Kecederaan ACL: Faktor, Simptom, Komplikasi & Langah Pencegahan

Ketiadaan Sabri Sahar akibat kecederaan telah menyebabkan Sabah mempunyai sedikit kesukaran di bahagian tengah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan pasukan yang mempunyai barisan tengah yang mantap. Terpaksa main ‘long ball’ tanpa guna banyak sangat bahagian tengah.

Sabri Sahar (bawah) mengalami kecederaan ACL akibat pendaratan kaki yang tidak sempurna dalam perlawanan menentang Penang FA.

Kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) yang dialami Sabri Sahar kini telah menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang kerana prosedur rawatan kecederaan seperti ini memerlukan pembedahan dan pemulihan.

Apa itu kecederaan ACL?

Ada baiknya untuk kita ketahui apakah sebenarnya kecederaan ACL ini agar kita dapat mengambil langkah yang betul untuk elakkannya daripada berlaku, terutama sekali bagi kita melakukan aktiviti sukan atau kerja yang lasak.

Kecederaan ACL berlaku apabila Anterior Cruciate Ligament (ACL) – salah satu ligament (tisu yang menyambungkan satu tulang ke tulang yang lain) utama di bahagian lutut kita terkoyak dan tericih.

Kecederaan ini selalunya berlaku pada individu yang melakukan aktiviti sukan lasak yang melibatkan lompatan, larian, berhenti serta bertukar arah secara mendadak seperti sukan Bolasepak, Bola Keranjang dan Ragbi.

Berdasarkan kajian American Academy of Orthopaedic Surgeons, apabila kecederaan ACL ini berlaku, akan kedengaran bunyi ‘pop’ di bahagian lutut di samping ia turut bengkak, tidak stabil dan terasa amat sakit untuk menampung berat badan.

Bergantung kepada intensiti kecederaan ACL yang dialami, rawatan mungkin dalam bentuk rehat panjang dan latihan pemulihan untuk mendapatkan semula kestabilan.

Untuk kecederaan yang teruk, pembedahan terpaksa dilakukan untuk menggantikan ligamen yang terkoyak diikuti dengan fasa pemulihan yang panjang.

Jadi tidak hairanlah doktor telah menyarankan supaya Sabri Sahar berehat panjang (sehingga penghujung musim 2019 ini).

Apa faktor kecederaan ACL?

Berikut merupakan faktor yang menyumbang kepada kecederaan lutut ini:

  • Akibat memperlahankan/memberhentikan pergerakan atau larian secara tiba-tiba
  • Akibat menukar arah pergerakan secara mendadak
  • Mendarat dengan cara yang tidak sempurna selepas melakukan lompatan
  • Akibat terkena terjahan keras atau pertembungan di bahagian lutut ketika melakukan aktiviti sukan

Situasi yang akan meningkatkan risiko kecederaan ACL adalah seperti berikut:

  • Menggunakan pakaian dan peralatan sukan yang tidak sesuai
  • Bermain di padang rumput tiruan (kena ambil perhatian bagi yang selalu main bola di padang sintetik)
  • Jantina – Kaum wanita lebih mudah mengalami kecederaan ini kerana faktor anatomi, kekuatan otot dan pengaruh hormon

Apa tanda-tanda anda mengalami kecederaan ACL?

Berikut merupakan tanda-tanda yang menunjukkan anda sedang mengalami kecederaan ACL:

  • Terdapat bunyi ‘pop’ pada lutut ketika menggerakkan kaki
  • Sakit pada lutut dan tidak mampu untuk teruskan aktiviti
  • Terdapat bengkak pada lutut
  • Pergerakan kaki terbatas
  • Rasa kurang stabil ketika berjalan

Bila kita perlu jumpa doktor?

Sejurus selepas merasakan tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas, kita seharusnya terus dapatkan rawatan yang segera. Jumpa terus sama doktor bossku.

Ini kerana, lutut mempunyai struktur yang kompleks yakni terdiri daripada tulang, ligament (tisu yang menghubungkan satu tulang ke tulang yang lain), tendon (tisu yang menghubungkan otot kepada tulang) dan tisu-tisu lain yang ‘bekerja’ sebagai satu unit.

Komplikasi kecederaan ACL

Individu yang pernah mengalami kecederaan ACL akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapatkan Osteoarthritis (OA) di bahagian lutut, lebih-lebih lagi bagi individu yang terpaksa untuk menjalani pembedahan bagi membaiki ligamen yang rosak.

OA akan menyebabkan kesakitan berpanjangan di bahagian lutut jika ia tidak dirawati dengan cara yang tepat.

Langkah-langkah untuk mengelakkan kecederaan ACL

Nah berikut merupakan langkah-langkah yang boleh kita buat supaya kita terhindar daripada mengalami kecederaan ACL:

  • Buar latihan untuk menguatkan otot kaki, terutama sekali di bahagian hamstring untuk tingkatkan kekuatan otot di bahagian kaki
  • Jalani latihan untuk kuatkan bahagian pinggang, punggung dan bawah abdomen
  • Jalani latihan yang memfokuskan teknik betul untuk melakukan lompatan dan cara untuk mendarat dengan sempurna
  • Eksekusikan praktis untuk meningkatkan teknik pergerakan badan ketika melakukan larian

Dengan melakukan semua latihan diatas, ia akan dapat membantu kita untuk mengurangkan risiko daripada mengalami kecederaan ACL.

Diharapkan perkongsian ini dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang kecederaan ACL dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan daripada ia berlaku kepada kita.

Para atlit harus sentiasa melindungi diri daripada kecederaan ACL kerana sudah terdapat banyak penggiat sukan yang terpaksa menamatkan karier mereka kerana mengalami kecederaan yang teruk seperti ini.

Sumber rujukan:

  1. “Anterior Cruciate Ligament (ACL) Injuries-OrthoInfo – AAOS.” American Academy of Orthopaedic Surgeons, n.d. Web. 18 Jan. 2016 .<http://orthoinfo.aaos.org/topic.cfm?topic=a00549>.
  2. “Soccer-How to Prevent Knee Injury” Spring Loaded Technology, n.d. Web. 18 Jan 2016 <https://springloadedtechnology.com/2016/01/soccer-knee-injuries>

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Kecederaan ACL: Faktor, Simptom, Komplikasi & Langah Pencegahan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*