Sabah jinakkan Skuad Bujang Senang di Kuching, Ikuti 6 fakta menarik perlawanan.

Sabah berjaya membawa pulang 3 mata penuh ke Kota Kinabalu apabila menewaskan pasukan Sarawak 2-1 dalam perlawanan Borneo Derby yang berlangsung di Stadium Negeri Petra Jaya di Kuching kelmarin.

Sabah menang 2-1 ke atas Sarawak di Kuching!

Ringkasan perlawanan

Ketiadaan Luiz Junior tidak memberikan banyak kesan kepada Sabah memandangkan Jelius Ating telah memasukkan Ricco Nigel Milus di bahagian tengah bersama dengan Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Maxsius Musa dan Luka Milunovic.

Barisan kesebelasan utama Sabah ketika turun menentang pasukan Sarawak pada perlawanan di Kuching kelmarin.

Antara pemain lain yang mendapat tempat di kesebelasan utama Sabah dalam perlawanan ini ialah Rozaimie Rohim selaku Penjaga Gawang, Rawilson Batuil selaku kapten pasukan, Park Taesu, Dendy Lowa, Randy Baruh dan Rodoljub Paunovic.

Pasukan Sabah memulakan separuh masa pertama dengan menguasai sebahagian besar kawasan tengah permainan. Peluang awal muncul pada minit pertama permainan menerusi Luka Milunovic namun percubaan beliau sedikit tersasar.

Sabah menghasilkan percubaan-percubaan bertali arus ke arah kubu Sarawak menerusi Maxsius Musa, Rodoljub Paunovic dan Ricco Nigel Milus namun percubaan mereka sama ada berjaya ditepis keluar mahupun tersasar.

Gol yang dinanti-nantikan akhirnya menjelma pada minit ke-36 selepas Rodoljub Paunovic melakukan sepakan first timer half volley yang menerjah jaring Sarawak hasil lintangan cantik Park Taesu.

Roki muncul wira Sabah apabila memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-36 permainan dengan satu penyudah menarik dari luar kotak penalti Sarawak.

Sebelum sempat pasukan Sarawak mengatur serangan balas, pasukan Sabah sekali lagi menambah jaringan ke-2 selepas Sabri Sahar menewaskan 4 pemain pertahanan The Crocs sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang menggegar jaring Sarawak pada minit ke-38.

Sabri Sahar (kiri) menyumbang gol ke-2 Sabah di Kuching kelmarin. Gambar ini dipetik ketika aksi beliau menentang JDT II pada perlawanan pertama Liga Premier 2019.

Gerakan dimulakan daripada hantaran jauh Randy Baruh yang dikawal kemas oleh Luka Milunovic kepada Rodoljub Paunovic yang seterusnya melorongkan bola untuk Sabri Sahar melakukan penyudah jaringan. Gol Sabri itu merupakan gol pertama peribadinya musim ini.

Bersambung di babak ke-2, pasukan Sarawak cuba tampil dengan lebih bertenaga namun tidak berjaya menemui jaringan sehinggalah pada minit ke-89 di mana pemain pertahanan tinggi lampai dari Brazil mereka iaitu Pedro Henrique Dias menyempurnakan hantaran Muamer Salibasic dengan satu tandukan.

Randy Baruh (bawah) bekerja keras menafikan gerakan Hudson Dias De Jesus dalam perlawanan kelmarin. Gol ke-2 Sabah berpunca daripada gerakan Randy dari sebelah kanan kawasan defensiveĀ thirdĀ Sabah.

Pasukan Sarawak juga dikatakan kurang bernasib baik kerana terdapat 2 gol mereka dibatalkan kerana pemain mereka sudah berada dalam kedudukan offside sebelum jaringan dilakukan.

Tamat permainan sepenuh masa, Sabah menumpaskan Sarawak 2 gol berbalas 1.

Okay bossku mari ikuti 6 Fakta menarik perlawanan

  • Sarawak tumpas buat kali pertama di tempat sendiri

Pasukan Sarawak belum pernah tewas di tempat sendiri dalam 3 perlawanan lepas. Kali terakhir mereka bermain di Kuching ialah ketika mereka menewaskan pasukan Pulau Pinang dengan jaringan 2-0.

Nasib tidak memihak kepada pasukan Sarawak kali ini apabila Sabah menghadiahkan mereka kekalahan pertama di laman sendiri. Banyak penyokong skuad Bujang Senang itu menyatakan bahawa jurulatih sepatutnya memasukkan Muamer Salibasic lebih awal namun beliau hanya dimasukkan ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Jurulatih Sarawak juga cuba menyalahkan pengadil kerana membatalkan 2 gol pasukan Ngap Sayot itu serta menyalahkan beberapa orang pemainnya yang hilang tumpuan ketika perlawanan.

  • Kemenangan pertama Sabah di tempat lawan

Kali terakhir Sabah bermain di tempat lawan adalah ketika sekadar seri 3-3 dengan pasukan Kelantan di Kota Bharu walaupun perlawanan tersebut boleh dimenangi Sabah jika tiada kelalaian di minit-minit akhir permainan.

Aksi Luka Milunovic ketika meraikan jaringan di Kota Bharu. Sabah dan Kelantan terikat 3-3 dalam perlawanan tersebut.

Selepas menang 3-1 ke atas TFC II pada perlawanan ke-3, pasukan Sabah berazam untuk menambah pungutan mata di Kuching dan berjaya melakukannya kelmarin. Diharap agar prestasi pasukan Sabah terus konsisten pada perlawanan yang seterusnya.

  • Gol pertama peribadi Rodoljub Paunovic dan Sabri Sahar

Setelah menyepi dalam 3 perlawanan awal pasukan Sabah, Roki akhirnya memecahkan kemarau golnya musim ini apabila mencetak gol cantik pada minit ke-36 dalam perlawanan menentang Sarawak kelmarin.

Sabri Sahar yang menggalas tugas di Sayap Kiri juga bertindak cemerlang dengan gerakan-gerakan menarik dalam perlawanan tersebut. Dengan kerja keras yang ditunjukkan Sabri, beliau berjaya menghasilkan gol pertama beliau musim ini hasil satu gerakan solo pada minit ke-38 di luar kotak penalti Sarawak.

  • Ricco Nigel Milus dalam kesebelasan utama gantikan Luiz Junior yang cedera

JA yang terpaksa merehatkan Luiz Carlos akibat kecederaan telah memasukkan Ricco Nigel Milus sebagai pemain kesebelasan utama bagi menguatkan cengkaman jentera tengah Sabah.

Ricco Nigel Milus (kiri) ketika merebut bola dari kaki pemain kelahiran Labuan yang beraksi untuk Ngap Sayot, Asrin Kalam dalam perlawanan menentang Sarawak kelmarin. Ricco mendapat banyak pujian daripada kalangan penyokong.

Ia dilihat sangat berhasil apabila kombinasi Sabri-Azzizan-Ricco-Maxsius ini berjaya memperagakan satu corak permainan yang menarik dalam perlawanan kelmarin.

  • Luka dan Roki silih berganti bertindak sebagai target man

Kebanyakan hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti Sarawak semalam ditujukan kepada Luka dan Roki. Kedua-dua pemain ini dapat melakukan kawalan sebelum memberi ruang buat rakan-rakan yang lain untuk menjana serangan.

Permainan pasukan Sabah seperti biasa dimulai dengan pertukaran hantaran pendek dari kawasan sendiri dan diakhiri dengan hantaran merbahaya ke dalam kawasan final third pasukan Sarawak.

  • Semangat tinggi untuk hadapi PDRM FA pada 02 Mac 2019

Kemenangan di tempat lawan ini sudah pasti menjadi suntikan semangat untuk anak-anak buah Jelius Ating untuk mencapai kemenangan menentang pasukan PDRM FA dalam perlawanan ke-5 Liga Premier 2019 pada Sabtu depan bersamaan 2 Mac.

Kedudukan Liga Premier 2019 setakat ini. Perlis bagaimanapun sudah disingkirkan daripada liga oleh MFL.

Pasukan PDRM FA juga kini mengalami sedikit masalah prestasi yang mana pasukan The Cops ini tewas 3 kali dan seri sekali dalam 4 perlawanan yang dilalui mereka. Mereka juga menduduki tangga tercorot liga ketika ini.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah jinakkan Skuad Bujang Senang di Kuching, Ikuti 6 fakta menarik perlawanan."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*