Ketahui 5 perkara positif di sebalik kekalahan 1-2 Sabah kepada JDT II

Aksi sulung Luka Milunovic bersama Sabah.

Sabah mulakan kempen Liga Premier 2019 mereka dengan langkah kiri apabila tewas 1-2 di tangan pasukan JDT II. Sabah mendahului seawal minit ke-13 menerusi Luka Milunovic  namun jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ke-63 dan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-83 telah memastikan pasukan Harimau Selatan itu pulang dengan 3 mata penuh.

Mari kita ikuti peluang terbaik yang dimiliki Sabah dalam perlawanan itu

JA telah menurunkan Ricco Nigel Milus dan Elias Sulaiman dalam kesebelasan utama Sabah pada perlawanan semalam bersama-sama dengan Rozaimie Rohim, Park Taesu, Rawilson Batuil, Randy Baruh, Dendy Lowa, Sabri Sahar, Maxsius Musa, Luka Milunovic dan Rodoljub Paunovic.

Barisan kesebelasan utama Sabah yang turun menentang pasukan JDT II semalam. Elias Sulaiman (depan, paling kanan) dan Ricco Nigel Milus (depan, paling kiri) mendapat tempat di kesebelasan utama Sabah.

Sabah mendahului pasukan JDT II pada minit ke-13 selepas Luka Milunovic berjaya mencuri ruang akibat kesilapan penjaga gawang pasukan JDT II. Sebelum babak pertama berakhir, Sabah hampir berjaya menggandakan kelebihan menerusi sepakan percuma Sabri Sahar yang hanya sekadar terkena tiang. Follow up daripada Roki pula berjaya dikeluarkan oleh pemain JDT II.

Luka Milunovic meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada minit ke-13.

Selepas ketinggalan 1-2, Sabah sebenarnya boleh menyamakan kedudukan di masa tambahan namun sepakan Luka Milunovic tepat ke arah penjaga gol JDT II, Haziq Nazli.

Sabah sedia maklum atas kekuatan JDT II

Walaupun persiapan pasukan Sabah tidaklah serapi persiapan pasukan JDT II untuk menghadapi musim 2019, Sabah tetap merupakan pasukan yang lebih memiliki peluang dalam perlawanan semalam.

Untuk pengetahuan, pasukan JDT II sudah melakukan persiapan sejak awal November 2018 lagi. Sementara pasukan Sabah pula terpaksa menghadapi kemelut dalaman dan hanya dapat melakukan perlawanan persahabatan lebih kurang seminggu sebelum perlawanan Liga Premier 2019 (22 Jan & 24 Jan 2019).

Kita juga sedia maklum bahawa para pemain tempatan pasukan JDT II adalah kebanyakannya terdiri daripada pemain dan juga bekas pemain kebangsaan Malaysia. Pemain import mereka juga merupakan pemain yang pernah beraksi dengan pasukan besar di Eropah.

Barisan pemain pasukan JDT II yang turun menentang Sabah semalam. Pasukan ini dibarisi oleh kebanyakan pemain bintang.

Namun itu bukanlah alasan kekalahan pasukan Sabah semalam. Sebaliknya, kita harus mengambil kira faktor tuah dalam suatu perlawanan. Sabah memiliki peluang yang cukup untuk mendapat 3 mata penuh namun masih gagal menterjemahkannya kepada gol.

5 perkara positif dan iktibar yang diperolehi daripada perlawanan menentang JDT II

Di sebalik kekalahan kepada JDT II ini, terdapat 5 perkara positif dan iktibar yang boleh membantu pasukan Sabah untuk tampil lagi hebat dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang. Antaranya ialah:

1. Jelius Ating dapat kenal pasti kelemahan pasukan

Kekalahan pada perlawanan pertama bukan selalunya perkara yang tidak baik. Ini kerana, ia dapat memberi pengajaran kepada pasukan untuk menampilkan permainan yang lagi baik. Ia juga merupakan peluang yang baik untuk jurulatih mengenal pasti kelemahan yang dimiliki pasukannya.

JA mungkin selepas ini akan lebih berhati-hati untuk menentukan formasi serta barisan pemain untuk menentang Kelantan pada 8 Feb nanti. Ini kerana, formasi haruslah memudahkan pemain untuk memvariasikan corak permainan. Misalnya, pemilihan formasi dibuat dengan mengambil kira kekuatan lawan, corak permainan lawan serta kekuatan para pemain kita sendiri.

Senarai pemain kesebelasan utama Sabah menyaksikan Azzizan Nordin berada di bangku simpanan.

Formasi yang baik selalunya akan compact ketika bertahan dan mempunyai support pemain yang cukup ketika melakukan serangan.

2. Pemain lebih bermotivasi untuk mendapat kemenangan pertama di Kelantan

Dengan turut menyedari kesilapan yang dilakukan ketika menentang JDT II, para pemain pastinya akan tampil lebih bertenaga ketika menentang pasukan Kelantan di Kota Bharu pada 8 Feb ini.

Dalam pada itu, para pemain Sabah haruslah sedar bahawa mereka perlu lebih klinikal untuk menyudahkan peluang yang ada. Mereka mesti menyalahkan diri sendiri kerana tidak menggunakan peluang yang dimiliki sepenuhnya untuk menghantar JDT II pulang dengan tangan kosong.

3. Pengurusan akan percepatkan pencarian pemain import ke-4

Sabah yang bermain dengan hanya 3 pemain import ketika aksi menentang pasukan JDT II semalam ternyata perlu mempercepatkan proses mencari pemain import ke-4 mereka untuk memastikan mereka lengkap dan bersaing secara adil dengan pasukan lain dalam Liga Premier musim ini.

Dengan pendaftaran penuh pemain berakhir pada 20 Feb ini, pasukan Sabah dilihat perlu untuk mencari seorang lagi penyerang import untuk memperkuatkan lagi serangan dan penyudah pasukan Sabah.

Dari segi pertahanan, gandingan Park Taesu dan Rawilson Batuil sudah menampakkan keserasian. Tanpa kelibat mereka berdua ini semalam, Sabah mungkin akan lebih mudah dibolosi.

4. Para pemain harus kurangkan melakukan kekasaran yang membawa kepada sepakan percuma jarak dekat

Pasukan JDT II dalam perlawanaan semalam kelihatan amat bernasib baik kerana menjaringkan gol selepas memanfaatkan semua peluang yang mereka miliki walaupun sedikit.

Kedua-dua gol pasukan JDT II semalam adalah hasil daripada sepakan percuma yang diberikan pengadil akibat kekasaran-kekasaran yang sia-sia daripada para pemain Sabah.

Oleh itu, para pemain Sabah harus mengambil ini sebagai iktibar iaitu jangan sesekali melakukan terjahan keras terhadap pemain lawan jika ia tidak diperlukan kerana pasti sahaja pasukan lawan akan memanfaatkan situasi set-piece itu.

Para pemain JDT II mengerumuni Rozaimi Abdul Rahman (tidak kelihatan) selepas pemain kelahiran Bongawan, Sabah itu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan juga merupakan gol kemenangan mereka.

5. Harus tidak mudah berpuas hati

Sikap mudah berpuas hati ketika mendahului 1-0 di separuh masa pertama haruslah dielakkan. Ini kerana ia akan mendorong pasukan untuk lebih bertahan dan mengurangkan intensiti serangan. Situasi ini akan menjadikan pasukan lawan lebih bersikap agresif dan akan menjaringkan gol penyamaan seterusnya gol kemenangan.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Ketahui 5 perkara positif di sebalik kekalahan 1-2 Sabah kepada JDT II"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*