Sabah tumbangkan ego Selangor di Likas, 5 faktor utama kemenangan dramatik Sabah.

Ricco Nigel Milus meraikan jaringan selepas menjaringkan gol berkelas dunia bagi membolehkan Sabah menumpaskan Selangor 2-1. Kredit: FMLLP

Sabah tepati ramalan untuk menewaskan Selangor dalam perlawanan ke-3 Kumpulan D UNIFI Piala Malaysia 2018 di Likas semalam dengan jaringan 2-1. Kemenangan tersebut bukanlah suatu kemenangan yang mudah buat Sabah memandangkan ia dihasilkan dengan penuh dramatik susulan percaturan taktikal bijaksana daripada Jelius Ating.

 

Mari kita ikuti sorotan perlawanan

JA telah menurunkan kesebelasan utama Sabah ketika menewaskan PKNP FC 1-0 minggu lalu. Seperti biasa, JA meletakkan Rahman Shah Marajeh di bangku simpanan dan akan dimainkan sebagai Super Sub.

Selangor dilihat merupakan pasukan yang lebih dahagakan jaringan apabila cuba merobek gawang Sabah pada minit ke-3 menerusi 2 percubaan berturut-turut daripada pemain import handalan dari Brazil mereka iaitu Rufino Segovia. Percubaan pertama dihalang oleh Rawilson Batuil sementara percubaan ke-2 dipatahkan oleh Rozaimie Rohim aka Roy.

 

Seminit kemudian, Rufino Segovia sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol akibat salah faham benteng pertahanan Sabah namun percubaan Rufino pula tidak cukup bahaya untuk menewaskan Roy.

 

Sabah bingkas memberi serangan balas dan pada minit ke-12, Roki pula gagal melakukan tandukan tepat walaupun hanya berhadapan dengan Penjaga Gol Selangor, Norazlan Razali hasil satu hantaran lintang yang baik daripada Alto Linus.

 

4 minit kemudian, Sabah sekali lagi gagal menembusi gawang Selangor apabila sepakan sudut yang diambil Sabri Sahar tidak berjaya ditanduk dengan cermat oleh Pito dalam jarak yang sangat dekat.

 

Pada minit ke-21, Selangor pula mendapat ruang untuk melakukan percubaan namun sepakan leret kaki kiri yang deras di luar kotak penalti Sabah daripada Rufino mudah ditangkap kemas oleh Roy.

 

Perlawanan separuh masa pertama dengan Sabah dan Selangor terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak ke-2, seperti biasa Selangor nampak tertekan untuk mendapatkan gol dan ia memaksa mereka melakukan serangan dengan bertubi-tubi. Akhirnya pada minit ke-51, pemain muda berbakat besar milik Selangor iaitu Sean Eugene Selvaraj berjaya melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti Sabah namun ia sedikit melepasi palang gol Sabah.

Selangor hampir menghasilkan gol pendahuluan pada mini ke-59 apabila placing shot daripada pemain veteran Selangor, Amri Yahya hanya singgah di palang gol Sabah.

 

2 minit kemudian, Rawilson Batuil sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya melakukan clearance sebelum Rufino dapat melakukan percubaan dalam situasi Rufino hanya berhadapan 1 lawan 1 dengan Roy.

 

Sabah pula hampir berjaya mendapat gol pembukaan pada minit ke-67 apabila sepakan percuma Sabri Sahar di sebelah kanan pintu gol Selangor hanya tersasar beberapa inci daripada palang gol Selangor. Lencongan bola Sabri itu seakan-akan masuk menerjah jaring jika disaksikan daripada arah Grandstand.

 

3 minit selepas itu, hantaran cantik daripada Pito kepada Roki sempat membuatkan Stadium Likas gegak gempita namun sepakan kaki kiri Roki pula hanya terkena tiang walaupun Norazlan Razali sudahpun tertewas.

 

Selangor akhirnya berjaya menghasilkan gol pertama mereka daripada 3 perlawanan Piala Malaysia 2018 menerusi Sean Eugene Selvaraj apabila melakukan sepakan deras di hujung kotak penalti Sabah selepas menerima cut back menarik daripada pemain muda berbakat besar mereka, Faizuddin Abidin.

 

Sejurus selepas mendahului Sabah 1-0, Selangor mulai memperlahankan permainan dengan banyak adegan cedera di atas padang. Kesempatan itu diambil baik oleh Sabah apabila Rahmanshah Marajeh yang baru menggantikan Hamran Peter berjaya meledak gol ke-2 peribadi beliau dalam Piala Malaysia 2018 untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas memanfaatkan peluang yang dicipta hasil kombinasi baik daripada Pito dan Sabri Sahar.

 

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan kedudukan terikat 1-1, Sabah berjaya menghasilkan gol kemenangan menerusi Ricco Nigel Milus yang masuk menggantikan Sabri Sahar di penghujung perlawanan. Ia merupakan gol tercantik setakat ini kerana ia serupa dengan gol terbaik FIFA World Cup 2018 milik Benjamin Pavard dari Perancis namun jarak jaringan Ricco itu dibuat lagi jauh dari Benjamin. Gol tersebut bermula daripada hantaran jauh Francis Kasonde yang tepat kepada Roki yang seterusnya melakukan tandukan ke belakang yang tepat kea rah Pito. Pito yang mendada bola tersebut menolak sedikit kepada Rahmanshah Marajeh yang kemudiannya melakukan set kepada Ricco yang melakukan sepakan outer foot cantik menewaskan Norazlan. Ia sekali gus menceriakan 6200 orang penyokong yang hadir di Likas.

Tamat perlawanan, Sabah menewaskan Selangor 2-1.

 

Kebanyakan antara kita pastinya masih tidak percaya bahkan tertanya-tanya bagaimana kemenangan tersebut boleh dicapai. Jadi, mari ikuti 5 faktor utama yang menymbang kepada kemenangan dramatik Sabah terhadap Selangor semalam.

 

1. Kekebalan benteng pertahanan

Benteng pertahanan Sabah yang diketuai oleh anak muda dari Kota Marudu, Rawilson Batuil telah banyak menggagalkan peluang daripada Selangor untuk menjaringkan gol. Serangan Selangor yang diketuai oleh penjaring terbanyak mereka iaitu Rufino Segovia banyak dipatahkan dan ia sangat jelas menjadi antara faktor utama yang menyebabkan Sabah tidak dapat dibolosi dengan mudah semalam.

Gol pasukan Selangor hanyalah akibat kelekaan pemain LB Sabah, Alto Linus yang menjangkakan bola keluar namun berjaya dikawal oleh Faizuddin yang seterusnya melakukan hantaran cut back kepada Sean Eugene Selvaraj dan pemain muda kelahiran Negeri Sembilan itu melakukan sepakan yang terkena palang terlebih dahulu sebelum masuk melepasi garisan gol Sabah. Jaringan tersebut bagaimanapun berlaku dengan bantuan sedikit tuah kerana bola tersebut boleh sahaja terkeluar dari kawasan permainan namun sebaliknya masuk ke dalam gawang.

Dalam perlawanan ini, Roy dan Rawilson sekurang-kurangnya melakukan 4 block terhadap percubaan yang dilakukan oleh para penyerang pasukan Selangor.

 

2. Pemain tengah Sabah banyak patahkan serangan awal Selangor

Untuk memastikan pemain lawan tidak berupaya membawa bola ke dalam kotak penalti, adalah penting untuk para pemain tengah terutama sekali DMF untuk mematikan serangan atau gerakan awal pihak lawan. Dan inilah yang telah banyak dilakukan oleh Azizan Nordn dan Sabri Sahar semalam. Kedua-dua pemain ini bertindak cemerlang dalam mematahkan serangan yang dimulai oleh Selangor walaupun adakalanya terpaksa menggunakan kekerasan fizikal terhadap pemain Selangor.

Azizan Nordin yang mempunyai fizikal keras dan kuat telah menggunakan sepenuhnya kelebihan tersebut untuk mengatasi Sean Selvaraj, Sarkunan dan Faizuddin ketika pemain-pemain tengah Selangor ini cuba untuk melepasi kawasan tengah Sabah. Ia terbukti berkesan apabila tidak banyak Selangor mengelak untuk melakukan serangan di kawasan tengah sebaliknya hanya menumpukan serangan ke kawasan kiri dan kanan Sabah sahaja.

 

3. Roki dan Pito turun untuk bantu pertahanan ketika situasi bola mati

Antara faktor penting yang memberikan kelebihan buat Sabah ialah apabila dua pemain import tinggi dan besar Sabah iaitu Roki dan Pito turun membantu pertahanan Sabah dalam situasi bola mati. Ia bukan sahaja membantu Sabah melakukan ball interception bola tinggi malah ia penting untuk menutup ruang buat pasukan Selangor melakukan penyudah bola mati.

Roki pula amat menarik perhatian kerana beliau sering membantu bahagian tengah Sabah untuk mendapatkan dan memulakan serangan balas. Roki bagaimanapun banyak kali dikasari oleh pemain Selangor kerana setiap gerakan beliau adalah licik dan para pemain Selangor sengaja menjatuhkan Roki. Kontribusi Roki ini sangat baik untuk membolehkan Sabah mempunyai penguasaan bola yang lebih baik daripada pasukan pelawat.

Roki bekerja keras turun untuk memberikan bantuan buat para pemain tengah Sabah yang lain.
Kredit: FMLLP

 

4. Sorakan pemain ke-12 Sabah telah semarakkan perjuangan para pemain

Kehadiran lebih kurang 6200 orang yang membanjiri Stadium Likas semalam merupakan pemain ke-12 Sabah yang berjaya memberikan tiupan semangat extra buat para pemain. Serangan bertali arus Sabah di sepanjang permainan adalah hasil semangat dan kepercayaan yang diberikan oleh para penyokong yang hadir.

Anda sebagai penyokong Sabah juga turut memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-1 Sabah malam tadi.
Kredit: FMLLP

Sorakan para penyokong di minit-minit akhir permainan seolah-olah memberi petanda bahawa Sabah masih mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Ini disedari oleh para pemain dah hasilnya Ricco Nigel Milus berjaya menjaringkan gol kemenangan kelas dunia yang menceriakan kesemua penyokong yang hadir. Apapun, kelihatan penyokong yang keluar awal selepas Selangor mendahului Sabah 1-0 masuk semula selepas gol penyamaan Rahmanshah Marajeh dan gol kemenangan Ricco Nigel Milus. Pengajarannya di sini ialah, jangan sesekali memperlekehkan pasukan sendiri. Keluar awal pun jalan raya masih traffic jam.

 

5. Pertukaran pemain dan taktikal yang efektif daripada Jelius Ating

Tidak dinafikan lagi bahawa setiap pertukaran yang dilakukan oleh JA telah membuahkan hasil buat pasukan Sabah. Ini merupakan pertukaran efektif yang ke-2 berturut-turut yang dilakukan JA. Pertama ialah apabila beliau memasukkan Rahmanshah Marajeh di minit-minit akhir ketika menentang PKNP FC di Likas minggu lepas dan hasilnya Rahmanshah berjaya menjaringkan gol kemenangan 1-0 buat Sabah.

Dalam perlawanan ini, JA sekali lagi memasukkan Rahmanshah ketika usia permainan berbaki 10 minit lagi untuk ditamatkan. Hasilnya ialah Rahmanshah menjaringkan gol dengan sentuhan pertama beliau melalui satu rembatan kencang jarak dekat selepas Norazlan tidak berjaya menepis dengan cermat bola lintangan Sabri Sahar.

Menyedari Sabah perlukan jentera tengah yang segar, JA kemudiannya memasukkan Ricco Nigel Milus untuk menggantikan Sabri Sahar. Hasilnya ialah, Ricco Nigel Milus berjaya menjaringkan gol melalui sepakan cantik jarak jauh (-/+ 30 meter). Lagi menarik ialah set pass untuk gol tersebut dibuat oleh Rahmanshah Marajeh.

Dengan 1 gol dan 1 assist daripada pemain muda kelahiran Tawau, Rahmanshah Marajeh ini maka The Rhinos Troops tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa beliaulah MOTM untuk perlawanan ini.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah tumbangkan ego Selangor di Likas, 5 faktor utama kemenangan dramatik Sabah."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*