Sabah peroleh 1 mata berharga di Kota Bharu, Ketahui 5 fakta menarik perlawanan.

Barisan pemain import pasukan Sabah yang turun menentang pasukan Kelantan FA pada perlawanan ke-2 Liga Premier Malaysia 2019.

Sabah berjaya membawa pulang 1 mata berharga dari Kota Bharu apabila terikat seri 3-3 dengan pasukan Kelantan dalam satu perlawanan yang rancak dengan serangan berbalas serangan.

Pasukan Sabah dalam perlawanan ini telah menurunkan pemain berikut dalam kesebelasan utama:

Rozaimie Rohim (PG), Rawilson Batuil (KP), Park Taesu, Dendy Lowa, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Sabri Sahar (Ricco Nigel Milus), Maxsius Musa (Ummareng Bacok), Luka Milunovic, Rodoljub Paunovic dan Luiz Carlos Junior.

Senarai kesebelasan utama Sabah ketika menentang Kelantan semalam.
Barisan kesebelasan utama Sabah ketika mengunjungi Kelantan semalam.

Ikuti kronologi ringkas perlawanan

Pasukan Kelantan yang mempunyai 3 tonggak serangan import iaitu Raul Taragona, Flavio Beck Junior dan Mustafa Zazai telah melancarkan serangan-serangan awal ke kubu Sabah dari awal permainan di separuh masa pertama.

Kelantan akhirnya mendapat sepakan penalti selepas pemain Sabah menjatuhkan pemain mereka dalam kotak penalti pada minit ke-6. Sepakan penalti itu kemudiannya disempurnakan oleh Flavio Beck Junior untuk menewaskan Rozaimie Rohim.

Attacking Midfielder Kelantan dari Brazil-Serbia, Flavio Beck Junior (depan) berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-6 buat Kelantan untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan gol awal pasukan Kelantan itu, Sabah melakukan reaksi responsif dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-12 selepas Luka Milunovic mudah menanduk masuk sepakan percuma curling shot daripada Sabri Sahar dalam jarak 30 meter.

Luka Milunovic menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-12 apabila menanduk masuk sepakan percuma Sabri Sahar. Ini merupakan gol ke-2 beliau daripada 2 perlawanan.

Kedua-dua pasukan cuba untuk menambah gol namun buntu sehingga separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak ke-2, pasukan Kelantan bernasib baik apabila cut back rendah daripada Raul Taragona pada minit ke-52 terkena kaki Rawilson Batuil sebelum melepasi Rozaimie Rohim untuk gol ke-2 Kelantan. Jipun mendakwa beliau diasak oleh Nik Akif Syahiran namun pengadil tidak melihat sebarang kekasaran ketika itu.

Pasukan Sabah selepas itu terus melakukan serangan tanpa henti sehingga para penyokong Kelantan bengang dengan corak permainan bertahan pasukan mereka.

Sabah sepatutnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 apabila tandukan Luiz Carlos Junior terkena palang sebelum melantun masuk melepasi garisan tepi gol Kelantan namun pengadil seakan-akan tidak menyedari situasi tersebut.

Gol daripada Luiz Carlos Junior pada minit ke-70 tidak dikesan pengadil perlawanan semalam walaupun bola tandukan beliau sudah melepasi garisan gol selepas terkena palang.

Sabah akhirnya berjaya membolosi gawang Kelantan buat kali ke-2 pada minit ke-78 apabila Maxsius Musa melakukan larian solo di sebelah kanan kotak penalti Kelantan sebelum melepaskan rembatan deras kaki kiri yang menewaskan Mohd Arif.

Maxsius Musa yang lincah itu sekali lagi menjaringkan gol buat Sabah apabila melakukan gerak solo dalam kotak penalti Kelantan yang disudahi dengan sepakan leret kaki kanan melepasi Mohd Arif pada minit ke-87 untuk menjadikan kedudukan Sabah mendahului 3-2.

Maxsius ‘Messi’ Musa (kanan) amat sukar dihalang oleh para pemain Kelantan semalam dan banyak mengucar-kacirkan pertahanan The Red Warriors itu. 2 gol sumbangan beliau semalam.

Pasukan Kelantan yang seakan-akan tewas dalam perlawanan ini mendapat sepakan percuma pada minit ke-90. Melalui sepakan percuma ini, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan 3-3 apabila Daniel Haqim berjaya melakukan satu penyudah baik selepas mendapat lambungan daripada Nik Akif Syahiran.

Sabah memiliki sepakan percuma di minit-minit akhir masa kecederaan separuh masa ke-2 namun tandukan Luka Milunovic sedikit tersasar walaupun Mohd Arif sudah pun tertewas.

Ketahui 5 fakta menarik perlawanan

1. Mata pertama buat Sabah

Sabah yang tewas mengejut 1-2 kepada JDT II dalam perlawanan pertama telah memperaga permainan mantap ketika menentang Kelantan semalam walaupun hanya mendapat 1 mata.

Kedudukan semasa Liga Premier Malaysia 2019.

Walaupun Sabah dilihat bakal membawa 3 mata penuh dalam perlawanan ini, pasukan Kelantan telah memastikan maruah mereka terjaga sebagai pasukan tuan rumah. Mata ini akan sekurang-kurangnya menjadi mata semangat buat Sabah sebelum menerima kunjungan pasukan Terengganu FC II pada 16 Feb nanti.

2. Azzizan Nordin kembali dalam kesebelasan utama

Azzizan Nordin merupakan pemain tunjang yang amat penting buat pasukan Sabah untuk mematahkan serangan lawan dan juga untuk menginisiasi serangan.

Permainan keras dan kemas yang diperagakan oleh Azzizan dalam perlawanan semalam telah banyak menggagalkan serangan Kelantan di samping telah membantu Sabah untuk mendominasi penguasaan bola.

Azzizan Nordin (kiri) hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika tewas 1-2 kepada JDT II dalam perlawanna pembukaan Liga Premier 2019 di Likas minggu lalu.

Corak permainan Sabah tampak berbeza dengan kehadiran beliau. Jika mengimbas semula perlawanan menentang pasukan JDT II di Likas minggu lepas, Azzizan diletakkan di bangku simpanan. Ketiadaan beliau amat dirasai ketika itu. Diharapkan agar beliau akan sentiasa cergas untuk perlawanan yang akan datang.

3. Kemasukkan Ricco cetuskan kebangkitan Sabah

Ricco Nigel Milus dimasukkan menggantikan Sabri Sahar di sekitar minit ke-65 perlawanan menentang Kelantan semalam. Kemasukan beliau telah berjaya memberi impak positif dalam penguasaan bola Sabah.

Kehadiran Ricco yang lebih cergas dengan perlawanan hanya berbaki 25 minit itu telah menyumbang kepada pertukaran hantaran-hantaran pendek di kalangan pemain Sabah yang lain. Dengan menggunakan style hantaran ini, penguasaan bola nampak lebih kemas.

Ricco Nigel Milus (2 dari kanan) memberi impak positif kepada Sabah dalam perlawanan menentang Kelantan semalam.

Ricco juga sering memenangi bola dari kaki pemain Kelantan sebelum bola tersebut sampai ke kawasan pasukan Sabah. Ini merupakan suatu yang positif untuk pasukan Sabah.

4. Luiz Carlos Junior pamerkan aksi baik dalam kemunculan sulungnya bersama Sabah

Luiz Carlos Junior merupakan pemain yang berkaki kidal dan mempunyai keupayaan untuk melepaskan diri di bahagian sayap kanan dan melakukan percubaan serta hantaran ke dalam kotak penalti dengan menggunakan kaki kiri.

Luiz Carlos Junior (atas) memberikan aksi baik walaupun tidak sampai seminggu bersama Sabah sebelum perlawanan menentang Kelantan semalam.

Pemain pertahanan kiri pasukan Kelantan kelihatan amat sukar untuk mengawal pergerakan Luiz Carlos Junior yang sering dapat melepaskan diri dan melakukan hantaran lintang. Jika terdapat penyerang yang lebih berkemampuan menyambar hantaran beliau dalam kotak penalti, sudah pasti Sabah akan lebih mudah menghasilkan gol.

Peluang terbaik yang dimiliki oleh Luiz Carlos dalam perlawanan ini ialah ketika menanduk hantaran lintang Ricco pada minit ke-70. Bola tersebut sudahpun melepasi garisan gol lalu melantun keluar semula namun pengadil tidak memberi isyarat gol terhasil.

5. Kini Maxsius Musa dan Luka Milunovic masing-masing miliki 2 gol

Sabah kini telah pun menghasilkan 4 gol daripada 2 perlawanan. Menariknya, kesemua gol ini disumbangkan oleh Maxsius Musa dan Luka Milunovic.

Luka telah menjaringkan 1 gol dalam perlawanan pembukaan menentang JDT II minggu lepas dan 1 gol dalam perlawanan semalam. Sementara itu, Maxsius Musa pula menghasilkan 2 gol dalam perlawanan menentang Kelantan semalam.

Kombinasi 4 pemain import Sabah ini beraksi baik dalam perlawanan menentang Kelantan semalam.

Diharapkan kedua-dua pemain ini akan terus membantu Sabah dalam menghasilkan lebih banyak gol dan kemenangan dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah peroleh 1 mata berharga di Kota Bharu, Ketahui 5 fakta menarik perlawanan."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*