air permukaan padang dan padang menjadi becak. Apapun, tidak ke-semua kawasan padang di Stadium Likas adalah becak. Sabah yang lebih mengenali gelanggang mereka bertindak bijak apabila hanya menumpukan serangan hampir 80% di kawasan kiri padang yang mana telah membolehkan mereka melakukan kawalan bola yang baik.

TFC II yang kurang arif dengan keadaan padang di Likas sering melakukan asakan di kawasan kanan padang yang becak dan mengakibatkan mereka sering kehilangan kawalan bola. Selain mempunyai percaturan ‘game play’, setiap pasukan juga harus mengambil kira di mana kawasan padang yang sesuai untuk melakukan serangan terutama sekali ketika bermain di dalam keadaan cuaca yang kurang memuaskan.

Untuk pengetahuan, ke-semua 4 gol pasukan Sabah dihasilkan melalui gerakan di sebelah kiri padang.

Faktor Taktikal 8: ‘Loose marking’ TFC II terhadap pemain Sabah

Kurangnya ‘urgency’ para pemain pasukan TFC II untuk melakukan ‘pressing’ kepada pemain Sabah menyebabkan Sabah tidak mempunyai masalah untuk bertukar-tukar hantaran yang adakalanya dilakukan dengan cara bersahaja dan ‘casual’.

‘Loose ball marking’ daripada pemain-pemain pasukan TFC II membolehkan Sabah merencanakan serangan dengan lebih tersusun.
Kredit: FB Live Sharin Said (Sabah Rhinos).
Edit: B Oken Tacts (TRT).

Dengan kebebasan yang diberikan oleh pemain TFC II ini menyebabkan para pemain Sabah dapat melakukan serangan dengan lancar dan tersusun.

Faktor Taktikal 9: Sabah memanfaatkan kesilapan ‘minor’ percaturan jurulatih TFC II

Pasukan TFC II banyak kehilangan bola akibat terlalu ‘obsess’ dengan hantaran-hantaran tinggi. Ia berguna jikalau mereka pro dalam menerima hantaran seakan itu. Akibatnya, penguasaan bola mereka habis begitu sahaja akibat hantaran yang tidak mampu dikawal dengan baik oleh ‘target man’ mereka. Akani Sunday Wasiu selalu menerima bola dalam keadaan yang tidak selesa dan janggal lalu mengakibatkannya kehilangan bola. Bruno Suzuki pula kehilangan bola walaupun ada ketika beliau tidak dikawal oleh sesiapapun.

Satu lagi kesilapan percaturan pasukan TFC II ialah apabila mengeluarkan pemain import mereka iaitu Andrew Jean-Baptiste di penghujung babak ke-2 walaupun beliau banyak melakukan penyelamatan bola dengan ‘clean takles’ serta ‘ball clearance’ yang baik. Akibat daripada itu, pemain yang baru dimasukkan tidak berjaya mengekang ‘turning’ daripada Hector Ramos Lebron di masa kecederaan yang membolehkan penyerang dari Puerto Rico itu melakukan satu ‘placing shot’ cantik di penjuru atas kanan tiang gol pasukan TFC II. Jika Andrew Jean-Baptiste tidak dikeluarkan sudah pasti beliau mempunyai fizikal yang baik untuk menidakkan Hector Ramos Lebron.

Apapun kerajinan yang ditunjukkan oleh Sebastian Maurice Thuriere, Mohd Haidir Suhaini dan Fakhrurazi Musa merupakan suatu yang perlu dicontohi oleh pemain-pemain TFC II jikalau mahu bangkit dalam perlawanan mereka yang seterusnya. Tanpa 3 pemain ini, pasukan TFC II sudah tentu tidak mampu melancarkan gerakan berbahaya kepada pasukan lawan.

Kesimpulan

Kemenangan sesebuah pasukan adalah berpunca daripada ketajaman dalam menghasilkan gol dan bagaimana berkesannya pasukan tersebut untuk meminimakan kesilapan ketika bertahan.

Kemenangan Sabah menentang TFC II pada perlawanan ini tidak bermaksud TFC II bermain dengan teruk dan Sabah bermain dengan begitu baik. Ia hanyalah perlawanan yang dimenangi oleh pasukan yang menerapkan disiplin yang tinggi terhadap peraturan perlawanan dan percaturan jurulatih.

Semoga Sabah akan meneruskan rentak cemerlang mereka dan untuk TFC II pula semoga mereka cepat untuk mengenalpasti dan memperbaiki kesilapan mereka agar dapat segera bangkit di perlawanan seterusnya.