Sabah layak ke Separuh Akhir Piala M’sia 2018 – Pemain, staff kejurulatihan dan penyokong ilhamkan kejayaan!

Kredit: Hanief Ismail (Media SAFA Tawau)

Sabah berjaya layak ke perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia 2018 buat kali pertama selepas melakukannya 11 tahun lalu apabila menewaskan pasukan Kelantan 1-0 di Likas dan mara menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2. Lebih manis lagi kejayaan tersebut disaksikan oleh lebih 20,000 penyokong Sabah.

Kejayaan pasukan Sabah ini bukan dihasilkan oleh titik peluh seorang atau dua pemain sahaja namun kredit diberikan kepada keseluruhan pemain yang bertungkus lumus mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut. Selain para pemain, barisan kejurulatihan dan para penyokong juga merupakan antara watak penting dalam kejayaan ini. Tahniah kepada semua pihak.

Perjuangan Sabah tidak berakhir sampai di sini sahaja kerana tugas getir sedang menanti mereka pada  7 Oktober ini apabila akan bertemu dengan pasukan Perak dalam perlawanan Separuh Akhir 1 di Ipoh, Perak. Pertembungan Sabah dan Perak dalam perlawnan Separuh Akhir Piala Malaysia sememangnya bukan suatu yang baharu buat kita memandangkan kedua-dua pasukan ini sudahpun bertemu sebanyak 3 kali sejak musim 2002 di dalam saingan dan peringkat yang sama.

Sabah pernah bertemu dengan Perak dalam peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2002 dan 2003. Dalam 2 edisi itu menyaksikan pasukan Sabah menewaskan Perak dan mara ke perlawanan akhir namun gagal menjulang piala paling berprestij di Malaysia itu kerana tewas kepada masing-masing Selangor (final 2002) dan MPPJ Selangor (final 2003).

Apapun Sabah sekali lagi bertemu Perak dalam perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia 2007. Namun kali ini nasib tidak menyebelahi pasukan Sabah kerana tewas dengan agreagat 2-3 kepada Perak menerusi jaringan minit akhir Khalid Jamlus di Stadium Ipoh, Perak dalam perlawanan Separuh Akhir ke-2.

 

Sebelum memperkatakan lebih banyak berkenaan perlawanan Separuh Akhir 1 ini, mari kita lihat  5 fakta penting perlawanan ketika Sabah menewaskan pasukan Kelantan di Likas semalam.

 

 1. Sabah bermula dengan perlahan, Kelantan terapkan corak permainan pantas di awal permainan

Sabah memulakan Separuh Masa Pertama ketika menentang Kelantan dengan agak perlahan dan ini telah menyebabkan mereka dicemaskan oleh beberapa cubaan awal pasukan Kelantan terutama sekali menerusi pemain muda berbakat mereka iaitu Danial Ashraf, Khairul Rizam dan Imran Samsoo.

Peluang terbaik yang dimiliki pasukan The Red Warriors itu hadir pada minit ke-3 menerusi peluang 1 vs 1 Khairul Rizam bersama dengan Penjaga Gol Sabah, Rozaimie Rohim. Apapun, Roy telah bertindak dengan cemerlang menidakkan percubaan tersebut.

Tersentak dengan asakan Kelantan itu, Sabah mulai memperkemaskan corak permainan ketika kira-kira usia permainan mencecah 20 minit. Serangan demi serangan Sabah seterusnya membuatkan pasukan Kelantan banyak bertahan dan hanya melakukan serangan ‘break attack’ yang pantas.

 

2. Serangan Sabah berpusat di kawasan Maxsius Musa

Serangan demi serangan Sabah kelihatan lebih tertumpu di sebelah kiri kawasan pasukan Kelantan dan telah memaksa Sayap Kiri dan Bek Kiri mereka iaitu Khairul Rizam dan Azwan Aripin bekerja keras untuk mematahkan larian yang diinisiasikan oleh Maxsius Musa.

Pemain Sabah yang bertubuh kecil namun lincah dari Keningau itu menjadi pemain Sabah yang paling sibuk dalam proses serangan Sabah dalam perlawanan tersebut. Dengan hantaran lintangan beliau yang berkualiti, pasukan Kelantan dikerah lebih berhati-hati dalam kawasan kotak penalti mereka.

Sepakan penalti yang diberikan pengadil perlawanan kepada Sabah adalah berpunca daripada tandukan Maxsius Musa yang terkena tangan pemain pertahanan Kelantan selepas melonjak tinggi di udara untuk menanduk bola hantaran Sabri Sahar melalui sepakan sudut pada minit ke-29.

 

3. Kemasukan Dendy Lowa perkuatkan benteng kanan Sabah

Walaupun Sabah kehilangan Randy Baruh yang telah menerima layangan Kad Merah ketika perlawanan Suku AKhir 1 di Kelantan, JA telah mengisi tempat di posisi RB dengan membawa masuk Dendy Lowa. Kemasukan beliau amat positif kerana banyak mambantu benteng pertahanan pasukan Sabah untuk mengekang gerakan Khairul Rizam yang berkelajuan baik di kawasan RB.

Antara kontribusi terbaik daripada Dendy Lowa dalam perlawanan itu ialah melakukan clearance selepas tandukan Shafiq Shahrudin terkena palang selepas 98 minit permainan (termasuk masa kecederaan). Beliau ketika itu membantu Rozaimie Rohim untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

 

4. Roki dan Maxsius miliki peluang terbaik tambahkan gol Sabah

Sabah dilihat sekurang-kurangnya boleh menghasilkan 3 gol dalam perlawanan tersebut namun 2 peluang terbaik yang dimiliki oleh Roki dan Maxsius Musa tidak berjaya diterjemahkan kepada gol. Hanya sepakan penalti Roki pada minit ke-30 pemainan telah berjaya dimanfaatkan setelah pemain Kelantan tertampan tandukan Maxsius dengan menggunakan tangan.

Percubaan pertama ialah menerusi peluang terbuka Roki selepas mendapat hantaran lintang cantik daripada Maxsius Musa pada minit ke-65 namun mujur percubaan Roki itu tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan walaupun Roki tidak dapat dikawal oleh sesiapa dan pintu gol ternganga besar.

Peluang keemasan kedua dimiliki oleh Maxsius Musa namun percubaan jarak dekat beliau tersasar walaupun hanya berhadapan 1 vs 1 dengan Faridzuean Kamaruddin di masa kecederaan separuh masa ke-2. Ia berpunca daripada hantaran cantik Sabri Sahar yang tepat kepada Maxsius Musa yang tidak dikawal di kawasan sayap kanan.

 

5. Variasi corak Long Ball dan Short Ball yang menghiburkan daripada Sabah

Sabah yang sinonim dengan corak permainan long ball dalam kempen Piala Malaysia 2018 ini telah memperagakan corak permainan yang bervariasi di mana selain menggunakan hantaran-hantaran tinggi untuk melakukan serangan, pasukan Sabah juga turut mengaplikasikan corak permainan dengan hantaran-hantaran pendek dan rendah.

Corak permainan seakan ini begitu menghiburkan dan patut dikekalkan dalam perlawanan seterusnya walaupun kita ketahui bahawa jentera tengah Sabah hanya dikepalai oleh anak-anak jati ‘Original Sabahan’.

 

Bertemu pasukan Perak dalam perlawanan Separuh Akhir merupakan suatu tugasan yang amat berat buat anak-anak buat JA memandangkan prestasi pasukan Sang Seladang ini amat baik dalam perlawanan peringkat kumpulan mahupun dalam kempen Liga Super 2018. Walaupun begitu, ia bukan alasan untuk para wira Sabah mengalah sebelum berjuang. Ayuh doakan Sabah mampu melakukan yang terbaik dalam Piala Malaysia edisi 2018 kali ini.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah layak ke Separuh Akhir Piala M’sia 2018 – Pemain, staff kejurulatihan dan penyokong ilhamkan kejayaan!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*