Sabah vs JDT II: Roki & rakan-rakan seru sokongan moral penyokong malam esok!

We are ready!

Sabah akan turun melayani kunjungan pasukan JDT II esok pada pukul 8.15 malam di Stadium Likas untuk perlawanan pertama Liga Premier 2019. Perlawanan ini dijangka berlaku cukup sengit memandangkan 2 perlawanan terakhir yang melibatkan dua pasukan ini di KK berakhir dengan keputusan seri.

Sabah berwajah baru

Seperti yang anda sedia maklum, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui oleh kepimpinan baru telah membuat beberapa perubahan drastik iaitu dengan menukar maskot Badak yang sekian lama digunakan kepada maskot baru iaitu Tambadau.

Tambadau menjadi maskot terbaru Sabah untuk musim 2019 ini.

Ia menunjukkan identiti Sabah memandangkan hanya orang Sabah sahaja yang mengetahui maksud “Tambadau” tersebut. Perkara sama telah dilakukan oleh pasukan Sarawak suatu ketika dahulu di mana dengan memperkenalkan “Ngap Sayot”. Pada mulanya hanya orang Sarawak sahaja yang mengetahui maksud gelaran tersebut namun kini ia telah diketahui secara umum di Malaysia.

Perubahan major lain yang dibuat Sabah adalah dengan menukar warna jersi ketika bermain di gelanggang sendiri dan di tempat lawan. Kini, Sabah akan menggunakan jersi putih di Likas dan jersi merah atau biru ketika bertandang di tempat lawan.

Semua perubahan yang dilakukan ini adalah simbolik harapan Sabah untuk tampil berbeza, bergaya dan lebih berjaya pada musim 2019 ini. Jadi, kekallah positif dan sama-sama kita doakan.

Sabah kekalkan kebanyakan barisan pemain Skuad Sabah 2018

Pencapaian menakjubkan yang ditunjukkan oleh pasukan Sabah dalam kancah Piala Malaysia 2018 menunjukkan bahawa kebanyakan pemain di dalam Skuad Sabah 2018 sudah sebati dengan taktikal dan perancangan Jelius Ating (JA) di samping telah serasi bermain bersama-sama. Oleh itu, mengekalkan hampir 90% daripada pemain skuad 2018 adalah suatu tindakan tepat dari JA.

Sabah mengekalkan hampir 90% pemain dari Skuad 2018 Sabah.

Walaubagaimanapun, pemain import seperti Francis Kasonde, Keisuke Ogawa dan Hector Ramos tidak dikekalkan oleh JA memandangkan beliau mungkin telah melihat banyak kelemahan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga pemain import ini. Oleh sebab itu, beliau telah pun memutuskan untuk mengadakan trial untuk mengisi 3 slot kosong untuk pemain asing bermula Disember 2018.

Lebih 15 orang pemain asing yang datang untuk cuba memikat hati JA namun tidak semua berjaya berbuat demikian. Sehingga kini, hanya Park Tae-Soo sahaja yang berjaya memikat hati JA dan ditawarkan kontrak 1 tahun bersama Sabah baru-baru ini.

Bekas pemain DMF Sabah, Heo Jaenyeong juga turut mencuba nasib bersama Sabah musim ini namun menurut JA, beliau masih dibelenggu oleh kecederaan lama beliau dan ia mungkin menjadi antara faktor yang menyebabkan JA tidak memilih beliau. JA juga mungkin berfikir bahawa Sabah masih mempunyai pemain DMF tempatan yang berkualiti seperti Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Azzizan Nordin, Melky Balang dan Syukri Baharun. Kenapa perlu ambil DMF import lagi kan?

Sabah yang beraksi dalam 2 perlawanan persahabatan di Manila pada 21-25 Januari lepas telah berjaya membuktikan yang mereka sedia untuk menghadapi mana-mana pasukan dalam Liga Premier musim ini apabila menang 4-2 ke atas pasukan Stalion Laguna FC di Binan Stadium pada 22 Januari dan seri 1-1 dengan pasukan Kaya FC-Iloilo pada 24 Jan. Kedua-dua pasukan yang ditemui Sabah ini telagh menamatkan saingan Liga Filipina musim lepas di kelompok 4 teratas liga.

Sabah mengharapkan agar 3 pemain import ini boleh menggalas tugas mereka untuk menyumbang kemenangan buat Sabah. Dari kiri, Park Tae-Soo (Korea Selatan), Luka Milunovic (Serbia) dan Rodoljub Paunovic (Serbia).

JDT II mungkin peraga serangan berbahaya

Kehadiran 2 orang Attacking Midfielder dari Argentina iaitu Nicolas Fernandez dan Lucas Ontivero sudah pasti akan merencanakan serangan bahaya JDT II ke atas kubu pertahanan Sabah malam esok. Nicolas merupakan pemain import yang dikekalkan dalam skuad JDT II dari musim lepas dan sering disenaraikan dalam pemain kesebelasan utama pasukan Liga Super JDT.

Sementara itu, Lucas Ontivero pula baru dibawa masuk musim ini untuk memperkuatkan serangan pasukan JDT II. Beliau belum pernah beraksi menentang pasukan Sabah sebelum ini. Jadi beliau mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mempelajari corak permainan Sabah dalam perlawanan malam esok.

Pasukan kendalian Ervin Boban ini juga dibarisi oleh kebanyakan pemain tempatan daripada skuad JDT II musim lepas. Antara pemain tempatan yang sudah pasti akan menggalas tugas selaku penyerang mereka ialah anak muda kelahiran Bongawan, Sabah iaitu Rozaimi Abdul Rahman. Beliau pasti selalu mendapat tempat di hati para penyokong Sabah namun harus diingat bahawa beliau telah menjaringkan 1 gol ketika Sabah terikat 1-1 dengan JDT II ketika pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ini di Likas musim lalu.

Ketua serangan JDT II, Mohammed Ghaddar dari Lubnan merupakan pemain yang perlu diawasi oleh para pemain Sabah. Walaupun Ghaddar belum pernah menjaringkan sebarang gol ketika berhadapan dengan Sabah, ia bukan alasan buat para pemain Sabah untuk ‘pandang sebelah mata’ keupayaan bekas penyerang sensasi Kelantan FA ini.

Formasi terbaik Sabah untuk perlawanan menentang JDT II

Bermain dengan hanya 3 pemain import menentang pasukan JDT II yang sudah pasti akan turun dengan 4 pemain import secara keseluruhan sudah pasti akan menjadikan perlawanan ini nampak kurang seimbang. Sabah juga dilihat akan bersaing secara ‘tidak adil’ kerana kekurangan 1 pemain import.

Namun ia bukan masalah besar buat Sabah. Ini kerana dalam perlawanan ini, JA boleh menggunakan formasi 3-5-2 dengan menurunkan 3 pemain pertahanan yang terdiri daripada 3 Centreback. Di bahagian tengah, pasukan Sabah boleh menurunkan 5 pemain yang terdiri daripada 1 Right Wing Back, 1 Left Wing Back dan 3 Defensive Midfielder yang akan menyerap asakan awal pasukan JDT II. Sementara di bahagian serangan pula JA boleh menurunkan 2 orang penyerang yang terdiri daripada CF dan SS.

Dengan menggunakan formasi ini, Sabah akan nampak lebih kukuh dan tidak akan mudah dibolosi JDT II. Ini kerana, ketika bertahan, Sabah akan mempunyai 8 orang pemain yang akan berkampung di kawasan pertahanan (3 CB, 2 Wing Back & 3 DMF). Ketika menyerang pula, 2 penyerang Sabah akan dibantu oleh 3 DMF dan 2 Wing Back.

Pasukan Sabah harapkan kedatangan penyokong sebagai pemain ke-12

Ketika majlis ‘Meet The Fans’ di Suria Sabah Shopping Mall kelmarin (31 Jan 2019), kebanyakan pemain Sabah mengharapkan kedatangan penyokong Sabah untuk memberikan sorakan semangat kepada mereka dalam pertembungan menentang JDT II pada esok (Sabtu).

Roki seru sokongan moral darpada penyokong Sabah ketika melayani kunjungan JDT II malam esok.

Oleh itu, datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan aksi pembuka tirai Liga Premier 2019 buat pasukan Sabah ini di Likas malam esok. Semoga Sabah akan mendapat keputusan yang positif.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah vs JDT II: Roki & rakan-rakan seru sokongan moral penyokong malam esok!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*