Sabah matikan impian PKNP FC di Likas, 7 Fakta menarik perlawanan

Pasukan Sabah mengerumuni Sabri Sahar (tidak kelihatan) selepas pemain muda dari Tawau itu menjaringkan gol kemenangan Sabah.

Sabah berjaya mengenepikan cabaran pasukan PKNP FC di Likas semalam apabila menewaskan pasukan dari Perak itu dengan 1-0 menerusi gol Rahmanshah Marajeh yang terhasil di minit-minit akhir perlawanan. Keputusan tersebut juga menepati jangkaan bahawa pasukan Sabah mampu menghasilkan 3 mata penuh dalam perlawanan ini.

Hasil kemenangan tersebut, Sabah melonjak ke tangga ke-2 Kumpulan D kerana dalam perlawanan lain, Pahang mudah menumpaskan pasukan Selangor, 2-0 di Shah Alam. Pahang kini berada di tangga teratas Kumpulan D.

 

Ikuti sorotan perlawanan Sabah vs PKNP FC

Pasukan Sabah dan pasukan pelawat PKNP FC, memulakan perlawanan dengan agak seimbang di awal permainan namun pasukan Sabah dilihat lebih baik dari segi percubaan. Pasukan Sabah lebih dahulu mencemaskan gawang gol pasukan pelawat pada minit ke-6 apabila sepakan percuma cantik daripada Roki berjaya ditepis keluar oleh GK pasukan PKNP FC.

 

Sabah kemudiannya mendapat peluang keemasan daripada Roki sekali lagi pada minit ke-32 namun tandukan terbang beliau hasil hantaran baik Leopold hanya sekadar terkena tiang gol di sebelah kiri.

 

Satu minit kemudian, kini giliran Maxsius Musa pula menggegarkan palang gol PKNP FC apabila berjaya melonjak tinggi untuk menanduk sepakan sudut daripada Sabri Sahar.

 

Pada minit ke-37, Leopold yang bermain sebagai Right Back berjaya melepaskan satu Half Volley yang kencang namun percubaan tersebut terlalu tinggi melepasi gawang gol pasukan PKNP FC.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan Sabah dan PKNP FC terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak ke-2, Sabah seperti biasa merupakan pasukan yang lebih dominan dari segi penguasaan bola. Apapun, penguasaan Sabah lebih tertumpu di Kawasan di mana Maxsius Musa berada dan Hamran Peter nampak kurang mendapat bola.

Pada minit ke-56, Sabah hampir boleh menghasilkan gol hasil gerakan build up play daripada para pemain tengah dan pertahanan Sabah namun percubaan Roki yang mendapat ruang betul-betul di depan garisan tengah kotak penalti hanya menyaksikan sepakan beliau tersasar sipi di sebelah kiri gawang PKNP FC.

9 minit kemudian, Pito pula mensia-siakan peluang melalui sepakan percuma jarak 25m apabila sepakan beliau tinggi beberapa kaki di atas palang gol pasukan pelawat.

 

Pada minit ke-84, Maxsius melepaskan satu rembatan leret dan kencang di bahagian sudut kotak penalti pasukan PKNP FC namun percubaan tersebut tersasar. Gerakan tersebut dihasilkan melalui hantaran jauh Kasonde yang tepat mencari Pito dan Pito hanya menanduk mudah untuk memberikan through pass buat Maxsius Musa.

 

Sabah yang tidak berputus asa untuk malakukan serangan akhirnya mendapat sepakan percuma jarak 30m di sebelah kanan luar kotak penalti pasukan PKNP FC selepas Sabri Sahar dijatuhkan ketika melakukan aksi One-Two Bersama Rahmanshah yang masuk menggantikan Hamran Peter. Sabah akhirnya menghasilkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma itu apabila GK PKNP FC tidak berjaya menepis dengan cermat sepakan Sabri Sahar. Rahmanshah Marajeh yang berada di tempat dan masa yang sesuai telah dengan mudahnya melakukan satu placing tap-in yang menggagalkan harapan PKNP FC untuk sekurang-kurangnya kembali ke Perak  dengan 1 mata.

 

Terdapat beberapa fakta menarik perlawanan ini yang ingin dikongsikan The Rhinos Troops kepada anda. Olehi itu, mari kita ikuti 7 fakta menarik perlawanan ini.

1. Sabah leburkan badi tanpa kemenangan ke atas PKNP FC

Sabah yang tidak pernah menang ke atas pasukan PKNP FC dalam perlawanan mereka sebelum ini telah berjaya mengakhiri badi tanpa menang mereka apabila menewaskan pasukan tersebut 1-0 di Likas semalam. Lebih manis lagi, kemenangan ini telah memberikan mereka peluang untuk berada lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia 2018 dan bukan hanya sekadar pelengkap jadual perlawanan atau pasukan belasahan seperti yang dilaungkan oleh sebahagian penyokong atau orang Sabah sendiri.

Dengan keputusan lain menyaksikan Selangor tewas 0-2 kepada Pahang, maka Pahang melonjak ke tangga teratas Kumpulan D diikuti Sabah di tangga ke-2 walaupun Sabah dan Pahang berkongsi 4 mata.

 

 2. Memet (Mohamad Mohd Safar) membuat kepulangan semula ke Likas

Mungkin ramai yang tidak mengetahui latar belakang pemain PKNP FC yang bernama Mohamad Mohd Safar atau lebih dikenali sebagai Memet ini. Beliau merupakan bekas pemain Sabah yang beraksi dalam Liga Perdana 2016. Pemain asal Putatan itu seterusnya menyaksikan beliau menyarung jersi PKNP FC  pada musim 2017 dan mendapat tempat kekal di posisi LB dalam saingan Liga Super 2018 (musim ini).

Ketika bertandang ke Stadium Likas ketika saingan Liga Perdana musim 2017, Memet Bersama-sama PKNP FC mengecewakan para penyokong dan pemain Sabah apabila membantu pasukan beliau menang 3-1 ke atas Sabah ketika itu. Namun cerita berbeza berlaku semalam.

 

3. Rahmanshah Marajeh hasilkan gol pertama musim ini

Pemain yang digelar sebagai Mario Baloteli Sabah ini telah menghasilkan gol pertama beliau bersama Sabah musim ini dan beliau lakukannya di saat-saat Sabah perlukan gol. Beliau mengalami kecederaan jangka Panjang daripada musim 2017 lagi dan kini sudah kembali cergas sepenuhnya. Diharapkan pemain muda dari Tawau ini akan dapat terus menabur bakti buat pasukan Sabah.

 

4.  PKNP FC ‘kumpau’ percubaan, Rozaimie Rohim tidak sempat berpeluh

Pasukan yang menewaskan Selangor 3-0 di Shah Alam dalam perlawanan pertama Piala Malaysia 2018 ini seakan-akan tidak bermaya ketika bermain di Likas. Mereka seakan-akan hilang arah dan tidak selesa ketika medapat bola. Ini mengakibatkan mereka tidak berjaya melakukan percubaan tepat ke gawang Sabah.

Hanya Hafiz Ramdan sahaja yang kelihatan mampu mengucar kacirkan benteng Sabah pada perlawanan semalam. Pemain lain pula seakan-akan hanya sibuk bertahan. Akibat daripada ini, admin boleh katakan bahawa Rozaimie Rohim mungkin tidak sempat berpeluh semalam.

 

5. Sabah praktikkan corak bermain hantaran tinggi

Menyedari kehadiran pemain tinggi lampai dan bersaiz fizikal besar seperti Pito dan Roki, JA seakan-akan menerapkan corak hantaran tinggi yang tepat kepada dua pemain import Sabah ini. Hantaran tinggi yang dilakukan dari bahagian pertahanan dikawal baik oleh Pito dan Roki seterusnya memberikan ruang buat dua pemain sayap iaitu Maxsius dan Hamran untuk melakukan percubaan. Taktikal ini kelihatan berhasil untuk mengucar-kacirkan pertahanan PKNP FC namun hanya percubaan mereka sahaja yang tidak tepat ke arah gol.

Kenapa Sabah melakukan taktikal hantaran tinggi? Terdapat 2 faktor utama yang mungkin mendorong JA untuk melakukan hantaran tinggi. Ia adalah:

  • PKNP FC melakukan high pressing dan menyukarkan penguasaan bola jangka masa lama atau Tiki Taka.
  • Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Target Man Sabah iaitu Pito

 

6. Pito gagal lebarkan rekod untuk menjaringkan gol di setiap perlawanan.

Sebelum perlawanan menentang PKNP FC semalam, Pito sudahpun mencatatkan rekod baik dengan menghasilkan gol dalam 7 perlawanan berturut-turut. Malang sekali beliau tidak berjaya melebarkan rekod tersebut kepada 8 perlawanan berturut-turut semalam atas kekangan yang terlalu rapat diberikan oleh para pemain pertahanan pasukan PKNP FC yang diketuai oleh pemain import dari Latvia, Ritus Krjauklis.

Walaubagaimanapun Pito menjalankan tugas dengan baik semalam sebagai target man dan feeder kepada Roki, Hamran dan Maxsius.

 

7. Selangor perlu waspada ancaman Sabah pada 18 Ogos di Likas nanti

Dangan persembahan mantap Sabah dalam 2 perlawanan awal Piala Malaysia 2018, Selangor seharusnya lebih berhati-hati kerana pasukan yang Sabah ditewaskan semalam adalah pasukan yang menewaskan Selangor 3-0 tempoh hari. Ini bermakna, Selangor mempunyai sebab mengapa mereka perlu hormati Sabah di Likas pada 18 Ogos nanti.

Dengan persembahan yang kian baik daripada pasukan Sabah, kedatangan penyokong di Likas juga sudah pasti lebih baik pada waktu itu. Dalam perlawanan semalam, hanya lebih kurang 3000 orang sahaja yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan Sabah.

Pertemuan menentang Selangor juga merupakan pertembungan klasik yang sudah pasti akan menggamit kenangan ketika era kegemilangan Sabah dahulu. Kedua-dua pasukan ini bertemu sebanyak dua kali dalam final Piala Malaysia iaitu pada edisi 1996 dan 2002 yang mana dimenangi kedua-duanya oleh Selangor melalui penentuan sepakan penalti dan Golden Goal.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah matikan impian PKNP FC di Likas, 7 Fakta menarik perlawanan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*