Piala Malaysia 2018: Sabah ke peringkat Suku Akhir jika tewaskan Selangor di Shah Alam.

Pemain Sabah ketika meraikan jaringan kemenangan Ricco ketika menewaskan Selangor 2-1 di Likas minggu lalu. Kredit: FMLLP

Sabah akan membuat perhitungan dengan pasukan Selangor dalam perlawanan ke-4 UNIFI Piala Malaysia 2018 pada 28 Ogos nanti namun kali ini mereka akan bertandang ke Stadium Shah Alam, Selangor untuk misi 3 mata seperti yang mereka lakukan dalam perlawanan terdahulu di Likas minggu lalu.

Petemuan kedua-dua pasukan ini dijangka berlaku cukup sengit memandangkan Selangor tewas 2-1 di Likas minggu lalu dan mereka kini berada dalam keadaan terdesak untuk mendapat sekurang-kurangnya 1 mata memandangkan mereka kini masih belum mendapat sebarang mata dalam 3 perlawanan terdahulu. Bak kata pepatah moden, mata mereka belum ‘pecah telur’.

 

Sabah hanya perlukan 1 kemenangan untuk layak ke peringkat kalah mati

Dengan saingan peringkat kumpulan hanya berbaki 3 perlawanan, Sabah dilihat hanya perlukan 1 kemenangan (3 mata) untuk melayakkan mereka bermain dalam peringkat kalah mati (Suku Akhir). Ini kerana mereka kini telahpun mengutip sebanyak 7 mata daripada 3 perlawanan awal dan sedang menduduki tangga ke-2 Kumpulan A. Pahang pula berada di tangga pertama kumpulan tersebut juga dengan 7 mata namun berkelebihan jumlah perbezaan jaringan.

Jika Sabah menewaskan pasukan Selangor di Shah Alam kali ini, Sabah bakal mengumpul 10 mata dan mengesahkan tempat ke saingan seterusnya tanpa mengira apa jua keputusan yang terhasil dalam perlawanan di Antara PKNP FC dan Pahang.

 

Tugas sukar menanti Sabah

Sabah yang berhempas pulas di minit akhir perlawanan ketika menewaskan pasukan Selangor 2-1 minggu lalu dilihat akan mendapat saingan yang lebih sengit kerana Selangor bermain selaku pasukan tuan rumah. Walaubagaimanapun ‘kepulangan’ semula pasukan The Red Giant itu tidak begitu memberikan mereka sebarang kelebihan setakat ini kerana mereka tewas dalam kesemua perlawanan di gelanggang tersebut misalnya ketika tewas 0-3 kepada PKNP FC dan tewas 0-2 kepada Pahang.

Antara yang akan menyukarkan Sabah di Shah Alam nanti ialah dengan kembalinya 2 pemain import dari Indonesia buat pasukan Selangor. Ini bermakna Selangor akan bermain dengan 4 tonggak import dengan adanya Ilham Udin Armayin dan Evan Dimas semula. Dengan adanya dua pemain sensasi ini sudah pasti akan menggangu gugat benteng pertahanan pasukan Sabah.

Kembalinya pemain muda berbakat Selangor daripada skuad U23 Malaysia iaitu Syami Safari sudah pasti akan memberikan nafas baru untuk skuad The Red Giant. Ketiadaan ramai pemain utama Selangor mungkin menjadi antara penyebab prestasi kurang baik mereka ketika ini. Namun jika kesemua pemain mereka kembali tetapi masih tewas di tangan Sabah, maka ia bermaksud segala perancangan yang dibuat oleh Nazliazmi Nasir tidak mendatangkan hasil.

 

Taktikal long pass Sabah dilihat berhasil

Setakat ini, taktikal long pass yang dipraktikkan oleh JA dilihat berkesan untuk merobek gawang lawan kerana menyedari Roki dan Pito agak baik di hadapan ketika mendapat lambungan tinggi berbanding dengan through pass rendah yang memerlukan larian laju. Anda pun tahu bagaimana kelajuan Roki dan Pito kan? Mereka tidak begitu mempunyai kelajuan seperti yang dimiliki oleh beberapa pemain import lain misalnya Tchethce Kipre dari Terengganu dan Mamadou Sumareh dari Pahang. Jadi, hantaran lambung untuk mereka boleh dikira masuk akal.

2 gol yang dihasilkan Sabah ketika menewaskan Selangor dalam perlawanan ke-3 adalah dimulakan dengan hantaran tinggi yang dilakukan oleh Francis Kasonde. Dengan kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Pito dan Roki, mereka boleh mengawal bola dan merencanakan peluang buat rakan sepasukan melakukan percubaan dan jaringan.

 

Rufino Segovia harus sekali lagi dikawal ketat

Pemain import dari Brazil buat pasukan Selangor ini sekali lagi perlu dikawal ketat oleh barisan pertahanan Sabah kerana berdasarkan perlawanan lepas, Rufino merupakan pemain Selangor yang paling banyak melakukan percubaan ke gawang Sabah namun beliau tidak bernasib baik kerana tiada satupun percubaan beliau yang Berjaya melepasi Rozaimie Rohim. Dan pujian juga harus diberikan kepada Roy kerana bekerja keras menepis beberapa percubaan tepat ke arah gawang daripada Rufino.

Rufino yang serba boleh ini berjaya mencatatkan sebanyak 14 gol dalam saingan Liga Super 2018 ini bagaimanapun masih belum lagi mencatatkan sebarang jaringan dalam saingan Piala Malaysia 2018. Oleh itu sudah pasti beliau akan berhabis-habisan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini.

 

Adakah Jenius Karib, Mafry Balang dan Keisuke Ogawa kembali beraksi?

Ketiga-tiga pemain ini pernah menjadi pemain utama di suatu ketika sebelum mereka mengalami kecederaan yang terpaksa membuatkan JA merehatkan mereka. Di dalam proses itu, muncul pemain-pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika saingan Liga Premier 2018 digunakan dalam saingan Piala Malaysia 2018 seperti Alto Linus dan Hamran Peter.

Alto Linus yang bermain di posisi LB kelihatan sangat baik walaupun posisi sebenar beliau adalah RB dan RMF. Beliau awalnya merupakan antara barisan serangan Sabah ketika beliau mula-mula menyertai Sabah sekitar musim 2010. Alto sering membantu barisan serangan Sabah dengan hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti tetapi jarang berada di kawasan by-line lawan untuk melakukan cross.

Hamran Peter pula mempunyai kelajuan yang mantap dan banyak mengucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan lawan di kawasan LMF. Walaubagaimanapun beliau sering tewas ketika pemain lawan bermain secara fizikal. Kepantasan yang dimiliki Hamran merupakan antara faktor yang membuatkan beliau menjadi pilihan utama JA di posisi sayap kiri.

Sabah yang menandatangani Keisuke Ogawa di pertengahan musim 2018 bagaimanapun merasa rugi kerana pemain ini hanya beraksi dalam hanya beberapa perlawanan sebelum mengalami kecederaan jangka panjang. Dengan kecederaan yang dialami beliau itu, Sabah telah menamatkan saingan liga dengan hanya 3 pemain import sedangkan pasukan lain menurunkan 4 orang dalam setiap perlawanan. Suatu kerugian buat Sabah kerana mereka tidak dapat bersaing secara adil dengan pasukan-pasukan lain.

 

Tag underdog malah lebih kuatkan Sabah

Sabah yang layak ke saingan Piala Malaysia 2018 sebagai pasukan yang paling lemah berdasarkan kedudukan dalam Liga Premier 2018 langsung tidak menjejaskan presatasi mereka malah mereka bermain tanpa tekanan dalam setiap perlawanan dan tunjukkan bahawa mereka boleh menjinakkan mana-mana pasukan Liga Super dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Sebagai rekod, pasukan Sabah telah berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2007 walaupun ketika itu mereka hanyalah pasukan berstatus underdog yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2007. Pasukan Sabah ketika itu diundi bersama pasukan dari Liga Super iaitu Pahang, Perak, Kedah, PDRM dan Sarawak. Mereka layak ke peringkat Suku Akhir bertemu Negeri Sembilan NAZA yang juga merupakan pasukan Liga Super ketika itu dan menewaskan pasukan tersebut dengan agregat 3-2. Sabah seterusnya layak ke peringkat Separuh Akhir bertemu Perak dan dalam saingan ini mereka tewas dengan agregat 2-3. Oleh itu, ini cukup jelas menunjukkan bahawa Sabah akan selalunya kuat jika turun menentang pasukan kuat.

Dengan pencapaian yang mereka lakukan pada Piala Malaysia 2007, adakah mereka bakal melakukan hal yang sama tahun ini?

 

Sabah harus ambil kesempatan

Keputusan perlawanan Piala Malaysia 2018 bagi Kumpulan D semalam menyaksikan PKNP FC  berjaya mengikat Pahang tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur dan menyebabkan Pahang kini mengumpul 8 mata. Ini bermakna jika Sabah dapat menewaskan Selangor dalam perlawanan pada 28 Ogos di Shah Alam nanti, maka Sabah akan mendahului carta Kumpulan D dengan 10 mata. Jika Sabah tewas sekalipun, mereka tetap kekal berada di kedudukan ke-2.

Lihat kedudukan terkini bagi Kumpulan D selepas 1 perlawanan yang melibatkan PKNP FC dan Pahang semalam (25 Ogos 2018).

Oleh itu, Sabah seharusnya melihat hal ini sebagai peluang yang sangat baik untuk melebarkan kelebihan mereka dalam saingan Kumpulan D di samping cuba untuk mengekalkan momentum tanpa kalah mereka dalam edisi Piala Malaysia kali ini.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Piala Malaysia 2018: Sabah ke peringkat Suku Akhir jika tewaskan Selangor di Shah Alam."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*