Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2018: ‘Away goal’ dan ‘Pemain ke-12’ berikan kelebihan buat Sabah di Likas malam esok!

Kredit: Hanief Ismail (Media SAFA Tawau)

Sabah akan melayani kunjungan pasukan Kelantan pada 29 September ini bersamaan Sabtu (esok) dalam perlawanan Suku Akhir ke-2 UNIFI Piala Malaysia 2018 di Stadium Likas. Perlawanan yang berlangsung pada jam 8.15 malam ini sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh penyokong Sang Badak memandangkan mereka yakin akan keupayaan yang dimiliki oleh barisan pemain Sabah dalam saingan kali ini.

 

Sabah tewas 2-1 di Kelantan atas ehsan Zamzaidi Katimin

Kekalahan 2-1 Sabah di Kota Bharu dalam perlawanan Suku Akhir pertama minggu lalu merupakan suatu kejutan buat anak-anak buah JA dan penyokong sendiri memandangakan ia disebabkan oleh beberapa keputusan pengadil perlawanan yang dibuat dengan ‘kurang seimbang’.

Situasi yang amat mendukacitakan lagi memeranjatkan ialah apabila Zamzaidi Katimin telah melayangkan Kad Merah buat Randy Baruh pada minit ke-40 perlawanan setelah dikerumuni para pemain Kelantan walaupun sebelum itu beliau hanya melayangkan Kad Kuning kepada anak muda dari Sipitang itu.

Para penyokong Sabah tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan tersebut dilakukan akibat desakan para pemain Kelantan sendiri. Dan yang paling penting sekali ialah sebagai seorang pengadil, keputusan haruslah dibuat secepat yang mungkin dan harus kekal dengan pendirian.

Dalam hal yang lain pula, Zamzaidi Katimin sekali lagi menyakitkan hati para pemain dan penyokong Sabah apabila menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah, Kelantan dalam ketika pemain mereka terjatuh sendiri di dalam kotak penalti Sabah.

Ia suatu yang meragukan kerana Hamran Peter tidak melakukan sebarang sentuhan terhadap Imran Samsoo yang terjatuh akibat ketidak seimbangan badan dan padang licin. Penalti yang disempurnakan oleh Nik Akif Syahiran itu menjadikan kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan Kelantan mendahului Sabah 2-1.

Bermain di separuh masa ke-2 menyaksikan JA memasukkan Dendy Lowa untuk memperkuatkan lagi pertahanan Sabah. Sabah sepatutnya boleh untuk sekurang-kurangnya membawa bekalan 2 atau 3 gol dalam perlawanan tersebut namun 2 percubaan mereka menerusi Sabri Sahar dan Pito masing-masing terkena palang dan tiang gol pasukan Kelantan. Meskipun bermain dengan kurang seorang pemain, pasukan Kelantan tidak berdaya untuk menambah sebarang jaringan.

 

Yusri Che Lah ingin terapkan Open Game di Likas

Ketika ditemuramah selepas perlawanan menentang Sabah di Kota Bharu, Yusri Che Lah menyatakan kekecewaan beliau kerana mereka tidak mampu menambah jumlah gol di separuh masa ke-2 walaupun menentang Sabah yang bermain dengan hanya 10 pemain untuk baki 45 minit perlawanan tersebut.

Dan ketika ditanya apakah formasi atau percaturan yang beliau akan gunakan dalam perlawanan di Likas pada 29 September ini (esok) beliau katakan bahawa mereka tidak ada pilihan lain selain bermain secara Open Game kerana menyedari bermain di Likas bukannya mudah ditambah pula dengan defisit jaringan yang sangat tipis serta kelebihan gol away goal Sabah.

Permainan open game yang dimaksudkan oleh Yusri adalah konsep yang biasa diguna pakai untuk corak permainan terbuka tanpa memfokuskan kepada bertahanan sahaja misalnya. Ia lebih menjurus kepada corak permainan responsive accordingly yakni bertahan apabila diasak dan menyerang ketika mendapat bola. Hal ini bermaksud, Sabah perlu tumpukan serangan kerana pasukan Kelantan akan bertindak bersesuaian dengan percaturan pasukan Sabah dalam perlawanan itu nanti.

 

Ketiadaan Randy Baruh akan memungkinkan penggunaan formasi 3-5-2 oleh JA?

Akibat layangan Kad Merah Zamzaidi Katimin terhadap Randy Baruh di Kota Bharu pada perlawanan Suku Akhir pertama, Sabah terpaksa melakukan sesuatu untuk menjadikan pertahanan mereka lebih baik dalam perlawanan di Likas nanti.

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan mengekalkan formasi 4-4-2 dengan memasukkan Mafry Balang atau pun Leopold Alfonso Otong di posisi RB.

Terdapat juga idea yang baik iaitu dengan mengekalkan 3 pertahanan dan sebaliknya menambah jumlah pemain tengah. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan formasi 3-5-2.

Jika formasi 3-5-2 ini dapat diaplikasikan, sudah pasti Sabah akan beraksi dengan 4 pemain import secara keseluruhan. Ini kerana formasi ini akan membolehkan Keisuke Ogawa beraksi dalam kesebelasan utama.

Jika formas ini dipakai, pemain pertahanan Sabah akan terdiri daripada Rawilson, Francis dan Alto. Pemain tengah pula akan terdiri daripada Azizan, Sabri, Maxsius, Hamran dan Ogawa. Sementara Roki dan Pito mengemudi di bahagian serangan. Kombinasi ini kelihatan mantap memandangkan Ogawa akan menambahkan kekuatan di bahagian DMF di samping Azizan dan Sabri.

 

Pemain ke-12 beri kelebihan buat Sang Badak

Selain berkelebihan 1 gol di tempat lawan, pasukan Sabah nampaknya akan mendapat kelebihan tambahan menerusi suntikan semangat daripada pemain ke-12 iaitu para penyokong Sabah sendiri memandangkan kehadiran mereka dijangka akan memenuhi setiap tempat duduk kosong di Stadium Likas esok.

Berdasarkan rekod pasukan Sabah, keputusan yang mereka perolehi ketika bermain dalam stadium yang penuh dengan penyokong selalunya positif. Diharapkan agar situasi ini akan memberikan kelebihan yang besar buat Sabah untuk mara ke perlawanan Separuh Akhir UNIFI Piala Malaysia 2018.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2018: ‘Away goal’ dan ‘Pemain ke-12’ berikan kelebihan buat Sabah di Likas malam esok!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*