Pemain berpangkat Inspektor dari Sabah wakili PDRM FA untuk Liga Perdana 2019

Aksi Rainol Masaat ketika bersama pasukan Cebagoo FC dalam saingan Liga FAM 2014.

Di kala sibuk menantikan persiapan pasukan Sabah untuk menghadapi Liga Perdana 2019, terdapat seorang pemain dari Negeri Di Bawah Bayu ini yang telah mendapat perhatian admin (penulis) iaitu Tuan Inspektor Rainol Masaat. Pemain versatile ini baru sahaja menandatangani kontrak bersama PDRM FA semalam. Tahniah diucapkan.

Pemain ini mempunyai latar belakang tersendiri yang menarik untuk kita ketahui bersama. Mari kita kenali Tuan Inspektor Rainol Masaat dengan lebih dekat lagi.

Pemain ini meminati bolasepak sejak berada di sekolah rendah lagi. Beliau memulakan persekolahan di SK Temuno Teringai Darat, Kota Marudu. Beliau mewakili sekolah beliau dalam pertandingan Bolasepak peringkat daerah (MSSD) sepanjang berusia 9-12 tahun.

Bakat beliau terus digilap di peringkat sekolah menengah dan berjaya mewakili Sabah dalam kejohanan Bolasepak MSSM Kebangsaan B-15 dan B-18 ketika bersekolah di SMK Kota Marudu pada sekitar tahun 2001-2007. Selain aktif dalam sukan bolasepak, pemain yang lebih mesra dikenali sebagai “Montoku” ini juga cemerlang dalam akademik. Beliau merupakan pelajar Sains Tulen (Science Stream) yang sedikit sebanyak menyumbang kepada rekod akademik baik SMKKM.

Selepas tamat zaman persekolahan, beliau meneruskan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Sosial pada tahun 2011. Kelibat beliau dalam pasukan Bolasepak UMS kendalian jurulatih Andrew Majanggim ketika itu telah menjadikan UMS sebagai pasukan IPTA paling digeruni pada sekitar tahun 2008-2011 dengan membantu pasukan UMS muncul juara Liga IPTA/S 2011 dan seterusnya mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti Malaysia-Thailand tahun yang sama.

Rainol (depan) mewakili UMS dalam Liga IPTA/S Malaysia 2011 dan memenangi liga tersebut sekali gus menghancurkan harapan juara bertahan, UiTM Shah Alam. Kredit: Dunia Sukan

 

Aksi cemerlang yang ditunjukkan beliau juga telah membolehkan beliau disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama pasukan SUKMA 2008 dan 2011 Sabah. Nama beliau juga turut disenaraikan dalam senarai akhir pemain skuad Liga Perdana 2012 Sabah namun atas sebab yang tidak diketahui, nama beliau digugurkan di minit-minit akhir.

Pada tahun yang sama juga menyaksikan Rainol dipilih untuk mewakili Pilihan Sabah ketika melayani kunjungan Queens Park Rangers (QPR) walaupun ketika itu pasukan Pilihan Sabah tewas 0-5.

Aksi Rainol (kanan) ketika berhadapan penyerang sensasi Queens Park Rangers (QPR), Djibril Cisse.

 

Pemain yang bermain di bahagian serangan ini bagaimanapun telah mewakili pasukan Sabah Cebagoo FC dalam saingan Liga FAM untuk dua musim berturut-turut iaitu musim 2013 dan 2014.

Aksi Rainol Masaat (kiri) ketika bersama pasukan Cebagoo FC dalam saingan Liga FAM 2014.

 

Inspektor Rainol Masaat mula menyertai PDRM pada tahun 2015. Menerusi penglibatan aktif dalam sukan Bolasepak bersama majikan beliau, Rainol telah mendapat rekomendasi untuk menyertai trial bersama skuad Liga Perdana 2019 PDRM FA dan kini secara rasmi bergelar sebagai pemain untuk pasukan yang digelar “The Cops” itu.

 

Bagaimana Rainol Masaat boleh membantu PDRM FA untuk hadapi musim 2019 nanti?

Pemain yang selalunya bermain di bahagian serangan ini bagaimanapun akan mengemudi bahagian pertahanan kanan pasukan PDRM FA pada musim hadapan. Kepantasan dan kecergasan yang dimiliki beliau sudah pasti akan memudahkan tugas beliau untuk menjadi Right Wing Back untuk pasukan PDRM FA nanti.

The Rhinos Troops mengucapkan selamat maju jaya buat Rainol Masaat!

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Pemain berpangkat Inspektor dari Sabah wakili PDRM FA untuk Liga Perdana 2019"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*