Sabah intai hatrik kemenangan bertemu PDRM FA Sabtu ini

S­abah akan melayani kunjungan PDRM FA di Stadium Likas pada Sabtu bersamaan 2 Mac ini dalam perlawanan ke-5 Liga Premier 2019. Perlawanan ini akan berlangsung pada pukul 8.15 malam.

Prestasi PDRM FA

Prestasi pasukan PDRM FA tidaklah begitu baik dalam 4 perlawanan terdahulu mereka. Mereka kini menduduki tangga tercorot liga dengan hanya mengutip 1 mata.

Mereka telah merekodkan sebanyak 3 kekalahan dan hanya seri sekali. Kehadiran penyarang sensasi dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh setakat ini masih belum lagi menampakkan ketajaman.

Dari kiri, Andrezinho, Patrick Ronaldinho dan Lee Chang Hoon merupakan antara harapan utama pasukan PDRM dalam perlawanan menentang Sabah pada Sabtu.

Pasukan The Cops hanya menjaringkan sebanyak 2 gol dan bolos 6 kali setakat ini. Ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai masalah besar dalam penyudah jaringan.

Antara pemain PDRM FA yang perlu diberikan tumpuan ialah sudah pastilah Patrick Ronaldinho Wleh yang telah menggantikan pemain import tinggi lampai dari Romania, Petrisor Voinea. Pemain tengah dari Brazil, Andrezinho dan bekas penyerang Melaka United musim lepas dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon juga harus perlu diberikan perhatian khusus.

Pasukan PDRM FA juga memiliki pemain tempatan yang berkualiti seperti Fakrul Aiman Sidid dan ketua pasukan, Shahurain Abu Samah. Terdapat 2 orang pemain kelahiran Sabah yang turut beraksi dengan pasukan Sang Saka Biru ini iaitu Inspektor Rainol Masaat dari Kota Marudu dan Jasper Daring dari Papar.

Prestasi Pasukan Sabah

Pasukan Sabah kini berada di kedudukan ke-3 Liga Premier 2019 selepas berjaya mencapai 2 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan dalam 4 perlawanan awal mereka.

Sabah berada di kedudukan ke-3 liga selepas 4 perlawanan. Sabah juga mencatatkan jumlah jaringan terbanyak setakat ini.

Sabah setakat ini merupakan pasukan yang paling banyak menghasilkan jaringan iaitu dengan 9 jaringan. Bagaimanapun mereka kini bolos 7 gol.

Sabah kini mempunyai purata jaringan sebanyak 2.25 gol dalam setiap perlawanan namun masih belum pernah memiliki clean sheets.

Rata-rata pemain Sabah boleh diharapkan untuk menjaringkan gol. Tidak kiralah dari barisan pertahanan, tengah mahupun penyerang.

Aksi Luka Milunovic meraikan jaringan selepas menjaringkan gol ketika menentang TFC II minggu lalu. Beliau kini merupakan penjaring terbanyak buat pasukan Sabah dengan 3 gol.

Luka Milunovic kini mendahului carta penjaring terbanyak pasukan Sabah dengan 3 gol, diikuti Maxsius Musa dengan 2 gol dengan Ricco Nigel Milus, Rodoljub Paunovic, Park Taesu dan Sabri Sahar masing-masing menyumbang 1 gol.

Rekod pertemuan Sabah vs PDRM

Pasukan Sabah menewaskan pasukan PDRM 2-0 dalam perlawanan di Likas pada musim 2018 dan tewas 3-2 ketika bermain di tempat lawan yang mengakibatkan mereka hanya berada di kedudukan ke-6 Liga Premier 2018 yang lepas.

Pada musim 2017, pasukan Sabah tewas 1-3 di Likas dan menang 1-0 di tempat lawan. Jadi, berdasarkan rekod pertemuan ini, pasukan Sabah dan PDRM mempunyai rekod yang seimbang.

Sorakan pemain ke-12 diperlukan oleh pasukan Sabah

Sabah mengintai kemenangan yang ke-3 berturut-turut mereka dalam perlawanan ini. Peluang untuk memenangi perlawanan menentang PDRM FA ini dilihat sangat cerah. Dengan kemenangan ini nanti sudah pasti akan memastikan Sabah berada terus di kelompok teratas liga.

Sorakan pemain ke-12 amat diperlukan untuk tiupkan semangat pasukan Sabah.

Apapun JA menegaskan bahawa mereka tidak akan memandang rendah keupayaan PDRM FA pada perlawanan Sabtu ini kerana sudah pasti pasukan tersebut sangat dahagakan kemenangan ketika ini.

Perjuangan pasukan Sabah ini sukar ditempuhi berseorangan. Oleh itu, datanglah beramai-ramai untuk memberikan sokongan moral buat para pemain Sabah pada perlawanan Sabtu ini.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah intai hatrik kemenangan bertemu PDRM FA Sabtu ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*